Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKomunikasi ialah elemen penting dalam kehidupan masyarakat ketika bersosial. Dengan berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, afasia ditakrifkan sebagai keadaan tidak berupaya untuk memahami atau mengungkapkan sesuatu ujaran yang disebabkan oleh penyakit atau kecederaan pada otak.
Secara ringkasnya, afasia merujuk ketidakmampuan seseorang untuk mengungkapkan sesuatu bahasa dengan tepatnya. Gejala afasia berlaku disebabkan oleh kecederaan otak apabila aliran darah pada otak tidak mencukupi atau berlaku penyempitan pada pembuluh darah yang menyebabkan strok. Penghidap afasia boleh dikelaskan kepada beberapa jenis, seperti afasia Broca, afasia Wernicke dan afasia global.
Afasia Broca ialah gangguan fungsi bicara yang disebabkan oleh adanya kelainan pada otak, khususnya pada daerah Broca. Menurut Rosma Kadir dalam makalah “Karakteristik dan Perlakuan (Treatment) terhadap Anak Penderita Afasia”, penderita afasia Broca mengalami kesulitan dalam aspek penyelarasan fikiran, perasaan dan keinginan untuk menghasilkan simbol yang bermakna dan difahami dalam bentuk ungkapan lisan dan tulisan ketika berinteraksi dengan orang lain. Kebiasaannya, penghidap afasia ini melafazkan ayat yang tidak lengkap, tetapi masih dapat difahami. Misalnya, ayat “saya ingin membaca buku” diujarkan sebagai “saya buku”.
Antara usaha yang dapat dilakukan oleh penghidap afasia Broca untuk memperoleh bahasanya termasuklah pelaksanaan terapi komunikasi bukan lisan yang menggunakan komputer, gambar atau gerak tubuh. Terapi tersebut dapat diberikan menggunakan pelbagai latihan, seperti pemilihan imej atau objek, pemberian nama bagi objek dan pengenalpastian perkaitan antara bahan.
Contohnya, perkaitan gerak tubuh badan menggunakan gerak isyarat untuk menunjukkan objek, seperti gerakan dua jari yang menunjukkan objek gunting membolehkan pesakit memahaminya berdasarkan pemerhatian yang dilakukan. Hal Ini membolehkan penghidap masalah ini menyatakan pendapat dan meningkatkan kemahiran perbualan dengan mudahnya.
Menurut Amila, Evarina Sembiring dan Janno Sinaga dalam makalah “Pemberdayaan Keluarga Pasien Stroke Afasia melalui Pelatihan Komunikasi Verbal”, tujuan latihan tersebut adalah untuk meningkatkan kemahiran bahasa dan komunikasi, interaksi antara pesakit dengan keluarga, meningkatkan kebebasan dan membina hubungan sosial dengan orang lain. Tuntasnya, terapi komunikasi bukan lisan dapat membantu pesakit untuk menambah kosa katanya melalui pemerhatian dan pengadaptasian tutur kata yang diucapkan oleh orang keliling.
Selain itu, pemberian maklum balas yang positif kepada penghidap masalah ini sekiranya berjaya bertutur ialah satu daripada langkah untuk menerapkan motivasi secara intrinsik untuk terus berkomunikasi. Ungkapan bukan linguistik sering digunakan untuk memberikan maklum balas positif kepada penghidap afasia Broca, seperti tepukan dan gerak isyarat positif lain, seperti yang dinyatakan oleh Riki Nasrullah, Dadang suganda, Wagiati dan Sugeng Riyanto dalam makalah “Komunikasi Terapeutik dalam Pemulihan Kompetensi Linguistik Pasien Penyandang Afasia Broca”.
Sudut pandang motivasi lain juga digunakan dengan cara meminta penghidap tersebut menyebut ulang, menyebut sesuatu yang dilihat, menyatakan sesuatu berdasarkan urutan yang sudah biasa terhadap golongan ini. Penggunaan kata-kata positif, misalnya “hebatnya” dan “pandainya”, memotivasikan penghidap ini untuk terus bersemangat dalam pertuturan. Kaedah ini dapat membantu golongan ini untuk mengucapkan sesuatu dengan yakinnya. Ringkasnya, maklum balas positif yang diberikan satu daripada sokongan terhadap pesakit untuk terus berani ketika berkomunikasi.
Seterusnya, strategi yang dapat digunakan ialah penggunaan kamus poket. Kamus poket ialah himpunan kata dan gambar yang disusun dalam beberapa kategori, misalnya makanan, minuman dan pengangkutan. Menurut Hendra Djuhendi dalam makalah “Pengaruh Penerapan Metode Terapi Komunikasi Total terhadap Pasien Afasia Global Pasca Stroke”, rawatan ini sesuai digunakan untuk merawat pesakit afasia dewasa kerana terdapat sebilangan pesakit yang menghadapi masalah mencari kata dan menyusun ayat yang kadangkala mengekspresikan diri tanpa menggunakan struktur ayat yang betul. Dalam hal ini, penggunaan kamus poket membolehkan rangsangan berlaku, iaitu dengan cara memberikan jawapan berdasarkan gambar yang ditunjukkan. Oleh itu, kaedah ini membantu pesakit untuk mengingati kata dan situasi sesuatu perkara berdasarkan gambar.
Selanjutnya, satu daripada rawatan inovatif yang disyorkan ialah intonasi melodi. Terapi pertuturan mampu menggalakkan pesakit yang mengalami masalah pertuturan yang lemah untuk cuba meluahkan kata dengan nada muzik. Hal ini ditegaskan oleh Norul Haida dalam buku Ilmu Psikolinguistik yang menyatakan bahawa pesakit afasia Broca dapat bernyanyi menggunakan kata yang sama, tetapi tidak dapat mengucapkan kata itu kembali ketika bertutur.
Penggunaan melodi yang pelbagai, misalnya penggunaan lagu kanak-kanak yang menggunakan kosa kata yang asas dan mudah difahami, dapat menarik minat pesakit untuk mendengarnya berulang kali dan mengingati kata tersebut. Tuntasnya, penggunaan lagu membolehkan pesakit ini dapat mengenali dan menuturkan kosa kata dengan lebih banyak melalui gabungan antara melodi dengan kata yang didengari.
Lazimnya, penderita afasia Broca mengalami kesukaran untuk mengungkapkan kalimat yang lengkap, berbicara dengan ritma yang tidak teratur dan sering berhenti ketika berbicara. Pembelajaran dan bimbingan yang mantap perlu diberikan kepada penghidap afasia walaupun proses rawatan memerlukan tempoh yang lama.
Motivasi daripada dalaman dan luaran juga perlu disalurkan oleh orang keliling, terutamanya keluarga sendiri. Penelitian yang berkaitan dengan rawatan afasia juga perlu giat dilakukan bagi membantu golongan ini melakukan rutin harian seperti biasa. Oleh itu, dengan kepesatan teknologi yang seperti cendawan tumbuh selepas hujan ini, diharap agar lebih banyak cara dapat dihasilkan bagi membantu penghidap afasia Broca berkomunikasi seperti sedia kala.