Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Buat kali ketiga, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Ilmu Khas (IPGMKIK), Cheras menerima kunjungan 12 orang pelajar dari Tokyo University of Foreign Studies (TUFS), Jepun, bersama-sama dengan seorang pensyarah mereka, Puan Faridah Mohamed bagi menyertai Program “Sensei” 3.0.
Program ini merupakan program kebahasaan, kebudayaan, kesusasteraan dan komunikasi yang dianjurkan oleh pelajar dan pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, IPGMKIK dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Selain mengukuhkan penguasaan berkomunikasi dalam bahasa Melayu, Program “Sensei” 3.0 ini juga bertujuan memupuk pertukaran budaya dan pendidikan antara Malaysia dengan Jepun.
Fokus aktiviti kali ini mengetengahkan beberapa elemen budaya tradisional Malaysia yang menarik. Pelajar Jepun yang mengambil jurusan Bahasa Melayu di TUFS berpeluang mempelajari seni anyaman kelongsong ketupat dan seni anyaman kelarai, iaitu dua kemahiran tradisional yang sarat dengan nilai sejarah dan estetika.
Selain itu, mereka juga diajar cara mengelim karipap, satu proses yang memerlukan ketelitian, ketekunan dan kesabaran. Tidak ketinggalan, program ini turut memperkenalkan permainan tradisional Malaysia termasuklah dam haji, colek lidi, dan lastik getah.
Permainan ini bukan sahaja memberikan keseronokan, malah membuka ruang untuk pelajar memahami cara hidup dan nilai masyarakat Malaysia. Melalui aktiviti ini, pelajar Jepun dapat merasai sendiri betapa permainan tradisional mampu merapatkan hubungan antara individu.
Sementara itu, Ketua Jabatan, Jabatan Pengajian Melayu, IPGMKIK Encik Mat Johan Mamat menyatakan bahawa program seperti ini penting bagi memantapkan penguasaan bahasa Melayu secara amali khususnya bagi pelajar Jepun yang mengambil jurusan Bahasa Melayu di TUFS itu sendiri. Tidak ketinggalan kepada pelajar IPGMKIK, mereka juga berpeluang berinteraksi dan mengajarkan bahasa Melayu kepada penutur asing dengan menggunakan pelbagai kaedah dan teknik yang sesuai.
Satu lagi aspek menarik dalam Program “Sensei” 3.0 ialah pembelajaran bahasa isyarat. Para pelajar Jepun berpeluang mempelajari asas-asas bahasa isyarat Malaysia, yang merupakan satu kemahiran penting dalam komunikasi inklusif.
Ujar Penyelaras Program “Sensei” 3.0, Puan Norani Abd Rahim,
Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bahasa isyarat, malah memberikan pengalaman baharu kepada pelajar dalam berinteraksi dengan komuniti pekak. Aktiviti pembelajaran bahasa isyarat Malaysia menjadi identiti khas dalam setiap aktiviti yang berlangsung di IPG ini.

Sementara itu, Puan Maisarah atau nama sebenarnya, Minori Murata, pelajar TUFS, turut berkongsi pengalaman beliau mengikuti program tersebut. Menurut beliau,
Saya sangat terkesan dengan seni anyaman kelongsong ketupat. Bagi kami yang kali pertama mempelajari anyaman ketupat, tentulah sukar dibuat dan mengambil masa untuk menyiapkannya tetapi kemahiran menganyam itulah nilai yang perlu ada dalam diri seseorang termasuklah dirinya. Anyaman ini bukan sahaja unik, tetapi juga penuh dengan makna apatah lagi rakyat yang beragaman Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. Saya difahamkan bahawa ketupat adalah antara bahan makanan utama yang disediakan dan dihidangkan pada pagi hari raya masyarakat Melayu di sini.
Delegasi pelajar TUFS diketuai oleh Pensyarah Pelawat TUFS, Puan Faridah Mohamed yang telah berkhidmat lebih daripada 35 tahun di Jepun. Kunjungan ini merupakan sebahagian daripada Program Kembara Ilmu Inap Desa yang saban tahun akan melawat beberapa tempat di Malaysia bagi memperkenalkan bahasa, budaya dan kesusasteraan Melayu kepada pelajar TUFS ini. Selain di IPGMKIK, mereka juga berkunjung ke sekitar Kuala Lumpur termasuk ke DBP, Kuantan dan berakhir di Pulau Pinang.
