Diterbitkan pada 26 Mac 2025, 14:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kesantunan berbahasa memainkan peranan yang amat penting dalam komunikasi seharian, terutamanya pada era digital yang sedang berkembang dengan pesatnya. Komunikasi melalui mesej teks, e-mel dan aplikasi media sosial, seperti WhatsApp, WeChat dan Telegram, menjadi satu daripada cara utama manusia berinteraksi antara satu dengan lain pada masa ini.

Malangnya, kesantunan dalam komunikasi bertulis acap kali diabaikan kerana ketiadaan nada suara dan ekspresi wajah. Oleh hal yang demikian, konsep kesantunan berbahasa dalam komunikasi era digital ini mestilah difahami agar adab ketika berkomunikasi dapat dikekalkan.

Sebenarnya, kesantunan berbahasa merujuk penggunaan kata dan struktur ayat yang sopan, yang menghormati pendengar atau pembaca, serta mampu mengelakkan penggunaan unsur yang dapat menyinggung perasaan orang lain. Dalam komunikasi era digital ini, kesantunan berbahasa dapat dilihat melalui pemilihan kata yang sesuai, penggunaan tanda baca yang betul, dan struktur ayat yang tidak menimbulkan kekeliruan atau salah faham.

Kesantunan berbahasa bukan sahaja mencerminkan keperibadian seseorang, bahkan mampu mewujudkan hubungan yang harmoni antara setiap individu. Sebagai contoh, penggunaan kata sapaan, seperti “tuan”, “puan”, “encik” dan “cik”, dalam mesej rasmi menunjukkan rasa hormat terhadap penerimanya. Sama juga halnya dengan penggunaan ungkapan, seperti “terima kasih”, “maaf” dan “tolong”, yang sudah pastinya dapat melembutkan nada mesej, sekali gus menyenangkan hati orang yang membaca mesej tersebut.

Sebagaimana yang dinyatakan dalam artikel ini, satu daripada cabaran yang dihadapi dalam komunikasi era digital ialah kekurangan nada suara dan ekspresi wajah. Dalam perbualan secara bersemuka, nada suara dan ekspresi wajah membantu menyampaikan emosi dan maksud dengan lebih jelas. Ketiadaan kedua-dua elemen ini dalam komunikasi melalui mesej teks, e-mel atau aplikasi media sosial mampu menimbulkan salah faham.

Sebagai contoh, mesej, seperti “Kenapa lambat?”, kedengaran kasar jika tidak disertakan dengan konteks atau tanda baca yang sesuai. Selain itu, penggunaan singkatan dan slanga untuk menjimatkan masa, seperti “tk” untuk “terima kasih” atau “x pasti” untuk “tak pasti”, kadangkala dianggap tidak beradab, terutamanya untuk urusan rasmi atau ketika berkomunikasi dengan individu yang kurang biasa dengan istilah tersebut.

Di samping itu, penggunaan emotikon dan tanda baca untuk menggantikan ekspresi wajah telah menjadi suatu bentuk kelaziman dalam komunikasi era digital. Sebagai contoh, penambahan emotikon senyum dapat melembutkan mesej yang mungkin kedengaran tegas. Namun begitu, penggunaan emotikon yang berlebihan atau tidak sesuai akan mengurangkan keseriusan mesej, terutamanya dalam komunikasi profesional.

Sememangnya, tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan individu tidak menyedari kepentingan kesantunan berbahasa dalam komunikasi era digital. Ada yang beranggapan bahawa aspek kesopanan boleh diabaikan asalkan mesej yang hendak disampaikan dapat difahami. Oleh itu, pendedahan tentang etika komunikasi digital amat penting untuk memastikan setiap individu, terutamanya generasi muda, memahami kepentingan penggunaan bahasa yang sopan walaupun sekadar menghantar mesej dalam bentuk teks.

Penggunaan kata sopan dan mesra dapat memastikan komunikasi sentiasa santun dan berkesan. Sebagai contoh, penggunaan kata, seperti “sila”, “tolong”, “terima kasih” dan “maaf”, dapat menunjukkan kesopanan dan penghargaan terhadap penerima mesej.

Selain itu, tanda baca mestilah digunakan dengan cara yang betul. Hal ini dikatakan demikian kerana tanda baca berperanan penting dalam penentuan nada mesej. Sebagai contoh, mesej “Bolehkah kamu siapkan laporan ini sekarang?” berbeza nadanya daripada “Bolehkah kamu siapkan laporan ini sekarang!”

Penggunaan tanda seru dengan sewenang-wenangnya dapat menyebabkan mesej kedengaran seperti arahan atau menggambarkan penghantar mesej berada dalam keadaan marah. Hal ini sudah tentunya akan menggores hati orang yang membaca mesej tersebut.

Sementara itu, penggunaan huruf besar yang berlebih-lebihan harus dielakkan sama sekali kerana memberikan gambaran bahawa seseorang itu sedang menjerit. Oleh itu, gunakanlah huruf besar secara berpada-pada, iaitu pada kata yang memerlukan penegasan sahaja.

Di samping itu, emotikon perlu digunakan secara berhemah. Sebagai contoh, penggunaan emotikon hati dalam mesej WhatsApp oleh pelajar kepada pensyarahnya. Perkara ini dapat menimbulkan tanggapan yang bukan-bukan oleh pensyarah tersebut.

Akhir sekali, privasi orang lain perlu dihormati pada setiap masa. Mesej tidak sepatutnya dihantar pada waktu yang tidak sesuai, seperti pada lewat malam atau waktu rehat, yang boleh dianggap sebagai tidak menghormati penerima mesej. Sebagai contoh, ibu bapa tidak seharusnya menghantar mesej WhatsApp kepada guru kelas anaknya pada larut malam semata-mata untuk bertanya tentang kerja rumah yang diberikan.

Sebagai kesimpulannya, kesantunan berbahasa dalam komunikasi era digital satu daripada aspek penting untuk mewujudkan hubungan yang harmoni antara penghantar mesej dengan penerima mesej. Walaupun komunikasi digital mempunyai cabarannya yang tersendiri, penggunaan bahasa yang sopan, tanda baca yang betul dan pemahaman tentang etika komunikasi mampu mengelakkan salah faham, sekali gus meningkatkan kualiti interaksi antara individu yang berbeza latar belakang. Oleh itu, setiap individu disarankan agar menggunakan bahasa yang beradab pada sepanjang masa, terutamanya dalam komunikasi digital bagi mencerminkan keperibadian yang baik dan bertatasusila.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi