Oleh Ridzuan Kamis
27 November 2024, 14:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, peribahasa ialah sekelompok atau serangkai kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi nasihat, peringatan, prinsip hidup serta aturan tingkah laku, biasanya dikiaskan kepada maksud yang tertentu. Peribahasa yang diungkapkan menunjukkan kebijaksanaan orang Melayu berfikir dengan cara mengaplikasikan objek alam atau persekitaran sebagai subjek utama dalam menyampaikan maksud secara tersirat dan bermakna.

Makna secara berkias menunjukkan sisi keunikan yang hendak disampaikan melalui nilai estetika bahasa yang berlapik dan bersusila. Meskipun makna yang disampaikan menjurus kepada perkara negatif, namun situasi tersebut menunjukkan bahawa pemikiran yang kreatif dan kritis dapat menyalurkan maksud kepada kumpulan sasaran.

Antara unsur alam atau persekitaran yang diangkat oleh orang Melayu terdahulu ialah haiwan. Sebagai contoh, “ular” dan “ulat”. “Ular” ialah sejenis binatang menjalar yang tidak berkaki dan kulitnya bersisik. “Ulat” pula ialah sejenis binatang kecil yang umumnya lembut dan banyak kakinya. “Ulat” akan bertukar menjadi kepompong dan seterusnya menjadi kupu-kupu. Pada asasnya, “ular” dan “ulat” dijadikan sebagai subjek dalam peribahasa Melayu yang menunjukkan bahawa haiwan tersebut dekat dengan persekitaran kehidupan masyarakat Melayu sehingga mewujudkan beberapa peribahasa yang utuh dan diterima pakai sehingga kini.

  • Contoh peribahasa Melayu berkaitan dengan “ular” adalah seperti yang berikut:
Bil. Peribahasa Maksud
1. Ular bukan, ikan pun bukan. Tidak dapat ditentukan baik atau buruknya.
2. Sekerat ular, sekerat belut. Tidak tentu pihak mana yang diikuti.
3. Ular dipukul jangan mati, kayu pemukul jangan patah, tanah dipala jangan lembang. Menyelesaikan sesuatu perkara hendaklah dengan seadil-adilnya.
4. Bagai ular dengan legundi. Sangat terpikat kepada kekasih.
5. Bagai ular dengan orang. Dua orang bersaudara yang tidak mahu berkenalan.
6. Biar ular mati, kayu tiada patah. Maksud biar tercapai, kerugian jangan ada.
7. Jikalau ular menyusur akar, tiada hilang bisanya. Orang besar yang merendahkan diri tidak akan jatuh martabatnya.
8. Kerosok ular di rumpun bambu. Ancaman daripada orang yang pengecut.
9. Macam ular kekenyangan. Orang yang buncit perutnya sehingga berjalannya pun sudah tidak betul lagi.
10. Melangkahi ular. Melakukan sesuatu yang sangat berbahaya.
11. Naga ditelan ular lidi. Anak orang bangsawan kahwin dengan orang kebanyakan.
12. Seperti ular kena palu. Menggeliang-geliut kerana terlalu marah.
13. Sudah tampak kaki ular. Tingkah laku seseorang yang jahat yang sudah mula diketahui.
  • Contoh peribahasa Melayu berkaitan dengan “ulat” adalah seperti yang berikut:
Bil. Peribahasa Maksud
1. Bagai ulat nangka terhempas ke batu. Tidak serik.
2. Bagai melihat ulat. Sangat benci.
3. Korek lubang ulat. Sengaja mencari perselisihan.
4. Terloncat-loncat bagai ulat pinang. Sangat gelisah.
5. Berulat mata melihat. Sangat benci.

Jelaslah bahawa penggunaan peribahasa tentang “ular” dan “ulat” menunjukkan tahap kerelevanan dan pengaplikasiannya dalam masyarakat Melayu. Tujuan utama keterkaitan “ular” dan “ulat” yang dibaitkan dengan nilai estetika tersendiri adalah untuk mendidik bangsa agar berhemah, berpengajaran dan berbudi pekerti. Maka peribahasa yang dinukilkan dapat menunjukkan makna yang tersirat dan bijaksana.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.