Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMasyarakat pada zaman ini dihujani dengan pelbagai cabaran yang memerlukan mereka berpegang kuat dengan ajaran agama dan akar budaya agar tidak tersesat dalam perjalanan hidup masing-masing. Di sinilah pentingnya dakwah yang berterusan dalam kalangan masyarakat terutamanya daripada golongan para pendakwah.
Malaysia tidak pernah kekurangan pendakwah baharu kerana pelbagai program dan rancangan televisyen telah diadakan oleh pihak terlibat dalam usaha mencari individu yang mempunyai potensi untuk bergelar pendakwah. Dakwah yang berkesan perlu menitikberatkan pemilihan dan penggunaan bahasa agar setiap seruan dan ajakan mampu diterima dan difahami oleh golongan sasar. Para pendakwah perlu memiliki komunikasi dakwah yang berkesan sebagaimana komunikasi Rasulullah SAW ketika berdakwah sehingga mampu menyebarkan ajaran Islam ke seluruh dunia.
Menurut Kamus Dewan Perdana, pendakwah bermaksud orang atau golongan yang menyebarkan ajaran sesuatu agama. Dalam bahasa Arab, pendakwah ialah dai, iaitu orang yang memikul tanggungjawab dalam menyampaikan seruan dakwah. Manakala mad’u pula merupakan orang yang ditujukan dakwah kepadanya atau disebut kumpulan sasar dakwah. Kumpulan sasar dakwah terdiri daripada pelbagai golongan, kaum agama dan budaya yang memerlukan seseorang pendakwah itu bijak menyampaikan dakwahnya terutama yang melibatkan komunikasi.
Jemkhairil dalam kajiannya bertajuk “Komunikasi antara Budaya sebagai Metode Dakwah untuk Masyarakat Multi Etnik” menyatakan bahawa bentuk komunikasi yang terjadi antara pendakwah dengan golongan sasaran yang mempunyai pelbagai suku, etnik dan budaya ini disebut sebagai da`wah syu`ubiah qaba’iliya. Atas faktor inilah bahasa sebenarnya memainkan peranan penting dalam komunikasi dakwah agar setiap maklumat dakwah yang ingin disampaikan dapat terus difahami dan tidak menimbulkan salah faham dalam kalangan golongan sasar pada kemudian hari.
Allah SWT mengutuskan nabi dan rasul dengan bahasa kaum masing-masing agar proses komunikasi dakwah boleh berlaku secara lebih berkesan sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ibrahim ayat 4 yang bermaksud, “Dan kami tidak mengutuskan seorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah SWT) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah yang Maha Kuasa, Lagi Maha Bijaksana.”
Berdasarkan firman Allah SWT ini, jelaslah bahawa penggunaan bahasa dalam komunikasi dakwah adalah sangat penting agar dapat difahami dengan mudah oleh golongan sasar. Bahkan, bahasa mempunyai peranan yang besar dalam mempengaruhi perasaan manusia kerana setiap perkataan mampu membuatkan manusia ketawa, menangis, sedih dan marah. Jadi, setiap pendakwah sebenarnya perlu berhati-hati dalam pemilihan dan penggunaan bahasa ketika berdakwah dengan masyarakat melalui beberapa teknik komunikasi dakwah termasuklah qaulan sadida (bahasa yang jujur dan benar), qaulan maisura (bahasa yang mudah difahami oleh pendengar) dan qaulan layyina (bahasa yang lembut).
Qaulan Sadida (Bahasa yang Jujur dan Benar)
Setiap pendakwah perlu berpegang dengan prinsip menggunakan bahasa yang jujur dan benar dalam pengisian komunikasi dakwah mereka. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 9 yang bermaksud “Dan hendaklah takut (kepada Allah) orang-orang yang sekiranya mereka meninggalkan keturunan yang lemah di belakang mereka yang mereka khawatir terhadap (kesejahteraan)nya. Oleh sebab itu, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka berbicara dengan tutur kata yang benar.”
Pendakwah perlu menegur setiap kesalahan tanpa gentar atau takut dikenakan tindakan kerana dalam berdakwah setiap butir bicara yang keluar perlu berdasarkan nas al-Quran dan hadis. Bukan itu sahaja, menurut Dajamalul Abidin dalam kajian oleh Nur Damia Hasna dan Zulkefli yang bertajuk “Bahasa Dakwah dalam Komunikasi Pendakwah Orang Asli” menyatakan bahawa pendakwah juga perlu menggunakan bahasa yang mengandungi unsur seperti siddiq, amanah, tabligh dan fatanah dalam dakwah mereka. Jadikanlah Rasulullah SAW yang terus cekal dan tidak gerun dengan segala ancaman ketika menyampaikan dakwah kepada umat terdahulu.
