Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 28 Februari 2025, 10:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bahasa Melayu perlu dimantapkan sebagai bahasa perundangan yang sahih dan berwibawa dalam sistem kehakiman dan penggubalan undang-undang negara. Keputusan ini merupakan satu daripada resolusi utama bagi Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan dalam Bidang Undang-Undang yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semalam.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapannya menekankan bahawa teks Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu harus diangkat sebagai teks sahih pada tahun 2025 bagi memperkukuh kedudukannya sebagai bahasa utama dalam sistem perundangan negara. Bagi mencapai matlamat ini, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 perlu dipinda agar peruntukannya lebih jelas dan kukuh, khususnya dalam aspek penggunaan bahasa Melayu dalam penggubalan undang-undang serta prosiding mahkamah.

Dalam usaha menjayakan perkara ini, suatu jawatankuasa pakar undang-undang perlu ditubuhkan bagi mengkaji dan memperkukuh pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa undang-undang. Simposium ini juga mengesyorkan agar program dan aktiviti yang memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam sistem perundangan diadakan secara tekal dan berterusan.

Bagi memastikan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama dalam institusi kehakiman, mahkamah hendaklah menggunakannya dalam semua prosiding selaras dengan Seksyen 8 Akta 32. Hal ini sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menggariskan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Penggunaan bahasa kebangsaan dalam prosiding mahkamah perlu diperluas dan diperkasakan bagi memastikan penggunaan bahasa ini tidak terhad kepada dokumen rasmi sahaja, tetapi turut merangkumi hujahan lisan serta pemfailan dokumen undang-undang. Mahkamah juga perlu terus mempergiat usaha menulis alasan penghakiman dalam bahasa kebangsaan, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai bahasa ilmu dalam bidang perundangan.

Selain itu, para peguam perlu diberi galakan dan dorongan untuk mengutamakan bahasa kebangsaan dalam semua peringkat prosiding mahkamah, bermula dari pemfailan dokumen hingga ke peringkat rayuan kes. Kerajaan serta institusi kehakiman disarankan untuk menyediakan latihan dan kursus intensif kepada hakim dan pengamal undang-undang bagi meningkatkan kecekapan mereka dalam menggunakan bahasa Melayu, terutama dalam aspek penggunaan istilah undang-undang.

Bagi memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar, sebuah jawatankuasa pemantauan dan penilaian perlu diwujudkan untuk menilai sejauh mana bahasa kebangsaan digunakan secara meluas dalam mahkamah serta memastikan kualiti penggunaannya sentiasa berada pada tahap yang tinggi.

Simposium ini turut menekankan kepentingan mempercepat usaha menterjemah semua akta daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu, seterusnya mengangkatnya sebagai teks sahih bagi memastikan keseragaman penggunaan bahasa dalam perundangan negara.

Proses penggubalan istilah undang-undang dalam bahasa Melayu perlu dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuklah badan kehakiman, akademik dan institusi berkaitan bagi memastikan istilah yang diguna pakai adalah seragam dan diterima oleh semua pihak berkepentingan. Bagi menyokong usaha ini, kajian dan penerbitan glosari undang-undang dalam bahasa Melayu perlu dilakukan secara menyeluruh, agar istilah yang digunakan adalah tepat dan menepati kehendak perundangan negara.

Sebagai bahasa ilmu, pelaksanaan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 2023-2030 perlu diperkukuh sepenuhnya bagi memastikan generasi masa depan dapat memahami dan menguasai bahasa perundangan dalam bahasa kebangsaan. Pendidikan undang-undang perlu diberikan secara dwibahasa, namun dengan keutamaan terhadap bahasa Melayu bagi menjamin pemartabatan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu.

Institusi pendidikan tinggi (IPT) perlu mempunyai ketetapan dasar yang jelas bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam bidang undang-undang. Kursus bahasa Melayu dan undang-undang wajar dijadikan sebagai kursus wajib kepada pelajar undang-undang di semua institusi pengajian tinggi tempatan. Selain itu, penerapan nilai jati diri dalam kalangan warga IPT perlu diperkasakan melalui pelbagai program akademik dan bukan akademik yang berfokuskan pemartabatan bahasa kebangsaan.

Dalam aspek penulisan ilmiah, IPT perlu meningkatkan penerbitan makalah dalam bahasa kebangsaan, sama ada dalam bentuk buku, jurnal akademik atau prosiding persidangan. 

Pihak firma guaman turut disarankan mengutamakan bahasa kebangsaan dalam urusan perundangan, khususnya dalam penyediaan dokumen undang-undang seperti kontrak dan perjanjian rasmi.

Selain itu, majikan perlu menjadikan penguasaan bahasa kebangsaan sebagai satu daripada kriteria dalam pengambilan pelatih dalam kamar dan pekerja baharu bagi memastikan kelangsungan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang perundangan negara.

Simposium ini dihadiri oleh tokoh penting dalam bidang perundangan dan akademik, termasuklah YBhg. Dato’ Ab Pattah Hasbullah (Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan), YBhg. Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad (Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia), YBhg. Dato’ Dr. Haji Jeniri Amir (Ahli Lembaga Pengelola DBP) serta YBrs. Prof. Madya Dr. Ramalinggam a/l A. Rajamanickam (Pensyarah Fakulti Undang-undang UKM).

Turut hadir ialah wakil-wakil daripada pelbagai institusi kerajaan dan akademik, termasuklah Universiti Utara Malaysia (UUM), Jabatan Peguam Negara, Kementerian Luar Negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Sumber Manusia dan Parlimen Malaysia.

Dengan kesepakatan yang dicapai dalam simposium ini, semua pihak berkepentingan diharap agar dapat memainkan peranan masing-masing dalam merealisasikan hasrat memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam sistem perundangan negara, sekali gus memastikan kedudukan bahasa kebangsaan sentiasa dihormati dan dipelihara dalam urusan rasmi negara.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi