Diterbitkan pada 27 Januari 2025, 15:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bahasa Melayu kaya dengan warisan budaya termasuklah peribahasa yang mencerminkan kebijaksanaan nenek moyang kita. Satu daripada peribahasa yang mempunyai maksud mendalam ialah “bawa resmi padi, makin berisi makin tunduk”. Peribahasa ini bermaksud semakin banyak ilmu, pengalaman atau kejayaan yang dimiliki oleh seseorang itu, semakin rendah diri dan bersederhana sikapnya. Nilai ini sangat penting untuk diterapkan dalam kehidupan masyarakat moden yang semakin kompetitif dan terdedah kepada sikap sombong dan individualistik. Penggunaan peribahasa ini semakin dilupakan oleh masyarakat kini dan sifat mereka sentiasa berubah seiring dengan peredaran zaman.

Peribahasa ini menggunakan analogi padi, iaitu tanaman yang menjadi asas kehidupan masyarakat agraria di rantau Nusantara. Apabila padi sudah masak dan berat dengan isinya, batangnya akan tunduk yang melambangkan kesediaan untuk bersikap rendah diri. Hal ini mengajarkan kita bahawa kejayaan yang sebenar bukannya diukur melalui pencapaian semata-mata tetapi melalui sikap rendah diri dan kemampuan untuk memberikan manfaat kepada orang lain. Nilai akhlak yang tinggi akan menghasilkan penghormatan daripada orang lain berbanding dengan sifat sombong yang mendongak ke langit.

Dalam kehidupan seharian, peribahasa ini memberikan panduan kepada individu untuk sentiasa menghormati orang lain tanpa mengira status sosial atau pencapaian peribadi. Sebagai contoh, seorang pelajar cemerlang yang menerima anugerah akademik seharusnya tidak bersikap sombong atau memandang rendah terhadap rakannya. Sebaliknya, pelajar tersebut boleh membantu rakannya dengan berkongsi ilmu, menunjukkan empati dan menjadi teladan yang baik. Sikap seperti ini bukan sahaja memperkukuh hubungan persahabatan tetapi juga mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih positif dan harmoni.

Aplikasi dalam Kepimpinan dan Dunia Pekerjaan

Dalam dunia pekerjaan, peribahasa ini menjadi panduan penting untuk mewujudkan suasana kerja yang harmoni dan produktif. Seorang pemimpin yang baik bukan sahaja dihormati kerana kedudukannya tetapi juga kerana sikap rendah diri dan keprihatinannya terhadap pekerja bawahan. Pemimpin yang mengamalkan prinsip ini akan mendengar pandangan pekerja, menghargai usaha mereka dan memberikan pengiktirafan yang sewajarnya kepada pekerja. Sebagai contoh, seorang pemimpin tidak segan untuk membantu pekerjanya menyelesaikan sesuatu masalah walaupun tugas tersebut kelihatan kecil atau remeh.

Sebaliknya, sikap angkuh atau bongkak boleh memecahbelahkan organisasi. Pekerja akan hilang rasa hormat terhadap pemimpinnya yang hanya mementingkan diri sendiri atau menggunakan kuasa untuk menindas orang lain. Dalam jangka masa panjang, suasana ini akan menjejaskan produktiviti dan semangat pekerjanya untuk bekerja. Oleh itu, mempraktikkan peribahasa ini di tempat kerja bukan sahaja memberikan manfaat kepada individu tetapi juga kepada organisasi secara keseluruhannya.

Kepentingan dalam Dunia Pendidikan

Pendidikan merupakan medium utama untuk menyemai nilai murni dalam kalangan generasi muda termasuklah sikap rendah diri yang terkandung dalam peribahasa ini. Guru memainkan peranan penting dalam memupuk kesedaran pelajar tentang pentingnya menjadi insan yang berilmu dan merendah diri. Hal ini boleh dilakukan melalui penerapan peribahasa dalam pengajaran dan pembelajaran, misalnya guru memberikan tugasan kepada pelajar yang bertemakan nilai murni atau mengadakan perbincangan tentang tokoh yang berjaya dan bersikap rendah diri.

Selain itu, penganjuran pertandingan seperti syarahan, debat dan penulisan esei juga boleh menjadi platform untuk menggalakkan pelajar memahami maksud peribahasa ini dengan lebih mendalam. Sebagai contoh, seorang pelajar yang sering memenangi pertandingan syarahan perlu menyedari bahawa kejayaan yang diperoleh merupakan hasil daripada bimbingan guru dan sokongan rakan-rakannya. Sikap ini akan membantu pelajar tersebut untuk terus berusaha tanpa melupakan asal usul dan bimbingan yang diterima.