Qaulan Maisura (Bahasa yang Mudah Difahami oleh Pendengar)
Setiap pendakwah juga perlu memastikan pemilihan bahasa yang digunakan dalam ceramah mereka adalah bersesuaian dengan khalayak pendengar. Dalam usaha untuk berdakwah, masyarakat perlu dihidangkan dengan komunikasi yang mudah difahami oleh mereka berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 28 yang bermaksud, ”Dan jika kamu berpaling dari mereka untuk memperoleh rahmat dari Tuhannya yang kamu harapkan, maka katakanlah kepada mereka qaulan maisura, iaitu ucapan yang mudah.”
Dalam komunikasi lisan, fungsi dan peranan bahasa yang digunakan adalah sangat penting. Jadi, pendakwah yang kebanyakannya menggunakan medium ceramah perlu memastikan komunikasi tersebut menggunakan laras bahasa yang sesuai dengan golongan pendengar kerana tahap pemikiran setiap golongan adalah berbeza antara satu sama lain. Hal ini juga disokong oleh Zulkefli Aini dan S. Salahudin dalam kertas kerja mereka bertajuk “Hubungan antara Pendakwah dengan Mad’u dalam Komunikasi Insan” yang menyatakan bahawa seorang pendakwah perlu bijak berkomunikasi dengan melihat kepada keperluan dan latar belakang kelompok individu yang menjadi sasaran dakwahnya. Buktinya, Rasulullah SAW juga terlebih dahulu melihat golongan dan kelompok masyarakat dalam dakwahnya agar bahasa yang digunakan sesuai dan mudah difahami oleh pemikiran mereka.
Qaulan Layyina (Bahasa yang Lembut)
Para pendakwah juga perlu menggunakan bahasa yang lembut semasa berdakwah agar pendengar tertarik dengan cara dakwah mereka. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Taha ayat 44 yang bermaksud, “Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah-lembut, mudah-mudahan dia sedar dan takut.”
Bahasa yang lembut lebih mudah menyentuh perasaan para pendengar berbanding dengan bahasa kasar terutamanya bagi golongan yang bersifat pemarah. Jika para pendakwah berkasar, maka tidak mustahil ada pihak yang ingin mendekati ajaran Islam terus menjauh dan segala usaha untuk meramaikan umat Islam menemui kegagalan. Jadi, setiap pendakwah perlu menggunakan bahasa yang lembut dan sentiasa menjaga kesantunan berbahasa sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat 159 Surah Ali-Imran yang bermaksud, “Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.”
Para pendakwah perlu mengetahui dan mengaplikasikan teknik komunikasi tersebut agar setiap pengisian dan mesej dakwah yang disampaikan oleh mereka mudah difahami dan diterima dengan baik oleh pendengar. Komunikasi dakwah penting kerana bahasa yang digunakan boleh mempengaruhi pemikiran dan perasaan pendengar untuk mendekati dan mendalami ajaran Islam. Bukan sahaja ketika berdakwah, setiap pendakwah juga perlu memastikan mereka juga sentiasa santun berbahasa sepanjang masa. Rasulullah SAW bukan sekadar mendidik semata-mata tetapi juga menjadikan diri Baginda sebagai suri teladan buat masyarakat.
Namun begitu, para pendakwah perlu memahami santun berbahasa bukan bererti bahasa intonasinya lemah dan perlahan, tetapi penuh tegas dan lembut sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah an-Nahl ayat 125 yang bermaksud, “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.”
Tuntasnya, teknik dan bahasa dalam komunikasi dakwah perlu diberikan perhatian oleh para pendakwah agar setiap pengisian yang disampaikan mampu diterima dan difahami oleh golongan sasaran. Komunikasi dakwah yang berkesan juga mampu meningkatkan kebolehpercayaan golongan sasaran untuk mendekati dan mendalami ajaran Islam seterusnya mampu meramaikan umat Islam di seluruh pelosok dunia. Setiap pendakwah sewajarnya mencontohi komunikasi dakwah junjungan kita, iaitu Rasulullah SAW dan mengamalkan teknik komunikasi dakwah sebagaimana hadis Baginda yang bermaksud “Berbicaralah dengan manusia menurut kadar akal (kecerdasan) mereka masing-masing.” (Riwayat Muslim).