Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Masyarakat Malaysia semakin terbiasa dengan penggunaan bahasa yang tidak mematuhi hukum tatabahasa, baik dalam pertuturan harian mahupun penulisan formal. Isu ini menjadi tumpuan dalam rancangan Jendela Fikir di Bernama Radio pagi tadi, yang menampilkan pensyarah kanan Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, Universiti Putra Malaysia (UPM), YBrs. Dr. Shamsudin Othman.
Dalam diskusi bertajuk Malaysia Kecanduan Bahasa Rancu, beliau menjelaskan bahawa bahasa rancu sering disamakan dengan bahasa rojak, walaupun kedua-duanya berbeza dari segi definisi. Bahasa rancu merujuk kekeliruan dalam penggunaan kata dan struktur ayat yang tidak mengikut sistem tatabahasa, manakala bahasa rojak merujuk percampuran bahasa Melayu dengan bahasa lain dalam satu ayat.
Walaupun tidak sama antara bahasa rancu dan rojak, kedua-duanya melanggar dan tidak mematuhi sistem tatabahasa.
Menurut YBrs. Dr. Shamsudin, kebiasaan bertutur dalam bahasa yang tunggang-langgang berpunca daripada keinginan untuk menyampaikan mesej dengan mudah, tanpa mengambil kira aspek tatabahasa yang betul. Sikap ini menimbulkan dilema, jika terlalu menitikberatkan penggunaan bahasa baku yang sempurna, gramatis dan berlaras tinggi, pendengar mungkin sukar memahami maksud yang ingin disampaikan. Namun begitu, jika terlalu mengabaikan hukum tatabahasa, bahasa Melayu akan kehilangan keindahan dan keunggulannya sebagai bahasa rasmi negara.
Beliau turut mengulas tentang kecenderungan sesetengah individu yang lebih selesa menulis e-mel rasmi dalam bahasa Inggeris berbanding dengan bahasa Melayu. Hal ini dikaitkan dengan kebimbangan mereka terhadap keupayaan menulis dengan tatabahasa yang betul, sekali gus mencerminkan tahap penguasaan bahasa yang lemah.
YBrs. Dr. Shamsudin menegaskan bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga melambangkan status seseorang dalam masyarakat. Keupayaan seseorang bertutur dan menulis dengan baik dalam sesuatu bahasa bukan sahaja mencerminkan tahap ilmunya, tetapi juga mencerminkan identiti dan jati dirinya.
Beliau mempersoalkan sikap segelintir rakyat Malaysia yang enggan menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi, sedangkan negara lain seperti Jepun, China, dan Perancis tetap mempertahankan bahasa kebangsaan masing-masing.
“Jika seseorang merasakan bahawa dilahirkan di Malaysia yang bahasa kebangsaan dan bahasa rasminya ialah bahasa Melayu, maka individu tersebut perlulah fasih dalam bahasa tersebut. Seseorang yang berkelahiran Jepun bertutur dalam bahasa Jepun, seseorang yang berkelahiran England dan Amerika Syarikat mesti faham selok belok bahasa Inggeris dan seseorang yang lahir di China atau India perlu mengamalkan bahasa rasmi walaupun terdapat beratus-ratus bahasa etnik di dalamnya,” ujar beliau.
YBrs. Dr. Shamsudin juga mengingatkan bahawa Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 telah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, dan seharusnya dihormati oleh rakyat Malaysia.
Dalam era globalisasi dan kemajuan teknologi, pelbagai istilah baharu dalam bidang perubatan, kejuruteraan, dan teknologi yang terus muncul dan mempengaruhi bahasa harian. Dr. Shamsudin menegaskan bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memainkan peranan yang penting dalam memastikan istilah baharu ini disesuaikan dengan sistem bahasa Melayu yang betul.
Selain itu, beliau turut menyentuh tentang pengaruh bahasa Arab dalam bahasa Melayu kolokial, terutama bagi konteks keagamaan. Walaupun pinjaman istilah daripada bahasa asing adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, beliau mengingatkan bahawa penggunaannya harus selari dengan sistem bahasa Melayu agar tidak merosakkan keaslian bahasa itu sendiri.