6 Disember 2024, 15:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sebermula, kendatipun, sudah lebih daripada 10 dasawarsa bahasa Melayu termaktub sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bangsa serta negara yang merdeka seperti yang tertera dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, status quonya itu bukanlah satu jaminan yang fungsi serta peranan sigfnifikannya dalam membangunkan bangsa yang berpendidikan, berilmu, berperadaban, bersatu dan berperibadian nasional tidak dipolitikkan, disensasikan, dipolemikkan, disangsikan serta diremehkan oleh pihak tertentu yang menurut hemat penulis, terdiri daripada mereka yang boleh dianggap sebagai golongan yang cauvinis, oportunis, sinis, dan ada kalanya rasis terhadap keberadaan, sekali gus dwifungsi bahasa Melayu, sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Hatta, apa-apa juga pandangan, teguran, kritikan serta saranan untuk menjitukan, memurnikan  dan memantapkan dwifungsi bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan, bahasa pentadbiran negara, bahasa pengucapan budaya tinggi, bahasa persuratan bangsa, bahasa komunikasi rasmi, dan bahasa penyatuan kaum tentu sahaja sangat dialu-alukan, terutamanya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai institusi perancang bahasa yang membangunkan dan mengembangkan bahasa Melayu yang berwibawa, berautoriti serta  bertanggungjawab di negara ini.

Arakian, sebagai pengguna bahasa, baik dalam kalangan masyarakat umum mahupun kalangan tokoh masyarakat, pihak penguasa, para pemimpin negara, orang politik dan aktivis sosial, sebaik-baiknya hendaklah menahan serta menjauhkan diri daripada membuat pernyataan dan komentar yang bersifat provokasi, sensasi dan kontroversi yang berkaitan dengan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara hingga cenderung kepada menyentuh sensitiviti kaum dan sekali gus mencetuskan suasana yang tidak harmoni dalam masyarakat berbilang kaum di negara Malaysia yang tercinta ini.

Peranan Bahasa

Seyogianya, fungsi bahasa termasuklah bahasa Melayu Malaysia, sebagai alat dan wahana utama dalam pembentukan kebudayaan dan peradaban cukup signifikan. Dalam kedua-dua konteks timbal balik tersebut, peranan bahasa bukan sekadar sebagai alat dan wahana komunikasi sosial sebaliknya, jauh lebih penting daripada itu. Bahasa sesungguhnya berperanan sebagai alat dan wahana untuk membentuk, membina, merakamkan serta mengartikulasikan pemikiran dan  mengekspresikan perasaan. Bahasa juga merupakan unsur dominan dalam pembinaan kebudayaan dan peradaban sesuatu bangsa.

Charton Laird (1957) menegaskan bahawa: “Without language, no humanity; without written language, no civilization” (Tanpa bahasa, tiada bangsa manusia; tanpa bahasa bertulis, tiada peradaban). Justeru, tidak dapat tidak bahasa memainkan peranan yang cukup signifikan dan dominan sebagai wahana pembentukan peradaban sesuatu bangsa.

Barang diingat, dalam konteks pembentukan peradaban Malaysia mahupun negara bangsa Malaysia, bahasa Melayu ialah unsur teras atau akar tunjangnya. Hal ini bertepatan dengan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pengantar pendidikan kebangsaan dan bahasa penyatuan bangsa tanpa mengira asal keturunan, agama, kepercayaan dan kebudayaan masing-masing.

Beberapa tokoh orientalis Barat pernah mengakui akan kebesaran bahasa Melayu. Menurut Profesor A. Teuw dari University of Leiden : “Bahasa Melayu sebenarnya satu bahasa dari zaman-berzaman yang telah berkembang dan disesuaikan dengan keperluan bermacam-macam keadaan kemasyarakatan dan politik. Bahasa Melayu terbuka kepada pembaharuan.”

Walau bagaimanapun, sifat keterbukaan, reseptif atau dinamik bahasa Melayu itu, tidak bererti bahasa itu adalah apa-apa sahaja unsur, khususnya kosa kata daripada bahasa utama lain melalui proses penterjemahan, penyerapan, peminjaman dan sebagainya—ada peraturan dan garis panduannya yang perlu dipatuhi. Seperkara yang perlu diingat adalah dari aspek ejaan perkataan dalam bahasa Melayu Malaysia, itu adalah tanggungjawab khusus DBP dan pihak lain hendaklah mematuhi sistem ejaan yang telah ditetapkan oleh DBP dan Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM). Tanggungjawab dan kebertanggungjawaban perancangan dan pelaksanaan bahasa Melayu oleh DBP yang diperuntukkan dalam Seksyen 5, Akta berkenaan, antara lain mencakupi bidang tugas dan tanggungjawab, iaitu membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan. Hal ini merupakan tujuan keempat penubuhan DBP berdasarkan Akta DBP (Akta 213).

