Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 20 Februari 2025, 12:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Kejahilan undang-undang bukanlah satu alasan untuk membela diri daripada kebersalahan.” Demikian maksim yang dikongsi oleh Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Profesor Madya Dr. Ramalinggam Rajamanickam, ketika ditemu ramah dalam rancangan Apa Khabar Malaysia, semalam.

Beliau menegaskan bahawa undang-undang bukan sekadar teori atau kandungan semata-mata, tetapi perlu dititikberatkan dari aspek penguatkuasaan dan amalan. Sehubungan itu, Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan dalam Bidang Undang-undang menjadi platform penting sebagai usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dalam perundangan serta memastikan kefahaman undang-undang pada peringkat rakyat.

Ujar beliau,

Simposium ini sebenarnya merupakan sinergi pelbagai pihak yang bertujuan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dalam bidang undang-undang di samping memastikan undang-undang itu sampai kepada rakyat. Apabila undang-undang menggunakan bahasa kebangsaan, undang-undang itu boleh dirakyatkan. Seterusnya, barulah undang-undang dapat difahami oleh semua.

Berbicara tentang isu penggunaan bahasa Melayu dalam bidang perundangan, beliau merujuk Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara. Selain itu, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) turut memperuntukkan bahasa Melayu adalah bahasa utama dalam penggubalan undang-undang dan prosiding mahkamah.

Beliau turut menyorot perkembangan teknologi masa ini yang berpotensi memperkaya bahasa Melayu dalam pelbagai bidang, termasuklah kecerdasan buatan (AI).

Teknologi bukan cabaran, sebaliknya peluang untuk memperluas pengaruh bahasa Melayu, termasuklah mengembangkannya sebagai bahasa ASEAN dan bahasa antarabangsa.

Bagaimanapun, YBrs. Profesor Madya Dr. Ramalinggam mengakui bahawa penggunaan bahasa kolokial di media sosial boleh menjejaskan ketepatan tatabahasa dan semantik. Namun begitu, beliau berpendapat bahawa bahasa Melayu dalam pelbagai laras tetap berperanan sebagai alat penyatuan bangsa dan asimilasi budaya. Hal ini sekali gus membentuk identiti kebangsaan yang kukuh.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi