Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMalaysia mencapai pembangunan yang begitu pesat dan rancak sehingga mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara maju yang lain di pentas antarabangsa. Hal ini hasil usaha gigih daripada semua pihak dalam pelbagai bidang, termasuklah politik, ekonomi dan sosial. Namun begitu, adakah bahasa Melayu, khususnya dari aspek peranannya, mencapai tahap yang sama seperti yang dicapai dalam bidang tersebut.
Realitinya, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu masih dipandang enteng oleh masyarakat. Oleh itu, semua pihak diseru agar melaksanakan peranan masing-masing untuk memartabatkan bahasa Melayu sebelum terlambat. Hal ini dikatakan demikian kerana hilang bahasa, lenyaplah bangsa. Dalam konteks ini, beberapa usaha pragmatik boleh dilakukan oleh pelbagai pihak untuk menjayakan hal ini.
Sebagaimana yang diketahui, ibu bapa merupakan akar tunjang keluarga. Jika akarnya sihat, pokoknya juga sihat. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlu mendidik anak untuk menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam kehidupan harian. Dalam hal ini, ibu bapa sepatutnya menggalakkan anak untuk membaca pelbagai bahan bacaan ilmiah bagi meningkatkan penguasaan bahasa Melayu. Misalnya, ibu bapa digalakkan untuk melanggan majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), seperti Pelita Bahasa dan Dewan Pelajar, secara bulanan agar anak berpeluang untuk mempelajari pelbagai kosa kata baharu dalam bahasa Melayu. Selain itu, ibu bapa haruslah menjadi uswah yang patut diteladani oleh anak dengan cara mengelakkan penggunaan bahasa rojak dalam pertuturan seharian. Impaknya, generasi muda yang fasih berbahasa Melayu dapat dilahirkan.
Di samping itu, pihak sekolah juga berperanan penting untuk memartabatkan bahasa Melayu. Sebenarnya, warga pendidik haruslah mengambil inisiatif untuk melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran dengan cara yang kreatif bagi menarik minat murid untuk mempelajari bahasa Melayu. Bagi merealisasikan hal ini, warga pendidik patut mengaplikasikan kaedah pengajaran abad ke-21 agar pengetahuan tentang bahasa Melayu, termasuklah kemahiran menulis, kemahiran membaca dan kemahiran bertutur dapat disampaikan secara berkesan kepada murid.
Contohnya, guru Bahasa Melayu boleh melaksanakan aktiviti permainan bahasa dan persembahan multimedia, serta menayangkan video pendek tentang puisi atau lagu bahasa Melayu agar murid meminati bahasa Melayu kerana tak kenal maka tak cinta. Pendek kata, pihak sekolah berperanan penting untuk meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan murid kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Sementara itu, media massa turut menggalas amanah untuk memartabatkan bahasa Melayu di negara ini. Hal ini dikatakan demikian kerana apa-apa jua yang disiarkan melalui media massa akan menjadi ikutan masyarakat kerana pengaruh media massa adalah amat kuat sekali, bak kata peribahasa, mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Sehubungan dengan itu, penulis berita mestilah menggunakan bahasa Melayu yang gramatis dan tepat ketika mengarang berita supaya pembaca dapat mempelajari tatabahasa dan istilah bahasa Melayu yang betul pada setiap masa.
Rangkaian televisyen pula haruslah menyiarkan rancangan tentang bahasa Melayu secara berterusan agar rakyat menyedari peri pentingnya untuk mempelajari bahasa kebangsaan. Sebagai contoh, saluran NTV7 boleh menyiarkan rancangan tentang sejarah dan perkembangan bahasa Melayu melalui DidikTV. Menerusi cara ini, semangat cinta akan bahasa kebangsaan dapat disuburkan semula.
Selain itu, pihak kerajaan hendaklah menggembleng tenaga dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk melancarkan kempen kesedaran secara berterusan. Bagi menjayakan kempen yang dianjurkan, pihak kerajaan dan NGO haruslah menguar-uarkannya melalui media massa. Misalnya, Bulan Bahasa Kebangsaan yang dianjurkan oleh DBP pada setiap tahun haruslah disebarluaskan melalui radio, televisyen dan media sosial, seperti Facebook, Instagram dan TikTok.
Tambahan pula, kempen kesedaran perlu dilancarkan di kawasan tumpuan orang ramai, seperti taman perumahan, sekolah dan pusat beli-belah, agar objektifnya, iaitu untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tanpa mengira kaum dan umur dapat dicapai. Tegasnya, pelancaran kempen kesedaran adalah antara prakarsa yang mujarab untuk memartabatkan bahasa kebangsaan.
Sebagai kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa semua pihak perlu menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk memartabatkan bahasa Melayu. Allah SWT berfirman, “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka sendiri yang mengubahnya”. Oleh itu, segenap lapisan masyarakat seharusnya sehati sejiwa dan sehilir semudik untuk mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Mudah-mudahan, dengan iltizam yang teguh, istiqamah yang berterusan dan nawaitu yang ikhlas daripada semua pihak, hasrat kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai lingua franca yang disanjung tinggi di seantero dunia tidak akan menjadi angan-angan Mat Jenin semata-mata. Sesungguhnya, bahasa jiwa bangsa.