27 November 2024, 12:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seperti juga dalam bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia, dalam bahasa Melayu wujud istilah yang dikenali sebagai sinonim atau kata seerti seperti istilah “sajak” dan “puisi”. Dalam bidang linguistik, sinonim ialah kata yang mempunyai makna yang sama atau hampir sama dengan kata lain (Kamus Dewan Perdana, 2020). Oxford Advanced Learner’s Dictionary International Student’s Edition (Oxford University Press, 2010) pula memberikan makna synonym sebagai a word or expression that has the same or nearly the same meaning as another in the same language (sesuatu perkataan atau ekspresi yang mempunyai makna yang sama atau hampir-hampir sama maknanya dengan perkataan yang lain dalam bahasa yang sama).

Tatkala membicarakan perihal sinonim, dua hal yang harus diingat, iaitu perkataan atau ekspresi yang seerti atau yang mempunyai makna yang sama. Kedua, perihal perkataan atau ekspresi yang mempunyai makna yang hampir-hampir sama—ini bermakna, sesuatu sinonim itu tidak semestinya perkataan atau ekspresi yang seerti atau persis maknanya, dan erti yang didukung oleh perkataan-perkataan itu boleh berubah makna, dan bukan lagi perkataan yang seerti.

Dalam pada itu, menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) kata sinonim adalah seerti dengan kata “muradif”. Contoh muradif atau sinonim yang dinyatakan dalam kamus tersebut ialah: Ada kelompok ulama yang berpendapat bahawa takwil dan tafsir ialah muradif. Kamus Besar Bahasa Indonesia (2016) memberi erti kata “muradif” sebagai bentuk bahasa yang maknanya mirip atau sama dengan bentuk yang lain.

Sesungguhnya, bahasa Melayu merupakan satu daripada bahasa di dunia yang tergolong dalam bahasa jenis aglutinatif atau bahasa yang bersifat derivatif. Jenis bahasa yang sedemikian membentuk kebanyakan perkataannya melalui proses pengimbuhan atau penggabungan morfem kata dasar dengan morfem imbuhan secara rentetan mendatar, iaitu imbuhan digabungkan serentak dengan kata dasar, sama ada imbuhan itu mendahului (awalan), menyisipi (sisipan) atau mengikuti (akhiran) kata dasar tersebut.

Sebagai contoh, kata dasar “soal” dan “tanya” ialah sinonim. Walau bagaimanapun, kedua-dua kata seerti itu akan berubah maknanya dan tidak lagi bersinonim apabila melalui proses pengimbuhan “apitan”— kata terbitan persoalan dan pertanyaan sudah berubah maknanya, dan tidak lagi mendukung makna yang sama atau hampir-hampir sama. Kesimpulannya, kata “persoalan” dan “pertanyaan” tidak lagi sama makna dan hampir-hampir sama maknanya, bahkan sudah menyimpang jauh maknanya apabila digunakan dalam ayat, dan mengikut konteks tertentu.

“Persoalan” membawa maksud hal, perkara, tindakan dan lain-lain yang disoal atau dipersoalkan. Manakala, “pertanyaan” bermaksud perbuatan bertanya, dan perkara yang ditanyakan. Contoh penggunaan kata persoalan dalam ayat yang memperlihatkan makna yang berbeza:

(i) Persoalan bahasa yang akan dibahaskan tidak termasuk statusnya sebagai bahasa kebangsaan.

Begitu juga dengan kata terbitan “soal” dan “tanya”, meskipun bersinonim, apabila diimbuhkan dan digunakan dalam ayat tidak boleh bertukar ganti:

(ii) Kertas soalan peperiksaan sudah diedarkan (kata soalan tidak boleh digantikan dengan kata pertanyaan, kendatipun kedua-dua perkataan itu adalah bersinonim).

Arakian, wajar juga dibahaskan lebih lanjut perihal sinonim ini. Dalam bahasa Melayu juga ada ditemukan perkataan yang bersinonim seperti “kancil” dan “pelanduk”— kedua-dua perkataan itu meskipun seakan-akan sama ertinya, namun, dalam konteks tertentu atau dalam ayat dan ujaran, perkataan tersebut tidak boleh saling ditukar ganti penggunaannya. Misalnya, peribahasa pelanduk dua serupa yang bermaksud dua orang yang mempunyai iras wajah yang sama, dan belum lagi ditemukan ada peribahasa kancil dua serupa.