Barang diingat, penubuhan DBP yang dahulunya dikenali sebagai Balai Pustaka di Johor Bahru pada 22 Jun 1956 adalah bertitik tolak daripada perjuangan mengangkat harkat dan martabat bahasa Melayu yang berjalan serentak dengan perjuangan menuntut kemerdekaan negara. Sebenarnya, usaha dan prakarsa mendaulatkan bahasa Melayu melalui dasar pelajaran bermula dengan Dasar Pelajaran Negeri Persekutuan Tanah Melayu yang diwujudkan pada tahun 1949. DBP dipertanggungjawabkan untuk menterjemahkan dwifungsi bahasa Melayu melalui pelbagai perancangan dan pelaksanaan program pembinaan, pemodenan dan pengilmuan bahasa Melayu sesuai dengan status DBP sebagai badan berkanun kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Hatta, seperti juga jabatan kerajaan yang lain, DBP berfungsi dan bertanggungjawab merealisasikan dasar-dasar kerajaan, terutamanya dalam melaksanakan beberapa visi dan misi tertentu yang termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Pindaan 1971, 1990), Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Ordinan 1959, Pindaan 1978) dan Akta DBP 1995 (Pindaan dan Peluasan) berkuat kuasa pada 11 Januari 1996.  Maka itu, bagi memenuhi tuntutan enam tujuan DBP, pelbagai program kebahasaan, kesusasteraan dan penerbitan, termasuk kegiatan kebudayaan serta seni persembahan senantiasa diutamakan oleh DBP demi memastikan aspirasi negara dalam pembangunan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara terlaksana dengan jaya serta cemerlangnya.

Bahasa dalam Era Globalisasi

Di samping harus berhadapan dengan pelbagai cabaran bagi memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang berwibawa, bahasa Melayu juga berhadapan dengan fenomena globalisasi. Tatkala mengimbau kembali kejatuhan pemerintahan totalitarian komunis dan runtuhnya Kesatuan Soviet Rusia pada tahun 1980-an, cukup jelas perkembangan itu mempunyai pengaruh yang kuat dan dominan terhadap perubahan tatanan masyarakat antarabangsa.

Perang dingin antara blok Barat dan blok Timur pun turut berakhir. Barat sekali gus tidak mempunyai saingan lagi, dan hubungan antarabangsa yang sebelum itu lebih cenderung didasarkan kepada kepentingan serta pertimbangan politik dan ideologi tersebut telah beranjak kepada kepentingan ekonomi. Dengan kata lain, isu perang dingin telah beralih kepada isu laissez-faire dan pasaran bebas. Maka, lahirlah AFTA, APEC dan European Common Market yang merupakan natijah daripada perubahan hubungan antarabangsa, sekali gus melahirkan paradigma baharu yang dikenali dengan istilah globalisasi.

Fenomena pensejagatan (globalisasi) yang ditandai oleh hubungan ekonomi antarabangsa sesungguhnya didukung oleh revolusi teknologi informasi yang pada tahap seterusnya merembes ke bidang-bidang lain termasuklah politik, sosial dan budaya. Kemajuan teknologi informasi yang berkembang dan bergerak begitu canggih dan pantas telah mempercepat serta mempermudah interaksi global secara amat signifikan yang turut mempengaruhi kemajuan dan perkembangan bahasa Melayu baku.

Sesungguhnya, fenomena dan perubahan yang cukup canggih dan pantas itu bukan sahaja mewujudkan persaingan yang sengit dalam bidang ekonomi dan teknologi informasi sebagai wahana serta prasarana baharu yang lebih canggih dan pantas, bagaimanapun, turut membawa implikasi yang signifikan terhadap perkembangan sosial, budaya dan juga peradaban. Batas-batas fizikal antar-negara ikut kurang berfungsi, dan bangsa di serata dunia turut berubah menjadi suatu masyarakat global.

Penulis percaya, usaha memperteguh pemartabatan bahasa Melayu tetap akan tercabar pada masa akan datang, baik dalam kancah sosiopolitik negara mahupun di medan kecanggihan dan kepantasan perkembangan dunia teknologi maklumat yang pesat itu. Sukar untuk kita menjangkakan apakah fenomena  yang akan melanda tingkah laku dan budaya berbahasa dalam kalangan masyarakat industri serta digital pada masa hadapan. Apatah lagi,  kita sudah merasai impaknya kini.  Implikasi perubahan dan perkembangan yang dibawa oleh arus globalisasi paling tidak telah membawa dua implikasi utama. Pertama, telah berlaku persaingan antarabangsa yang semakin kompleks dan sengit.

