Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSifat, keadaan atau suasana yang berbeza dapat dikemukakan secara kiasan melalui peribahasa yang berbeza-beza. Dari segi sifat dan keadaan yang tetap dengan yang tidak, terdapat peribahasa seperti yang berikut:
Sifat atau keadaan yang tetap
Sifat atau keadaan yang tidak tetap
Contoh lain ialah peribahasa tentang keadaan sedih atau gembira. Kalau sedih, terdapat peribahasa seperti air diminum rasa duri, nasi dimakan rasa sekam; bagai kaca terhempas ke batu; dan air mata jatuh ke perut. Bagi perasaan gembira, terdapat peribahasa seperti seperti anjing berjumpa pasir dan orang mengantuk disorongkan bantal. Ada juga peribahasa tentang keadaan yang beruntung atau malang. Bagi keadaan beruntung, peribahasanya adalah seperti anak baik menantu molek. Kalau malang, ada peribahasa seperti antan patah lesung hilang; sudah jatuh ditimpa tangga; terjatuh dihimpit jenjang dan sudah basah kehujanan.
Ada kalanya terdapat dua sifat atau keadaan yang bertentangan yang dinyatakan dalam satu peribahasa. Sila lihat contoh yang berikut:
| Dua sifat yang bertetangan | Contoh peribahasa |
| lemah lembut tetapi keras kemahuannya | seperti buluh ditiup angin |
| kecil tetapi garang, berani, dll | kecil-kecil cabai melaka/rawit |
| bercakap besar, tetapi tidak membuat kerja | cakap berdegar-degar, tahi tersangkut di gelegar |
| bercakap besar tetapi sanak-saudaranya hidup melarat | kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi |
| zahirnya untung tetapi sebenarnya rugi | dilihat galas berlaba, dihitung pokok termakan |
| kerana takut rugi sedikit, akhirnya rugi banyak | sayang garam sececah, busuk kerbau seekor |
| lain dihajati, lain diperoleh | niat hati nak getah bayan, sudah tergetah burung serindit |
| hitam tetapi manis rupanya | hitam-hitam gula jawa |
| mudah berjanji tetapi sukar menepatinya | ya sepanjang hari janji sepanjang jalan |
| orang yang tidak turut campur menjadi susah, yang patut bersusahan berdiam diri | hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong
|
| lain orang yang berbakti, lain orang yang dipuji | hilang jasa beliung, timbul jasa rimbas |
| kalah dengan menang | adat juara kalah menang |
| lama dengan baharu | kain lama dicampak buang, kain baharu pula dicari |
| naik dengan turun | kaki naik, kepala turun |
| lemah dengan kuat | seperti kambing dengan harimau; seperti mentimun dengan durian |
Ada kalanya terdapat perubahan antara dua sifat atau keadaan pada satu peribahasa. Sila lihat contoh yang berikut:
| Perubahan antara dua sifat yang bertentangan | Contoh peribahasa |
| tumpul kepada tajam | belakang parang lagi (kalau) diasah nescaya tajam |
| bodoh kepada cerdik | belalang telah menjadi helang |
| sayang kepada benci | dahulu parang, sekarang besi; dahulu sayang, sekarang benci; habis manis sepah dibuang |
| berselisih kepada berbaik | tiada buruk yang tiada elok |
| menderita kepada senang-lenang | hilang kabus, teduh hujan |
| orang besar atau orang kaya jadi orang biasa/miskin | kain jadi basahan |
Ada peribahasa yang menunjukkan hubungan sebab – akibat. Sila lihat contoh yang berikut:
| Hubungan Sebab – Akibat | Contoh peribahasa |
| rajin bekerja dapat rezeki | hempas tulang berisi perut |
| orang yang berlaku kurang baik terhadap keluarga sendiri akan mendapat malu | potong hidung rosak muka |
| usaha membawa hasil | ikhtiar menjalani, untung menyudahi |
| merantau membawa pengalaman | berjalan jauh banyak dilihat |
| kalau keadaan kacau, ada yang mendapat keuntungan | jong pecah yu kenyang |
| kepandaian diperoleh kalau dibiasakan mengerjakannya | lancar kaji kerana diulang, pasar jalan kerana diturut |