Diterbitkan pada 6 Februari 2025, 15:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Mutakhir ini, acap kali kita melihat dan mendengar penggunaan dialek negeri yang tular di media sosial. Penularan ini secara tidak langsung membawa impak yang positif terhadap masyarakat di Malaysia.

Menurut Kamus Dewan Perdana, dialek bermaksud bentuk bahasa yang digunakan di daerah tertentu atau oleh sesuatu kelas sosial sahaja, bahasa daerah dan loghat. Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian etnik turut memperlihatkan kepelbagaian dalam dialek mengikut negeri termasuklah Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak.

Dialek negeri dapat dilihat sebagai satu daripada alat pendidikan yang mampu memperkasakan patriotisme, iaitu jati diri rakyat Malaysia yang datang dari pelbagai negeri. Dalam pergaulan harian, sudah tentu kita tidak dapat lari daripada bertegur sapa dengan individu yang menggunakan dialek negeri mereka sendiri. Penggunaan dialek dalam pertuturan seharian mereka sudah jelas mencerminkan asal usul mereka dan tempat mereka dibesarkan. Terdapat pelbagai impak positif yang dapat dilihat dari sudut pendidikan dan sudut pembinaan jati diri masyarakat di Malaysia.

Antara impak positif yang dapat dilihat melalui penggunaan dialek dari aspek pendidikan termasuklah cabang ilmu yang berkaitan dengan kajian ilmiah dapat diperluas. Hal ini dikatakan demikian kerana semakin banyak dialek yang diteroka, semakin banyak pendedahan ilmiah tentang latar belakang dialek tersebut dapat diterbitkan. Sebagai contoh, pengkhususan dalam kajian dialek ini tertumpu pada bidang fonologi. Bidang fonologi ini dapat mengkaji dengan lebih luas tentang rumus atau sistem bunyi dan proses yang berlaku dalam penghasilan sesuatu perkataan bagi sesuatu dialek.

Dialek negeri ini tidak dapat dipisahkan daripada penutur aslinya. Pengaruh dialek yang kuat dalam diri mereka menjadi lambang jati diri mereka sebagai anak watan bagi sesuatu negeri atau daerah. Hal ini berdaya menjadi pengaruh yang positif bagi sesebuah masyarakat yang tidak pernah mendengar sebutan perkataan tertentu bagi sesuatu dialek. Sebagai contoh, bagi individu yang tidak pernah mendengar dialek utara, mereka akan terpegun dengan keunikan dialek bagi negeri di utara tersebut. Di negeri Perak seumpamanya mempunyai pelbagai dialek berdasarkan kedudukan geografi yang dipanggil sebagai subdialek.

Penggunaan dialek bagi penuturnya mestilah dikekalkan kerana bimbang akan kepupusannya yang menjadi satu daripada identiti masyarakat majmuk di Malaysia. Bagi seseorang pelajar, sudah tentu penggunaan bahasa Melayu standard dalam kelas menjadi satu tanggungjawab yang harus dipraktikkan dalam kehidupan. Namun begitu, dialek yang telah ditanamkan dalam diri sejak azali tidak dapat dilupakan serta merta. Dialek yang sudah sebati dalam diri ini sudah menjadi kewajipan penutur jati untuk diteruskan kerana dialek ini merupakan harta yang diwarisi daripada nenek moyang dan tidak ternilai harganya

Tuntasnya dialek negeri yang terdapat di Malaysia merupakan satu daripada identiti yang menjadi lambang jati diri penuturnya. Penghayatan dalam penggunaan dialek ini menjadi suatu perkara yang amat mustahak bagi penuturnya demi memelihara dialek tersebut agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Sudah terang lagi bersuluh bahawa dialek negeri dapat dijadikan sebagai alat pendidikan dan sebagai lambang jati diri masyarakat. Oleh itu, kesedaran yang wajar seharusnya diterapkan dalam diri penutur dialek sesuatu bahasa sebagai anak watan sesebuah negeri di negara ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi