Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKangar – “Kemahiran bertutur persuasif merupakan aset penting dalam pelbagai sektor, terutama dalam dunia pekerjaan yang kompetitif. Hal ini disebabkan oleh bahasa persuasif merupakan seni yang meyakinkan dalam komunikasi.”
Demikian menurut YBrs. Dr. Lilisuriani binti Abdul Latif @ Bapoo, iaitu penyelidik utama The Jamalullail Responsible Research Grant Scheme (JRGS) 4.0 selaku pembimbing dalam Bengkel Pembangunan Strategi Bertutur Persuasif untuk Pelajar dan Profesional.
Tambah beliau,
Bengkel ini diharap dapat membantu peserta bukan sahaja dalam kerjaya, tetapi juga dalam kehidupan seharian mereka. Bengkel ini juga bertujuan untuk meningkatkan kemahiran komunikasi efektif serta teknik bertutur yang persuasif dalam pelbagai situasi profesional.
Bengkel anjuran Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) atau kini dikenali sebagai Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin atau singkatannya (UniSIRAJ) telah diadakan di kampus utama UniSIRAJ baru-baru ini. Sebanyak 40 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan staf UniSIRAJ menyertai bengkel ini.
Melalui bimbingan intensif, peserta didedahkan dengan pelbagai strategi dan teknik untuk memperkukuh kemahiran komunikasi mereka, termasuk cara menyampaikan idea dengan jelas, membina hujah yang meyakinkan, serta menjalin hubungan positif dengan audiens selaras dengan Terma Rujukan (TOR) Geran JRGS 4.0 yang menekankan aspek peningkatan kompetensi komunikasi dalam kalangan profesional dan pelajar.
Seorang peserta bengkel, iaitu Siti Balqis yang juga merupakan pelajar UniSIRAJ, mengakui bahawa bengkel ini sangat membantu.
Katanya,
Saya belajar cara menyampaikan idea dengan lebih yakin dan meyakinkan. Ilmu yang saya peroleh melalui bengkel ini sangat berguna untuk masa depan saya.
Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan graduan dan profesional yang berkemahiran tinggi dalam komunikasi sejajar dengan visi universiti untuk membentuk individu yang berdaya saing pada peringkat global.