Natijahnya, bangsa yang memiliki keunggulan kompetitif, khususnya yang menguasai sains dan teknologi tinggi sesungguhnya mempunyai peluang yang cukup besar untuk memenangi persaingan tersebut. Persaingan tersebut juga telah mencetuskan dua isu utama, iaitu imperialisme teknologi dan keperluan membangunkan sumber manusia, termasuk dalam pengurusan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Implikasi kedua akibat globalisasi ialah peningkatan interaksi global yang memerlukan bahasa sebagai sarana komunikasi. Dalam konteks ini, marilah bersama-sama kita melihat cabaran dalam memartabatkan bahasa Melayu sejajar dengan perkembangan dan perubahan yang dibawa oleh arus globalisasi.

Cabaran Pemartabatan Bahasa Melayu

Pemartabatan bahasa Melayu di Malaysia khususnya, paling tidak berdepan dengan dua cabaran utama, yakni cabaran dalam negara dan cabaran pada peringkat antarabangsa. Kedua-dua bentuk cabaran ini amat mempengaruhi upaya pemartabatan bahasa Melayu, baik pada peringkat nasional, serantau mahupun antarabangsa.

Cabaran dalam negara yang kini dan akan terus dihadapi oleh bahasa Melayu adalah tentang sikap dan persepsi masyarakat Malaysia itu sendiri terhadap kemampuan dan keterampilan bahasa itu, khususnya yang berkaitan dengan fungsi bahasa sebagai bahasa pengantar pendidikan serta bahasa ilmu. Justeru, menurut hemat penulis, permasalahan kebahasaan utama yang didepani oleh Malaysia pada peringkat nasional atau dalam negara ialah masalah bahasa Melayu, bahasa daerah, penggunaan bahasa asing, dan berkembangnya penggunaan slanga, jargon serta bahasa media sosial yang tidak terkawal mutunya. Ketiga-tiga masalah yang akan dibicarakan oleh penulis ini, tidak dapat lari daripada kehidupan masyarakat pendukungnya.

  • Kedudukan Bahasa Melayu

Pada peringkat nasional, apa-apa juga isu yang berhubung kait dengan perihal integriti, status dan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi harus dilihat dari perspektif kontrak sosial yang dipersetujui bersama sebelum Malaysia mencapai kemerdekaannya. Dalam Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas dan tegas dimaktubkan bahawa:

“Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendak-lah di-tulis dalam apa2 tulisan sebagaimana yang di-peruntokkan dengan undang2 oleh Parlimen …”

Status serta kedudukan bahasa Melayu di sisi perlembagaan dan undang-undang sudah cukup jelas. Oleh itu, peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan itulah yang seharusnya menjadi dasar dalam membangunkan bahasa Melayu, baik sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan, bahasa urus tadbir negara, bahasa perundangan, bahasa ekonomi mahupun bahasa komunikasi rasmi dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Paradoksnya, meskipun dengan status dan kedudukan yang sudah “terjamin” itu, masih ada tindakan serta tingkah laku tertentu dalam kalangan masyarakat, termasuk dalam kalangan terpelajar, yang secara langsung dan tidak langsung cuba menggeserkan peranan serta fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Antaranya termasuklah isu penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah vernakular, penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik atau penggunaan sistem dwibahasa, penggunaan bahasa di tempat awam, peminggiran penggunaan bahasa Melayu dalam majlis rasmi kerajaan yang sepatutnya mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan itu, ketidaklancaran atau ketidakfasihan rakyat Malaysia berbahasa kebangsaan (khususnya generasi pascamerdeka) dan penggunaan bahasa yang salah (dan tidak santun) dalam kalangan masyarakat.

Cabaran lain yang harus diberikan perhatian serius, dan ditangani secara bijaksana ialah tindak-tanduk sesetengah pihak yang cenderung melihat pelaksanaan dasar mengutamakan bahasa kebangsaan dalam pelbagai bidang dari perspektif politik, termasuk dari sudut pandang perkauman, dan kenegerian. Misalnya, penggunaan bahasa kebangsaan dalam majlis rasmi kerajaan dan yang tetamu kehormatnya mewakili pihak kerajaan (termasuk majlis yang majoritinya rakyat Malaysia dan seumpamanya) dan ujian kefasihan bahasa Melayu untuk mereka yang memohon taraf kewarganegaraan Malaysia.

