28 November 2024, 15:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa Melayu sudah wujud sejak abad keempat Masihi berdasarkan penemuan Batu Bersurat Dong Yen Chau di Vitenam. Beberapa batu bersurat yang ditemui pada abad ketujuh juga menggunakan bahasa Melayu. Antaranya termasuklah Batu Bersurat Kedukan Bukit, Batu Bersurat Talang Tuwo, Batu Bersurat Kota Kapur dan Batu Bersurat Karang Brahi. Kegemilangan bahasa ini terserlah apabila bahasa Melayu berfungsi sebagai lingua franca atau bahasa perantara dalam kalangan masyarakat. Bahasa Melayu menjadi alat perhubungan dan perdagangan di Tanah Melayu. Bahasa ini terus berkembang melalui pelbagai perancangan bahasa. Namun begitu, walaupun negara Malaysia sudah merdeka sejak tahun 1957, penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat masih belum memuaskan.

Masyarakat Malaysia tidak lagi memandang tinggi bahasa Melayu sedangkan bahasa ini pernah menjadi bahasa yang sangat gah di rantau ini. Hal ini disebabkan oleh kepelbagaian kaum dan latar belakang yang berbeza-beza. Namun demikian, seharusnya rakyat Malaysia tidak menggunakan alasan ini untuk menolak bahasa Melayu. Bahasa Melayu harus dipelajari secara mendalam kerana bahasa tersebut menjadi lambang negara Malaysia. Tahap penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang rendah dalam kalangan masyarakat akan menonjolkan kelemahan negara ini dari aspek perpaduan. Hal ini dapat dibuktikan apabila masih terdapat segelintir warganegara Malaysia tidak mampu menggunakan bahasa Melayu dengan baik.

Tidak dinafikan bahawa penguasaan bahasa Melayu yang rendah dalam kalangan masyarakat adalah disebabkan oleh kewujudan sekolah vernakular. Hal ini dikatakan demikian kerana sekolah vernakular menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar. Sebagai contoh, bahasa pengantar yang digunakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) ialah bahasa Cina dan bahasa Tamil. Kewujudan sekolah vernakular ini secara tidak langsung mengetepikan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Menurut Nora’azian Nahar dan Fadzilah Abd. Rahman (2018), sebanyak 55.7 peratus murid bukan penutur natif di Sekolah Jenis Kebangsaan Daerah Kuantan masih kurang fasih dalam berbahasa Melayu terutamanya ketika bertutur. Kajian ini jelas menunjukkan bahawa tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan penutur bukan Melayu adalah rendah.

Sekolah yang berpusatkan kaum telah wujud sejak abad kesembilan belas. Manakala sekolah berasaskan kaum telah wujud pada zaman penjajahan British. Menurut Siti Maisarah Othman dan Suffian Mansor (2021), pendidikan vernakular sudah wujud sejak tahun 1815 di Melaka. Tambahan pula, dasar pendidikan terdahulu seperti Penyata Razak (1956) dan Ordinan Pelajaran (1957) telah mengiktiraf kewujudan sekolah vernakular. Kehadiran sekolah vernakular ini telah membantutkan usaha untuk meluaskan perkembangan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat.

Selain kewujudan sekolah vernakular, kewujudan pelbagai parti politik yang berasaskan kaum juga menyebabkan penguasaan bahasa Melayu yang rendah dalam kalangan masyarakat. Kebanyakan parti politik yang berasaskan kaum menggunakan bahasa ibunda mereka ketika berkempen. Mereka mengutamakan bahasa ibunda berbanding dengan bahasa kebangsaan dalam parti. Selain itu, mereka menggunakan bahasa ibunda ketika berkempen sebagai strategi untuk menarik sokongan penuh orang bukan Melayu. Jika kita melihat perbincangan dalam Parlimen melalui pelantar media sosial seperti Tiktok, terdapat beberapa ahli Parlimen yang bukan Melayu kurang fasih ketika berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu. Situasi tersebut jelas memperlihatkan tahap penguasaan bahasa Melayu yang rendah dalam kalangan warganegara Malaysia. Penguasaan bahasa Melayu yang rendah dalam kalangan wakil rakyat ini akan mempengaruhi pemikiran rakyat.

