11 Disember 2024, 08:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sebagaimana yang diketahui, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dalam bidang pendidikan. Perkara ini termaktub dalam Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Oleh hal yang demikian, selain mata pelajaran Bahasa Melayu, bahasa Melayu turut digunakan dalam pelbagai mata pelajaran lain, seperti Sejarah, Geografi, Sains dan Matematik.

Namun begitu, timbul persoalan dalam benak penulis selaku seorang guru Bahasa Melayu yang juga mengajarkan mata pelajaran lain. Adakah bahasa Melayu yang gramatis hanya digunakan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu semata-mata? Adakah hukum tatabahasa yang menjadi asas penggunaan bahasa Melayu yang betul boleh diabaikan sama sekali dalam mata pelajaran lain?

Penulis amat terkilan apabila warga pendidik yang sepatutnya terlibat sama dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu bersikap bena tak bena dalam hal ini. Penulis yakin bahawa semua warga pendidik mempunyai pengetahuan asas dalam bahasa Melayu walaupun tidak mengajarkan mata pelajaran tersebut. Sebagai contoh, ayat yang lengkap mestilah terdiri daripada subjek dan predikat.

Pengetahuan asas sebegini sememangnya pernah dipelajari dan bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk difahami. Oleh itu, warga pendidik yang cakna akan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan benar-benar ikhlas dalam usaha memperjuangkan nasib bahasa Melayu di tanah air ini akan memastikan jawapan murid ditulis dalam ayat yang lengkap, terutamanya dalam soalan subjektif respons terbuka (esei). Walaupun tindakan sedemikian mungkin kelihatan remeh bagi sesetengah pihak, impaknya besar dalam jangka masa yang panjang, bak kata Lao Tze, “Perjalanan beribu-ribu batu bermula dengan langkah yang pertama.”

Hakikatnya, aspek bahasa memang tidak dititikberatkan langsung dalam mata pelajaran lain. Yang penting, jawapan yang diberikan oleh murid bertepatan dengan skema pemarkahan yang disediakan. Aspek kegramatisan bahasa Melayu hanyalah ibarat melukut di tepi gantang.

Sebenarnya, guru yang menyemak buku latihan dan kertas jawapan murid hanya perlu memberikan teguran kepada murid untuk membetulkan kesalahan bahasa yang mudah dikenal pasti, seperti penggunaan ayat tergantung, kesalahan kata pemeri dan kesalahan ejaan. Maksud penulis ialah jawapan murid tetap dianggap betul, tetapi nasihat wajar diberikan agar kesalahan bahasa yang sama dapat dielakkan pada masa akan datang. Hal ini dikatakan demikian kerana rakyat Malaysia mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan untuk membaca kupasan mutu jawapan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mata pelajaran lain (bukan mata pelajaran Bahasa Melayu). Alangkah sedihnya penulis apabila mendapati bahawa calon berprestasi cemerlang tetap menggunakan bahasa Melayu dengan sewenang-wenangnya, seolah-olah bahasa Melayu tidak mempunyai sebarang hukum atau rumus tertentu yang perlu dipatuhi. Hal ini menunjukkan betapa hinanya nasib bahasa Melayu di negara ini.

Penulis juga mengajarkan mata pelajaran lain, seperti Sejarah dan Geografi. Penulis tidak pernah sama sekali mengajar murid untuk menulis jawapan dalam bentuk sebegini:

Kepentingan perpaduan ialah menjamin kestabilan politik. Selain itu, memajukan ekonomi negara. Di samping itu, mewujudkan masyarakat yang harmoni.

Sebaliknya, penulis sentiasa mengingatkan murid supaya menulis ayat yang lengkap kecuali dalam bahagian yang dikecualikan, seperti Kertas 4 Bahasa Melayu SPM (Ujian Mendengar). Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Melayu perlu dihormati pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja dan dalam apa-apa jua keadaan. Adakah jawapan dalam ayat yang lengkap terlalu sukar untuk dihasilkan atau dianggap leceh dan membazirkan masa? Tepuk dada tanyalah selera.

Bukan itu sahaja, penulis juga mendapati bahawa sesetengah guru begitu terikat dengan penggunaan kata, frasa dan ayat yang diberikan dalam buku teks dan skema pemarkahan sehingga bahasa yang betul dianggap salah, manakala bahasa yang salah pula dianggap betul. Hal ini juga membuktikan bahawa penggunaan bahasa Melayu yang gramatis langsung tidak diendahkan asalkan jawapan yang dikehendaki diberikan. Sebagai contoh, buku teks bagi mata pelajaran tertentu menggunakan “atas talian”. Penulis memberitahu murid bahawa yang betul ialah “dalam talian” dan gunakanlah bahasa Melayu yang betul pada setiap masa.

Hal yang mendukacitakan ialah jawapan sesetengah murid penulis yang menggunakan “dalam talian” sebagai jawapan dalam peperiksaan dianggap salah. Alasan yang diberikan ialah jawapan murid mestilah mengikut apa-apa jua yang diberikan dalam buku teks dan skema jawapan yang disediakan.

Tindakan sedemikian hanya akan melunturkan semangat murid untuk mempelajari dan menggunakan bahasa Melayu yang betul kerana dirinya dihukum meskipun tidak melakukan kesalahan. Bayangkanlah jika bahasa Melayu yang digunakan di institusi pendidikan (bahasa formal) mengalami nasib sedemikian rupa, bagaimanakah pula nasib bahasa Melayu dalam konteks tidak formal?

Tuntasnya, penulis ingin menyeru semua guru, khususnya guru yang mengajarkan mata pelajaran selain Bahasa Melayu agar mengambil inisiatif untuk membetulkan kesalahan bahasa murid yang dapat dikenal pasti. Usaha murni ini sekurang-kurangnya dapat memangkinkan usaha kerajaan bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Usahlah mendabik dada dan melaung-laungkan perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu sedangkan kerancuan bahasa yang berlaku di depan mata dibiarkan begitu sahaja. Ingatlah bahawa tiada pihak lain yang akan memartabatkan bahasa kebangsaan ini melainkan rakyat Malaysia sendiri yang melakukannya. Sesungguhnya, hilang bahasa, lenyaplah bangsa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.