Begitu juga dengan peribahasa “cerdik” atau “bijak” seperti kancil atau sang kancil tidak boleh ditukar ganti dengan cerdik atau bijak seperti pelanduk. Hal ini mungkin ada hubung kaitnya dengan makna denotatif kedua-dua perkataan tersebut— kancil menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) ialah binatang mamalia seperti rusa tetapi jauh lebih kecil dan tidak bertanduk, berwarna perang serta mempunyai jalur putih dari dagu hingga ke bahu (Tragulus javanicus, ialah nama santifiknya). Kancil juga dikiaskan sebagai orang yang pandai membuat tipu muslihat untuk kepentingan diri sendiri.

Manakala, kata pelanduk ialah binatang mamalia yang seakan-akan kancil tetapi lebih besar saiznya, badannya berwarna perang kemerah-merahan dan mempunyai tiga jalur di bahagian depan lehernya. Binatang ini cergas pada waktu malam dan memakan tumbuh-tumbuhan kecil, akar kayu dalam tanah serta buah-buahan (Kamus Dewan Perdana, 2020). Nama saintifiknya juga Tragulus javanicus.

Syahadan, daripada kedua-dua huraian tentang perkataan pelanduk dan kancil di atas, bolehlah dikatakan bahawa, perkataan bersinonim itu tidak semestinya sama ertinya, khususnya apabila digunakan dalam ayat, mengikut konteks, sebagai peribahasa, dan sebagainya. Bahkan, masih lagi wujud ketidakpastian dalam penggunaan sinonim yang persis dalam kalangan masyarakat. Hal ini sekali gus memperlihatkan bahawa masyarakat pengguna masih lagi tidak begitu memahami pengertian sinonim, dan menggunakan sinonim sesuai dengan konteksnya. Pernyataan ini adalah selari dengan pandangan S. Nathesan yang mengatakan bahawa sinonim yang merupakan satu daripada aspek semantik yang menimbulkan kemusykilan dalam kalangan pengguna bahasa Melayu apabila mereka hendak menggunakan kata bersinonim, iaitu kata yang mendukung maksud atau makna yang sama (Kata Bersinonim dalam Bahasa Melayu, 2018).

Baru-baru ini timbul polemik tentang istilah puisi dan kosa kata sajak. Sekilas pandang, kedua-kedua perkataan tersebut seakan-akan seerti atau bersinonim, dan pandangan mengatakan bahawa kedua-dua perkataan itu tidak sama ertinya, kendatipun kedua-duanya adalah bersinonim. Hatta, molek kiranya kita bahaskan pengertian kedua-dua perkataan tersebut dengan lebih mendalam agar kita semua memperoleh pencerahan tentang persamaan dan perbezaan makna kedua-dua perkataan tersebut.

Pertama-tama, mari kita teliti erti kata puisi menurut Kamus Dewan Perdana, iaitu susunan kata-kata mengikut pola bunyi dan makna untuk menyatakan fikiran, perasaan, pengalaman dan sebagainya dengan menggunakan bahasa yang indah, berirama, biasanya terikat dengan bentuk tersendiri, misalnya sajak, syair, pantun dan gurindam. Dalam pemerian kata puisi tersebut, jelas menunjukkan bahawa puisi ialah superordinat, yakni perkataan yang maknanya merangkumi makna perkataan atau perkataan-perkataan yang lain, misalnya, puisi ialah superordinat bagi sajak, syair, pantun dan gurindam.