Kerelevanan dalam Budaya dan Tradisi

Peribahasa ini turut mencerminkan nilai budaya yang sangat penting dalam masyarakat Melayu termasuklah adab menghormati orang tua, kesantunan dalam berkomunikasi dan sikap rendah diri. Nilai ini telah menjadi asas kepada hubungan sosial yang harmoni dalam kalangan masyarakat Melayu sejak dahulu lagi. Sebagai contoh, golongan yang lebih berpengalaman kebiasaannya memberikan tunjuk ajar kepada golongan muda dengan penuh kesantunan dan sikap rendah diri terutamanya dalam majlis kenduri atau aktiviti gotong-royong.

Namun begitu, nilai ini semakin tercabar oleh sikap individualistik yang sering mengutamakan kepentingan peribadi, khususnya dalam dunia moden. Oleh itu, usaha untuk memartabatkan semula peribahasa ini perlu dipergiatkan termasuklah pelaksanaan program kesedaran budaya dan aktiviti komuniti yang melibatkan semua lapisan masyarakat.

Cabaran Mempraktikkan Resmi Padi dalam Era Moden 

Walaupun peribahasa ini mengandungai nilai yang positif, namun mempraktikkannya dalam kehidupan moden bukanlah suatu perkara yang mudah. Sebagai contoh, dalam era media sosial, kebanyakan individu saling bersaing untuk menunjukkan kejayaan mereka kepada khalayak. Fenomena yang dikenali sebagai culture of display ini bertentangan dengan semangat rendah diri yang menjadi inti pati peribahasa tersebut.

Selain itu, tekanan sosial dan ekonomi turut menjadi halangan dalam menerapkan nilai murni ini. Sebagai contoh, dalam dunia korporat yang sangat kompetitif, sesetengah individu berasakan mereka perlu menonjolkan kehebatan diri untuk mendapatkan peluang kenaikan pangkat atau pengiktirafan. Walaupun sikap ini mungkin kelihatan wajar dalam konteks tertentu, namun tindakan tersebut berpotensi merosakkan hubungan interpersonal sekiranya tidak diimbangi dengan sikap rendah diri.

Pelbagai pihak perlu berganding bahu untuk memupuk dan mempromosikan nilai murni yang terkandung di dalam peribahasa tersebut.  Institusi kekeluargaan memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak tentang kepentingan sikap rendah diri. Ibu bapa boleh menjadi teladan yang baik kepada anak-anak dengan menunjukkan sikap yang sederhana walaupun mereka memiliki kejayaan atau kekayaan.

Selain itu, institusi pendidikan juga boleh mengadakan program khas untuk meningkatkan kesedaran pelajar tentang peribahasa ini. Sebagai contoh, sekolah menganjurkan minggu apresiasi budaya yang memberikan peluang kepada pelajar untuk mempelajari peribahasa Melayu melalui aktiviti seperti drama, deklamasi puisi atau pameran seni. Lazimnya, pelajar sekolah menengah sudah terbiasa mendengar peribahasa ini, malah sering menggunakannya dalam penulisan karangan mereka.

Pada peringkat nasional, media massa dan media sosial boleh dimanfaatkan untuk menyampaikan mesej yang positif tentang kepentingan nilai murni ini. Kempen kesedaran melalui iklan, filem pendek atau video inspirasi juga boleh menarik perhatian generasi muda dan menggalakkan mereka untuk menghayati peribahasa ini dalam kehidupan seharian.

Kesimpulan

Peribahasa ini merupakan warisan budaya yang kaya dengan nilai murni. Antara nilai murni yang terkandung dalam peribahasa ini termasuklah sikap rendah diri, kesederhanaan dan saling menghormati yang dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni dan berdaya saing dalam kehidupan moden yang penuh dengan cabaran. Oleh itu, semua pihak termasuklah individu, keluarga, institusi pendidikan dan kerajaan hendaklah berganding bahu untuk memastikan peribahasa ini terus hidup dan diamalkan dalam setiap aspek kehidupan. Melalui kaedah ini, bahasa Melayu bukan sahaja kekal relevan sebagai bahasa kebangsaan tetapi juga menjadi tonggak pembinaan masyarakat yang berbudaya tinggi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi