Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPagoh – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pagoh telah menganjurkan program Kit Bibliosfera di SK Pekan Pagoh bagi membantu pembelajaran sekali gus memperkukuh kemahiran literasi asas dalam kalangan murid yang memerlukan perhatian khas.
Dalam ucapan alu-aluan Guru Besar SK Pekan Pagoh, Puan Siti Hajar Karmani menyatakan bahawa inisiatif seperti ini penting dalam membantu murid pemulihan khas membina asas yang kukuh dalam pembelajaran mereka, khususnya dalam menguasai kemahiran membaca dan menulis.
Program yang diadakan pada 17 Disember yang lalu ini telah diketuai oleh Encik Hazim Fikri Azman bersama-sama dengan mahasiswa dari UIAM Kampus Pagoh yang mengambil Kursus Komunikasi Pengantaraan Komputer.
Mahasiswa yang terlibat bukan sahaja menyediakan bahan pendidikan seperti Kit Bibliosfera, tetapi juga melaksanakan pelbagai aktiviti interaktif termasuk bacaan berkumpulan, permainan kosa kata dan kuiz bahasa.
Menurut Encik Hazim Fikri Azman, Kit Bibliosfera yang dihasilkan secara kolaboratif mengandungi bahan pembelajaran yang disesuaikan dengan keperluan murid pemulihan khas.
Tambahnya,
Kami ingin memastikan bahawa setiap bahan yang digunakan menarik, mudah difahami, dan relevan dengan tahap keupayaan murid.
Inisiatif ini merupakan satu daripada usaha untuk menyokong pendidikan inklusif serta memperkasakan kemahiran murid khususnya murid yang memerlukan bantuan tambahan.
Dengan kejayaan program ini, diharapkan kerjasama antara UIAM Kampus Pagoh dengan SK Pekan Pagoh dapat diteruskan bagi mencipta lebih banyak peluang pembelajaran bermakna khususnya bagi murid yang memerlukan.