Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara Malaysia, milik semua warganegara Malaysia tanpa mengira etnik atau keturunannya. Maka itu, penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang yang ditetapkan oleh undang-undang negara tiada kaitannya dengan soal perkauman kerana bahasa Melayu bukan milik eksklusif orang Melayu. Semua warganegara Malaysia, tanpa mengira kaum ialah pemilik sah bahasa Melayu sebagai bahasa negara.
Hanya orang yang tidak memahami fakta itu yang beranggapan salah bahawa bahasa Melayu berkaitan dengan kepentingan orang Melayu. Orang yang beranggapan salah itulah sebenarnya yang mewakili sentimen perkauman. Logiknya, adakah jika satu bahasa etnik lain yang bukan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara digunakan dengan meluas tidak boleh dianggap sebagai cenderung bersentimen perkauman?
Fakta itu sama dengan keadaan yang diamalkan oleh mana-mana negara yang penduduknya berbilang etnik, termasuklah negara China yang mempunyai 56 etnik tetapi bahasa kebangsaannya, bahasa Mandarin menjadi bahasa utama dalam sektor kenegaraan, seperti pentadbiran, pendidikan, kehakiman, media am, diplomasi dan juga penggunaan bahasa di tempat awam.
Berdasarkan pemerhatian saya selama beberapa tahun bertugas di negara China, sukar ditemukan iklan dan pelbagai peragaan lain di tempat awam dalam bahasa asing, apatah lagi yang tampak menyerlah melebihi bahasa Mandarin. Jika ada, bahasa asing di tempat awam merupakan jenama dalam bahasa asing atau terjemahan ringkas ungkapan daripada bahasa asing. Mustahil menteri dan ahli parlimen yang mempersoalkan langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menguatkuasakan penggunaan bahasa kebangsaan di premis perniagaan di sekitar ibu negara itu tidak pernah berkunjung ke negara China yang amat tegas melaksanakan dasar bahasa kebangsaannya.
Langkah DBKL menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di tempat awam berdasarkan Undang-undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1982 yang selaras dengan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bukan langkah menurut perasaan pegawai bahagian penguatkuasaannya. Tambahan pula, pemeriksaan itu dilakukan di premis yang telah tamat tempoh peragaannya dan perlu menggantikannya dengan bentuk peragaan baharu yang memenuhi Undang-undang Kecil Iklan. Langkah itu tiada kaitan dengan sentimen perkauman atau penafian kepada bahasa lain, kerana undang-undang itu menyebut keutamaan penggunaan bahasa Melayu dan jika ada keperluan menggunakan bahasa lain, ruang tetap diberikan dengan syarat bahasa asing tidak kelihatan lebih utama, seperti saiz hurufnya, warna dan kedudukannya pada iklan atau bahan peragaan lain di tempat awam.
Isu penggunaan bahasa kebangsaan yang terabai di tempat awam telah berlarutan selama puluhan tahun sejak kemerdekaan.pada tahun 1957. Langkah DBKL sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu patut dipuji dan bukan dikeji dalam menguatkuasakan undang-undang. Malahan semua PBT lain yang jumlahnya lebih 140 di seluruh negara patut menyusuli langkah DBKL itu.
Alasan kononnya untuk kepentingan pelancong tidak timbul, sebagaimana halnya di negara yang mengutamakan bahasa kebangsaannya seperti Perancis, China, Jepun, Korea dan negara lain. Pelancong datang kerana ada daya tarikan negara dan juga kos yang munasabah, bukan kerana tertarik oleh penggunaan bahasa milik pelancong di sesebuah negara asing.
Semua pihak, apatah lagi yang bertaraf menteri dan wakil rakyat patut memahami dasar negara dan penguatkuasaan undang-undang. Tidak wajar orang yang bertaraf menteri dan wakil rakyat melahirkan pendapat yang bertentangan dengan dasar negara, termasuk Dasar Bahasa Kebangsaan. Pemimpin sepatutnya menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat dalam menghargai dan memenuhi tanggungjawab mematuhi undang-undang, dan bukan menimbulkan sikap negatif kepada penguatkuasaan undang-undang.