Dalam Glosari Istilah Kesusasteraan (DBP, 2022) puisi merujuk istilah yang digunakan untuk pelbagai bentuk pengucapan yang berirama, dilahirkan melalui tanggapan yang penuh imaginatif  daripada seseorang penulis atau penyair. Manakala, Kamus Kesusasteraan (DBP, 2021) menyatakan bahawa puisi diertikan sebagai pengucapan yang bersifat imaginatif yang lahir daripada perasaan yang mendalam. Puisi melahirkan secara spontan perasaan yang membuak yang timbul daripada daya ingatan ketika berada dalam keadaan tenang. Definisi ini diutarakan oleh penyair seperti Wordsworth. Menurut Edwin Arlington Robinson, puisi ialah ungkapan bahasa yang menyampaikan sesuatu mesej melalui reaksi emosi, sesuatu kata-kata yang sukar hendak dinyatakan. Penulisan puisi biasanya menggunakan rima, ritma, matra, baris dan rangkap.

Seyogianya, kedua-dua definisi istilah puisi tersebut adalah bersandarkan istilah poetry menurut perspektif Barat, dan mungkin sahaja dalam bahasa Melayu, pengertian poetry dan puisi itu tidak persis sama pengertiannya. Poetry menurut Oxford Advanced Learner’s Dictionary, International Student’s Edition, 7th Edition (Oxford University Press, 2010) ialah a collection of poems; poems in general. Dalam Kamus Dwibahasa Bahasa Inggeris-Bahasa Melayu (DBP, 2019) pula, poem diertikan sebagai karangan yang berbentuk sajak (pantun, syair dan lain-lain); puisi—dalam bahasa Melayu, kata poem itu diterjemahkan sebagai puisi, dan dalam bahasa Melayu, dari segi pragmatiknya, istilah poem dalam bahasa Inggeris itu tidak secara tuntas bermaksud puisi, melainkan merujuk poetry untuk maksud sajak moden.

Dalam domain ilmu, puisi Melayu itu dikategorikan kepada dua genre, iaitu puisi Melayu tradisional dan puisi Melayu moden. Harun Mat Piah dalam bukunya Puisi Melayu Tradisional, Satu Pembicaraan Genre dan Fungsi (DBP, 1989:1) menegaskan bahawa definisi dan huraian di sekitar konsep dan erti perkataan puisi (poesy, poem, poetry, verse) telah banyak dibicarakan, terutamanya pada pengertian dan pemakaiannya yang universal. Justeru, pengertian puisi dalam rangkai kata puisi Melayu tradisional dalam kajian ini tidaklah perlu dihuraikan. Lebih-lebih lagi tiada suatu pun definisi universal itu yang dapat diaplikasikan dengan tepat kepada konsep dan erti puisi seperti yang difahami dalam kesusasteraan Melayu…setelah istilah itu digunakan dengan meluas, tidak pula terdapat perkataan-perkataan lain digunakan bersamanya untuk membezakannya dengan poem, poetry dan verse yang dalam bahasanya yang asal mempunyai erti dan konsep yang berlainan dan berbagai-bagai.

Justeru, dalam bahasa Melayu, perkataan penggunaan puisi terpaksa mencakupi semua konsep dan erti dalam istilah yang lain. Paradoksnya, ada dalam kalangan pengkaji sastera dan orang-orang sastera sendiri yang menyempitkan pengertian luas perkataan tersebut sebagai superordinat dalam domain puisi, dan menolak bentuk tersebut sebagai sinonim kepada sajak moden. Pada hemat penulis, ada baiknya juga kita melihat semula bahawasanya perkataan puisi itu bukan berasal daripada perkataan poetry, tetapi sebaliknya poesy yang bersinonim dengan perkataan poetry. Maka, untuk tujuan mendalami pengertian istilah poesy yang bersinonim dengan poetry, ada baiknya ditelaah buku Poezie in Indonesia, karya S. Slametmuljana (1954) yang khusus membicarakan perihal stail dalam puisi moden Indonesia.

Perlu diingat bahawa telah wujud istilah puisi Melayu moden yang merujuk puisi Melayu yang menerima pengaruh puisi moden Barat, dan di Malaysia puisi Melayu moden dimulai oleh Muhammad Yasin bin Maamor atau Pungguk. Puisi ini juga merupakan kesinambungan daripada puisi Melayu lama, dipengaruhi oleh pantun, syair, gurindam, seloka dan talibun (Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1999). Bahkan, pernah diterbitkan tiga buah antologi yang memuatkan puisi-puisi moden, iaitu antologi Puisi Baharu Melayu (DBP, 1959), Puisi Baharu Melayu II (DBP, 1961) dan Puisi Baharu Melayu III (DB), 1990). Ungkapan puisi baharu ini adalah bersinonim dengan puisi moden.

