Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKesultanan Melayu Melaka yang wujud dari tahun 1400 hingga tahun 1511 merupakan satu daripada pusat perdagangan dan penyebaran agama Islam yang amat penting di Nusantara. Selain kemajuan dalam bidang politik dan ekonomi, kerajaan Melaka pada masa itu juga berperanan penting dalam perkembangan bahasa Melayu sebagai lingua franca di rantau tersebut.
Dalam konteks ini, lingua franca ialah bahasa perantaraan atau bahasa perhubungan antara masyarakat yang menggunakan bahasa yang berlainan. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka berkembang dengan pesatnya, sekali gus menjadi alat komunikasi utama dalam urusan perdagangan, diplomasi dan penyebaran agama Islam.
Kerajaan Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangsa berjaya menarik pedagang dari China, India, Arab dan Eropah. Hal ini disebabkan oleh kedudukan pelabuhan Melaka yang strategik, iaitu terletak di tengah-tengah laluan perdagangan utama di antara timur dengan barat. Di pelabuhan Melaka, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa perantaraan antara pedagang yang berlainan latar belakang, bangsa dan agama. Hal ini disokong oleh Tome Pires dalam Suma Oriental yang menyatakan bahawa bahasa Melayu digunakan secara meluas di seluruh Kepulauan Melayu.
Bukan itu sahaja, urusan surat-menyurat antara Kesultanan Melayu Melaka dengan kerajaan luar, seperti Dinasti Ming di China dan Kesultanan Pasai, turut menggunakan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu dalam hubungan diplomasi menunjukkan kepentingan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi rasmi.
Selain itu, bahasa Melayu digunakan dalam sistem pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka. Buktinya, undang-undang bertulis, seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka, ditulis dalam bahasa Melayu dengan pengaruh unsur Islam.
Hukum Kanun Melaka mula ditulis pada pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1446–1456) dan disusun semula secara teratur pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1489–1511). Undang-undang ini mengandungi 44 fasal yang berkaitan dengan hak keistimewaan dan tanggungjawab raja, serta pembesar. Selain itu, hukum Islam diintegrasikan dalam undang-undang ini, terutamanya yang berkaitan dengan jenayah, urusan jual beli dan kekeluargaan.
Sementara itu, Undang-undang Laut Melaka ditulis pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah untuk menentukan peraturan pelayaran dan perdagangan. Undang-undang yang mengandungi 25 fasal ini menerangkan peraturan di laut, tertib berniaga dan tatacara berjual beli. Kandungannya juga berkaitan dengan tanggungjawab nakhoda, anak kapal, kiwi dan syahbandar.
Kewujudan Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka ini membuktikan bahawa bahasa Melayu bukan sahaja digunakan sebagai alat komunikasi harian, tetapi juga mempengaruhi aspek perundangan dan pentadbiran negara.
Agama Islam pula berkembang dengan pesatnya di Nusantara melalui usaha dakwah pedagang dan ulama. Mereka menjadikan bahasa Melayu sebagai medium dakwah. Oleh hal yang demikian, wujud karya Islam, seperti Hikayat Nabi Muhammad dan Hikayat Amir Hamzah, yang ditulis dalam bahasa Melayu dengan pengaruh kosa kata Arab dan Parsi.
Sebenarnya, penggunaan bahasa Melayu dalam konteks keagamaan juga dapat dibuktikan melalui penemuan batu bersurat. Contohnya, Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh sekitar 702 Hijrah (1303 Masihi) merupakan satu daripada bukti tertua bagi kewujudan agama Islam di Tanah Melayu. Batu bersurat ini ditemukan di Kampung Buluh, Kuala Berang, Terengganu pada tahun 1899 dan kini disimpan di Muzium Negara, Kuala Lumpur.
Tulisan yang digunakan pada batu bersurat ini ialah tulisan Jawi yang menggunakan bahasa Melayu klasik dengan pengaruh bahasa Arab. Walaupun Batu Bersurat Terengganu tidak berkaitan dengan Kesultanan Melayu Melaka secara langsung, penemuannya dapat dianggap sebagai bukti awal penyebaran agama Islam di Tanah Melayu yang kemudiannya berkembang dengan lebih pesat pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Kesusasteraan Melayu pula mengalami perkembangan yang pesat pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka dan diteruskan pada zaman Kesultanan Johor Riau. Buktinya dapat dilihat melalui penghasilan pelbagai karya agung. Karya agung yang ditulis dalam bahasa Melayu mampu mencetuskan unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu.
Bukan itu sahaja, karya agung juga melambangkan pencapaian unggul dalam tamadun Melayu yang mencerminkan pemikiran dan pandangan hidup bangsa Melayu. Contohnya, penghasilan karya agung, seperti Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin, mampu memperkukuh identiti dan ketamadunan Melayu.
Hikayat Hang Tuah ialah sebuah epik kepahlawanan yang merentas sepanjang zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Kandungannya berkaitan dengan ketaatan Hang Tuah terhadap raja dan Kesultanan Melayu Melaka. Sulalatus Salatin pula menceritakan asal usul keturunan raja Melaka, adat istiadat kerajaan dan sejarah Kesultanan Melayu Melaka. Kedua-dua buah karya agung ini diiktiraf sebagai hasil kesusasteraan klasik dan epik Melayu tradisional oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) dalam Daftar Ingatan Dunia (The Memory of the World Register).
Secara keseluruhannya, bahasa Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka mempunyai peranan yang amat penting. Peranan pentingnya sebagai lingua franca membantu penyebaran tamadun Melayu dan agama Islam di Nusantara. Keunggulan bahasa Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka menjadi asas perkembangan bahasa Melayu moden yang digunakan pada hari ini.