Perkembangan media sosial kesan daripada globalisasi juga mempengaruhi tahap penguasaan dan perkembangan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat. Kebanyakan pengguna media sosial tidak mementingkan ketepatan penggunaan tatabahasa. Mereka lebih gemar menggunakan bahasa mudah, iaitu bahasa rojak yang mencampuradukkan pelbagai bahasa dalam komunikasi. Hal ini mendorong percampuran kod dalam kalangan masyarakat. Bagi sesetengah pengguna media sosial, mereka menganggap penggunaan tatabahasa yang betul adalah tidak penting, asalkan pengguna lain dapat memahami makna yang ingin disampaikan. Hal ini bertambah parah apabila pempengaruh juga tidak menggunakan bahasa Melayu dengan tepat. Secara tidak langsung, kesalahan bahasa terutamanya dari aspek morfologi seperti pemilihan kata dan sintaksis seperti penyusunan semula ayat sering ditemui dalam pelbagai platform media sosial.

Nilai ekonomi bahasa Melayu juga dianggap terlalu rendah. Bahasa Melayu tidak menjadi bahasa utama dalam sektor pekerjaan. Sebagai contoh, apabila seseorang yang menguasai bahasa bahasa Melayu secara mendalam, namun tidak menguasai bahasa lain mahu mencari pekerjaan, mereka akan mengalami kesukaran kerana kebanyakan pesaing mereka menguasai bahasa lain. Kebiasaannya orang yang menguasai bahasa lain seperti bahasa Cina akan diberikan keutamaan ketika mencari pekerjaan. Orang yang hanya menguasai bahasa Melayu lebih sukar mendapat pekerjaan dalam sektor swasta. Hal ini secara tidak langsung menggalakkan masyarakat untuk menguasai bahasa lain atau bahasa asing supaya mudah mendapat pekerjaan. Kesannya, sesetengah masyarakat tidak mahu mempelajari bahasa Melayu dengan betul dan hanya sekadar mempelajari bahasa Melayu setakat peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.

Untuk mengatasi tahap penguasaan bahasa Melayu yang masih rendah dalam kalangan masyarakat, pihak kerajaan perlu meneliti semula pelaksanaan sekolah vernakular. Bilangan sekolah vernakular seharusnya dikawal supaya peranan sekolah ini seiring dengan matlamat sekolah kebangsaan yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Pengawalan ini bukan sahaja dapat meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu, malahan dapat meningkatkan komunikasi antara kaum sekali gus meningkatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Selain itu, pihak kerajaan perlu menyemak semula kurikulum sekolah vernakular terutamanya kurikulum bahasa Melayu. Pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah vernakular seharusnya seiring dan selaras dengan sekolah kebangsaan.

Wakil rakyat yang hendak mewakili sesebuah kawasan juga seharusnya mempunyai tahap penguasaan bahasa Melayu yang tinggi. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka bertanggungjawab mewakili seluruh rakyat yang tinggal di kawasan tersebut. Oleh hal yang demikian, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menetapkan tahap penguasaan bahasa Melayu sebagai syarat kepada ahli Dewan Rakyat.

Pendidik bahasa juga perlu meningkatkan kemahiran mengajar bahasa Melayu di dalam kelas. Hal ini dikatakan demikian kerana kemahiran mengajar amat penting untuk murid. Murid akan tertarik dengan sesuatu topik sekiranya penyampaian guru berkesan. Sebagai contoh, guru perlu menggunakan bahan bantu mengajar yang mudah difahami dan dapat melibatkan penyertaan pelajar secara menyeluruh. Permainan dan teknologi terkini perlu diaplikasikan dalam pengajaran bahasa Melayu. Guru bukan sahaja berperanan sebagai pemudah cara, malahan berperanan sebagai ibu bapa di sekolah.

Penilaian atau rubrik pemarkahan bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga harus diperkemas. Peruntukan markah tatabahasa haruslah seimbang dengan peruntukan markah yang lain. Dengan perubahan ini, murid akan lebih menumpukan perhatian terhadap penguasaan tatabahasa. Secara tidak langsung, generasi yang fasih dalam bahasa Melayu dapat dilahirkan.

Ibu bapa murid yang bukan Melayu juga hendaklah menggalakkan anak-anak mereka untuk memasuki sekolah kebangsaan. Sekolah kebangsaan dapat meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu anak-anak mereka. Selain itu, sekolah kebangsaan juga dapat menjadi wadah perpaduan masyarakat. Jelaslah bahawa ibu bapa bertanggungjawab menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan.

Kesimpulannya, tahap penguasaan bahasa Melayu yang rendah dalam kalangan masyarakat Malaysia disebabkan oleh pelbagai faktor. Tahap penguasaan yang rendah ini akan menyerlahkan kelemahan dalam aspek perpaduan negara. Oleh itu, pelbagai pihak perlu berganding bahu demi meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat. Warganegara Malaysia seharusnya fasih berbahasa Melayu kerana bahasa tersebut merupakan identiti negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.