Selanjutnya, ayuh kita tinjau makna sajak yang diperikan oleh Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) yang ada perkaitannya dengan mauduk artikel ini, iaitu puisi moden yang berbeza daripada pantun atau syair yang digubah dalam bahasa yang indah untuk menyatakan fikiran, perasaan, pengalaman dan sebagainya, biasanya tidak mempunyai bentuk-bentuk terikat. Makna kedua sajak ialah bunyi suku kata yang sama, biasanya pada suku kata terakhir pada syair, pantun dan sebagainya. Sajak juga kata arkaik yang membawa maksud irama lagu.

Kata kunci atau frasa yang paling penting dalam konteks pemerian kata sajak tersebut ialah sajak itu ialah sinonim kepada puisi moden yang boleh ditafsirkan bahawa sajak itu ialah satu daripada bentuk atau jenis puisi yang tergolong dalam genre puisi moden. Dalam Glosari Istilah Kesusasteraan (DBP, 2022), perkataan sajak diberikan dua pengertian yang difahami oleh orang Melayu sebagai karangan berangkap. Makna umum perkataan sajak ialah suatu jenis karangan berangkap baik pantun atau syair dan lain-lain manakala, makna khusus perkataan sajak ialah suatu jenis karangan berangkap cara baharu dalam bahasa Melayu, keadaannya seakan-akan gurindam dan seloka pada bentuk luarannya, tetapi berlainan pada isi dan rasa keseniannya dengan beberapa sifat tertentu.

Perkataan sajak, khususnya rangkai kata sajak moden yang bersinonim dengan puisi moden memang sudah digunakan dengan meluas, dan sajak Melayu terus berkembang serta berubah mengikut zamannya yang merangkumi Zaman Permulaan, Zaman Jepun, Asas 50, Penyair-penyair kabur, Penyair Enam Puluhan dan Penyair—contoh sajak moden Melayu boleh dilihat pada setiap peringkat perkembangan tersebut, dan hal ini termasuklah dengan bentuk sajak yang diistilahkan sebagai sajak dampingan, sajak naratif, sajak  kinetik, sajak prosa dan sajak topografikal dan sebagainya.

Dalam sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu moden, pernah bentuk sajak yang diistilahkan sebagai sajak protes, yakni sajak yang memperlihatkan sikap penentangan dan kurang senang penyair terhadap sesuatu isu yang timbul dalam masyarakat yang ada hubungannya dengan keadaan sosioekonomi dan politik. Sajak protes mula berkembang di Malaysia pada tahun 1996. Suara penyair yang lantang dan berterus terang menyebabkan nilai seni sajak tidak terpelihara. Antara tahun 1966 hingga 1969 telah terbit beberapa antologi sajak protes termasuklah Teluk Gong, Kebangkitan dan Suara Tujuh. Bahkan, suara protes penyair Melayu seperti Usman Awang, Baha Zain serta Yahya Ismail ditampilkan dalam antologi sajak Keranda 152. Meskipun Malaysia telah menjadi negara yang stabil dan maju, sajak-sajak protes terus dihasilkan kerana timbul pelbagai pencabulan hak asasi manusia pada peringkat antarabangsa serta kekejaman Barat, termasuk keganasan rejim Zionis terhadap negara-negara Islam (Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1999).

Penggunaan perkataan sajak dalam beberapa rangkai kata yang dinyatakan jelas memperlihatkan bahawa rangkai kata sajak moden adalah bersinonim dengan puisi moden, dan istilah puisi, secara khusus tidak mendukung pengertian dan konsep sajak, apatah tidak ditemukan apa-apa yang diistilahkan sebagai sajak tradisional untuk maksud puisi tradisional bagi pengkategorian genre tersebut mengikut domain ilmu kesusasteraan.