  • Polemik Bahasa

Dalam pada itu, fenomena mempolemikkan bahasa, yakni kecenderungan membahaskan, mendebatkan atau bantah-membantah akan isu dan perkara yang berkaitan dengan bahasa di media massa dan media sosial. Mutakhir ini, penggunaan perkataan tertentu seperti perkataan “peluncuran” dan “ketimbang” oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang asing bagi setengah-setengah pihak disalahfahamkan oleh pihak tertentu, dan tidak difahami oleh sebilangan orang tentang konteks penggunaan perkataan tersebut.

Jika dilihat dari sudut positif, polemik itu telah mencetuskan dan merangsang percambahan fikiran serta mendorong minat masyarakat untuk cakna tentang perkembangan tertentu dalam bidang bahasa, terutamanya yang berkaitan dengan bidang sosiolinguistik. Bagi mereka yang berpolemik berdasarkan ilmu, sudah pasti polemik itu akan memperkaya ilmunya tentang bahasa serta mempertajam akal budinya dalam berbahas. Bagi mereka yang berpolemik bersandarkan emosi serta kailnya yang sejengkal cuma (apatah lagi jika mereka tidak mahu menerima hakikat walaupun hujah mereka adalah dangkal, dan pandangan mereka adalah tidak persis), mereka ialah golongan yang rugi dalam proses menuntut ilmu dan percambahan fikiran.

Apa-apa pun, pelbagai polemik bahasa ataupun isu yang berhubung kait dengan pelaksanaan dasar bahasa yang juga sering dimunculkan di media sosial setidak-tidaknya memberikan gambaran bahawa masih ada dalam kalangan pengguna media sosial itu yang sangat prihatin akan perkembangan semasa bahasa Melayu, dan mahu berkongsi pandangan demi kemaslahatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia yang tercinta ini.

  • Kesantunan Berbahasa

Sesungguhnya, berbahas dan berhujah itu ada seni serta adabnya, dan bukannya ikut suka-suka atau sekadar tumpang sekaki dan bahasa yang digunakan dalam berbahas dan berhujah ialah bahasa yang sopan.

Menurut Asmah Haji Omar dalam bukunya Wacana Perbincangan, Perbahasan dan Perundingan (DBP, 2000:89-30) ada menyatakan bahawa:

Bahasa perbincangan, perbahasan dan perundingan boleh digolongkan

sebagai bahasa terpelajar. Bahasa terpelajar sopan sifatnya, tetapi jika

dibandingkan dengan bahasa halus, bahasa terpelajar kurang sedikit

dari segi darjat kesangatan kehalusannya. Ini disebabkan bahawa dalam

perbincangan, perbahasan dan perundingan, ciri yang sedia ada ialah

konflik antara pihak-pihak yang terlibat. Dalam keadaan konflik,

masing-masing pihak berusaha mengatasi satu sama lain dan muncul

sebagai juara. Dengan demikian, maka sering kali berlaku pendedahan

isi hati (yang marah, gusar, tidak sabar, dan sebagainya) tanpa berselindung.

Permasalahan yang berhubung kait dengan penggunaan bahasa yang tidak sopan, dan yang duga digunakan oleh golongan terpelajar, dalam membahaskan sesuatu isu atau perkara yang ada kepentingan manusia (human interest) tanpa kawalan, saringan dan tapisan di media sosial terutamanya, juga akan tekal menjadi cabaran yang berterusan pada masa akan datang yang menuntut pihak yang berkenaan untuk senantiasa bersiap siaga serta melakukan tindakan pencegahan yang difikirkan wajar dan pragmatik untuk dilaksanakan bagi menangani gejala penggunaan bahasa yang rancu, termasuk bahasa yang tidak sopan di media massa dan sosial yang berada di bawah kawalan pihak kerajaan atau pihak kerajaan mempunyai bidang kuasa untuk mengawalnya.

Akhir kalam, apa-apa juga gejala, peristiwa, fenomena dan polemik bahasa yang tercetus dan dicetuskan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab seharusnya tidak dimanipulasikan, disensasikan dan dipolitikkan dengan mengetepikan sensitiviti orang lain, dan tanpa mempedulikan hati orang yang lain yang tergores luka dek tindakan kita yang terburu nafsu.

Setiap masalah atau konflik yang ada hubung kaitnya dengan kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, hendaknya diselesaikan secara berunding dan umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.