27 November 2024, 10:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Berita tentang warga emas, Neoh Ho Soon yang berumur 72 tahun secara sukarela mengikuti kelas Bahasa Melayu yang dianjurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Stulang, Andrew Chen Kah Eng untuk menguasai kembali bahasa kebangsaan itu baru-baru ini membuktikan bahawa semangat untuk mempelajari bahasa Melayu masih dapat wujud tanpa mengambil kira faktor usia.

Malah, banyak yang terkejut apabila artis Korea, Han Byul menyampaikan komen sebagai juri sebuah rancangan realiti menggunakan bahasa Melayu hampir sepenuhnya. Lebih membanggakan lagi apabila seorang Penolong Duta Besar Rusia ke Malaysia, Pavel Naydenov berbahasa Melayu sepenuhnya untuk menjelaskan krisis Rusia-Ukraine. Perkara ini membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu dipelajari oleh sesiapa sahaja, sama ada warga tempatan atau warga asing.

Proses untuk mempelajari bahasa Melayu bukanlah sukar. Hal ini dikatakan demikian kerana istilah dan kosa kata dalam bahasa Melayu amat mudah diingati. Seseorang yang berusaha untuk mengingati peraturan dalam bahasa Melayu akan menguasainya dalam tempoh yang singkat kerana sistem fonologinya amat mudah, di samping struktur ayatnya yang sama dengan bahasa antarabangsa, iaitu bahasa Inggeris.

Bahasa Melayu juga lebih mudah dikuasai kerana tidak memerlukan perubahan kata mengikut perubahan bilangan, jantina dan waktu perbuatan seperti bahasa lain. Imbuhan dalam bahasa Melayu pula selaras. Penutur mampu membezakan jenis imbuhan kerana setiap imbuhan yang digabungkan dengan kata dasar mempunyai maksud yang jelas. Dalam hal ini, pelajar bahasa Melayu hanya perlu mematuhi rumus dan peraturan tatabahasa yang ringkas sahaja.

Selain itu, cara menyebut kata dalam bahasa Melayu mudah kerana sebutannya mengikut ejaan dan ejaannya mengikut sebutan. Sebagai contoh, kata “polis”, “abstrak”, “unit” dan “universiti” sama dari segi sebutan dan ejaan. Kekeliruan sebutan tidak akan wujud, lebih-lebih lagi sekiranya penutur itu mempraktikkan sebutan baku. Cara menyebut sebutan bahasa Melayu di Malaysia juga hampir sama dengan bahasa di Asia Tenggara, seperti bahasa Melayu Indonesia, bahasa Melayu Brunei, bahasa Melayu Singapura dan bahasa Melayu Selatan Thai.

Bahasa Melayu juga tidak mempunyai ton nada. Hal ini menyebabkan maksud kata dalam bahasa Melayu tidak berubah jika disebut dengan nada panjang, pendek, menaik atau menurun. Oleh itu, kekeliruan maksud tidak wujud dan penutur tidak akan berasa gusar ketika menyebut sesuatu kata. Keindahan ini menjadikan sesiapa yang ingin berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu di mana-mana tempat ini boleh menggunakan sebutan yang sama kerana masih difahami.

Seterusnya, tulisan bahasa Melayu mudah dibaca kerana menggunakan tulisan rumi. Tulisan ini juga digunakan dalam bahasa antarabangsa, iaitu bahasa Inggeris. Hal ini menjadikan proses pembelajaran bahasa ini lebih mudah. Sehingga kini, hampir semua penutur bahasa Melayu mampu menguasai tulisan rumi dengan baiknya dan keadaan ini memudahkannya membaca tulisan tersebut.

Di samping itu, bahasa Melayu terbuka untuk menerima istilah baharu, sama ada menerusi pinjaman daripada bahasa lain atau memperkenalkan kosa kata baharu mengikut peredaran masa dan teknologi. Sebagai contoh, kata “swafoto”, “antibiotik”, “pascanilai” dan “tular”. Penutur bahasa Melayu juga menggunakan istilah baharu ini dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam situasi formal. Sifat mudah lentur ini menjadikan bahasa Melayu satu daripada bahasa yang mudah dipelajari dan pada masa yang sama mampu mengekspresikan aras pemikiran yang tinggi.

Bagi warga asing yang ingin mempelajari bahasa Melayu, seterusnya berasa lebih yakin ketika berkomunikasi, golongan ini boleh menghadiri kelas secara formal atau berkomunikasi secara tidak formal. Pembelajaran secara tidak formal, seperti penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi seharian antara rakan atau ahli keluarga dapat membantu golongan ini mempelajari bahasa tersebut. Usaha ini biasanya dihargai kerana sekitaran dan penutur bahasa Melayu yang lain bersikap terbuka, malah berbangga jika warga asing itu dapat bertutur dalam bahasa Melayu walaupun melakukan banyak kesalahan dari segi sebutan atau struktur ayat.

Kini, kanak-kanak juga berpeluang untuk mempelajari bahasa Melayu dalam suasana yang menyeronokkan. Di sekolah, banyak guru yang menggunakan pendekatan berteknologi untuk menarik minat pelajar untuk mempelajari bahasa Melayu, sama ada pada peringkat sekolah rendah atau peringkat sekolah menegah. Banyak bahan yang berkaitan dengan bahasa Melayu dikongsi dalam media massa yang mampu menjadi pencetus agar guru lebih kreatif apabila mencipta proses pembelajaran yang tidak membosankan. Ibu bapa juga banyak yang menyokong usaha ini dengan menyediakan peralatan berteknologi kepada anak masing-masing.

Kesimpulannya, jelaslah bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa yang mudah dipelajari, mudah tular dan mudah diterima sebagai bahasa yang tidak menakutkan. Keunikan ini menjadikan bahasa Melayu mampu dikuasai dalam tempoh yang singkat. Ada juga yang mengkategorikan bahasa Melayu sebagai antara bahasa paling mudah dipelajari di dunia dan ada juga yang meletakkannya pada kedudukan nombor satu sebagai bahasa paling mudah dipelajari di Asia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.