Di Indonesia, sajak-sajak moden yang kemudiannya dikenali sebagai puisi moden ini dipelopori oleh pujangga baru mulai tahun 1933 oleh penyair-penyair seperti Muhammad Yamin, Rustam Effandi, Amir Hamzah dan lain-lain. Mereka terpengaruh dengan sajak atau puisi moden dari Barat, terutamanya penyair Belanda (Glosari Istilah Kesusasteraan, 2022).

Berbanding dengan perkataan sajak, istilah puisi lebih produktif, derivatif dan dominan untuk merujuk sajak moden (dan puisi moden)—jika disebut sahaja perkataan puisi, maka yang dimaksudkan ialah puisi moden, yakni ciptaan atau karya sastera yang dibangunkan berdasarkan empat nilai utama yang penting, iaitu isi, bentuk dan kesan atau tujuan puisi serta bentuk dan jenis puisi. Malah, dari segi bentuk dan jenisnya sahaja, puisi jauh lebih produktif dan derivatif daripada sajak, sekali gus menjadikan kedua-dua istilah atau perkataan itu tidak bersinonim. Secara lebih khusus dalam domain ilmu atau bidang kesusasteraan, wujud bentuk dan jenis puisi yang dikenali sebagai puisi abstrak, puisi aliterasi, puisi asli, puisi bebas, puisi berkait, puisi dendang, puisi didaktik, puisi doga, puisi dramatik, puisi dwipada, puisi gema, puisi kanak-kanak, puisi karut, puisi kasar, puisi kuantatif, puisi kubis, puisi lara, puisi makaronis, puisi metafizik, puisi pengantar, puisi peristiwa, puisi prosa, puisi ratapan, puisi ringan, puisi ropalik, puisi tanpa irama, puisi tripada dan puisi wira (Glosari Istilah Kesusasteraan).

Malah, ada juga bentuk dan jenis puisi yang popular yang berkembang mengikut tuntutan zaman dan perkembangan semasa dalam bidang seni persembahan serta metodologi pendidikan seperti puisi artistik, puisi digital, puisidra dan lain-lain yang secara analoginya tidak ditemukan genre “lagu sajak” melainkan genre yang disebut sebagai lagu puisi yang seni kata dan melodinya digubah daripada sajak moden atau puisi.

Bahkan, kata puisi berbanding dengan kata sajak, adalah lebih generatif sifatnya kerana banyak perkataan lain dapat dijana daripada kata dasarnya, dan penggunaan kata terbitannya lebih produktif seperti berpuisi, mempuisikan, dipuisikan, puisikan, perpuisian, pemuisian, pemuisi, kepuisian, puitis, berpuitis, mempuitiskan, dipuitiskan, puitiskan, kepuitisan, dan sepuitis. Justeru, secara khususnya, jelaslah bahawa puisi bukanlah sinonim kepada sajak.

Apa-apa pun, sebenarnya bentuk derivatif sinonim lain yang ada hubung kaitnya dengan istilah puisi atau sajak ini, banyak sekali sehingga penggunaannya pun dalam berbagai-bagai bentuk variasi. Dalam bahasa Melayu wujud istilah pemuisi, penyajak, penyair dan pujangga yang secara umumnya membawa maksud yang sama atau lebih kurang sama, walau bagaimanapun, secara khusus berbeza maknanya.

Istilah pemuisi dan penyajak adalah sama maknanya, yakni merujuk orang yang mengucapkan atau menyampaikan puisi atau puisi, dan orang yang mengarang atau menciptakan puisi atau sajak. Paradoksnya, istilah penyair yang berakarkan kata syair juga merujuk kepada maksud pemuisi dan penyajak seperti yang digambarkan dalam ayat contoh yang berikut:

  • Pada masa kini, ramai penyair yang mengeluarkan duit poket sendiri untuk menerbitkan kumpulan puisi mereka (Kamus Dewan Perdana).

Hatta, dirumuskan bahawa, istilah atau rangkai kata yang bersinonim ialah sajak moden dan puisi moden, dan secara khusus, istilah puisi tidak sama pengertiannya dengan sajak. Berbanding dengan perkataan sajak, istilah puisi seperti yang dihuraikan sebelum ini adalah lebih derivatif dan generatif sifatnya, dan merupakan superordinat kepada subgenre sajak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.