Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam era digital yang semakin pantas dan penuh dengan maklumat, amalan budi bahasa sangat penting untuk diamalkan, khususnya dalam penulisan dan komunikasi di media sosial yang menjadi wadah utama untuk menyampaikan maklumat masa kini. Sebagai pelajar dan generasi muda yang berilmu, pengamalan budi bahasa dalam kehidupan seharian mencerminkan peribadi insan yang berilmu, berakhlak mulia dan menjunjung nilai kesopanan.
Amalan berbudi bahasa dalam kehidupan merangkumi percakapan yang benar, bersopan santun dalam percakapan dan penulisan, menjaga akhlak, tidak mengecam orang lain dan tidak membuli, khususnya buli siber melalui penulisan yang kasar dan beremosi. Pendeta Za’ba dalam bukunya yang bertajuk Ilmu Mengarang Melayu menyatakan bahawa, “bahasa itu alat mengeluarkan fikiran supaya dapat diketahui orang dengan mendengar atau membacanya. Jika bahasa yang digunakan itu tidak menepati betul-betul seperti maksud di dalam hati, tentulah orang tersalah faham atau tiada dapat oleh mereka tujuan yang dikehendaki itu.” Petikan ini menunjukkan bahawa penggunaan bahasa yang tepat dan beradab amat penting untuk menyampaikan maksud dengan jelas, sekali gus mengelakkan salah faham dan ketegangan dalam komunikasi seharian.
Jelaslah bahawa bahasa yang lahir daripada fikiran sebenarnya berpunca daripada hati yang jujur dan ikhlas. Sekiranya hati bersih dan baik, maka tutur kata yang diungkapkan juga akan baik dan jelas maksudnya. Fikiran pula akan menapis dan menentukan sama ada bahasa yang diucapkan itu bersifat positif atau sebaliknya. Oleh itu, pendidikan bahasa wajar bermula dari rumah melalui didikan ibu bapa yang berterusan dan seterusnya diperkukuh melalui proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah. Setiap ibu bapa semestinya menginginkan anak-anak mereka menjadi insan yang berilmu, berketerampilan, berbudi bahasa dan berakhlak mulia.
Di sekolah, mata pelajaran Bahasa Melayu memberikan penekanan terhadap penguasaan kemahiran berbahasa, iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Kemahiran ini amat dititikberatkan dalam PdP pada peringkat sekolah rendah dan menengah supaya pelajar dapat menggunakan bahasa dengan tepat, berkesan dan beretika.
Kemahiran bertutur merujuk keupayaan pelajar untuk menyampaikan maklumat, memberikan pendapat, menyampaikan perasaan dan mengemukakan idea yang kritis dan kreatif secara lisan melalui sebutan yang tepat serta penggunaan bahasa yang sopan. Keupayaan bertutur dengan baik dan beradab mencerminkan seseorang itu berilmu pengetahuan dan memiliki akhlak yang terpuji.
Kemahiran menulis pula merujuk keupayaan pelajar untuk mengemukakan idea melalui pelbagai gaya penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi dengan menggunakan ayat yang gramatis dan tersusun. Kedua-dua kemahiran ini mempunyai hubungan rapat dengan penggunaan bahasa dalam media sosial masa kini.
Walaupun negara terus melangkah ke arah kemajuan dan kemodenan, masyarakat tetap perlu bertutur, menulis dan menggunakan bahasa yang baik serta berbudi bahasa dalam kehidupan seharian. Ibu bapa dan golongan tua pada zaman dahulu sering menitipkan nasihat kepada anak dan cucu mereka agar sentiasa menjaga adab dan tutur kata. Pesanan tersebut sentiasa menjadi pegangan generasi terdahulu yang amat menitikberatkan budi bahasa sebagai asas kehidupan bermasyarakat.
Mengapakah budi bahasa itu penting? Budi bahasa mempunyai kaitan yang rapat dengan akhlak dan pembangunan tamadun sesebuah masyarakat. Individu yang tidak mengamalkan budi bahasa lazimnya tidak berakhlak, tidak bertamadun dan berperangai buruk. Hal ini dapat dilihat melalui perbuatannya yang tidak sopan sama ada dari segi pertuturan, gerak-geri atau penulisannya di media sosial pada masa kini. Meskipun perbuatan tersebut kelihatan kecil dan remeh, namun budi bahasa sebenarnya mempunyai nilai yang sangat besar dalam kehidupan manusia.
Sejak kecil lagi, ibu bapa telah mendidik anak-anak agar sentiasa berbudi bahasa dan menjadi insan yang menghormati orang lain. Sikap menghormati orang lain mencerminkan keperibadian yang baik, di samping memancarkan akhlak yang mulia. Amalan berbudi bahasa tidak pernah merugikan, malah menyumbang kepada ganjaran pahala. Budi bahasa bukanlah sesuatu yang boleh dibeli, namun dapat disampaikan melalui tutur kata yang sopan dan penuh hikmah.
Fenomena masa kini memperlihatkan bahawa semakin ramai individu yang tidak lagi menghormati orang lain, khususnya melalui kecaman, kritikan melulu, cercaan dan kata-kata kesat yang digunakan dalam media sosial. Tindakan sedemikian jelas mencerminkan sikap yang tidak berbudi bahasa dan tidak menghormati maruah sesama insan. Sekiranya amalan ini dibiarkan berleluasa, masyarakat akan hilang nilai hormat-menghormati dan adab dalam pergaulan, sekali gus melemahkan ikatan sosial antara satu dengan lain. Oleh itu, penggunaan bahasa yang sopan dan berhemah perlu diterapkan dalam komunikasi sama ada secara bersemuka atau dalam talian.
Di samping itu, peribahasa Melayu yang kaya dengan ciri prosodi seperti bunyi dan rentak bahasa turut menekankan kepentingan budi dan bahasa. Prosodi dalam peribahasa merangkumi intonasi, tekanan suara dan irama pertuturan yang berbeza-beza mengikut situasi dan maksud yang ingin disampaikan. Peribahasa ini bukan sahaja indah dari segi bunyinya, malah penuh dengan pengajaran yang mendalam. Sebagai contoh, “hidup kayu berbuah, hidup manusia biar berfaedah”, “bawa resmi padi, makin berisi makin tunduk” dan “orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa”.
Masyarakat Melayu terdahulu amat menitikberatkan penggunaan bahasa yang indah dan beradab melalui pesanan, pepatah, bidalan dan pantun yang penuh dengan nilai pengajaran. Dalam kehidupan seharian, mereka turut menyanjung tinggi individu yang menjaga bahasa dan berbudi pekerti. Setiap tutur kata yang diungkapkan akan dinilai dan difahami sama ada perkara tersebut membawa kebaikan atau sebaliknya. Masyarakat Melayu juga berpegang pada prinsip bahasa ialah jiwa sesuatu bangsa. Prinsip ini dapat dilihat melalui ungkapan seperti “Bahasa Jiwa Bangsa” yang sering didengari dan difahami maksudnya hingga ke hari ini.
Nilai budi bahasa yang terpancar dalam kehidupan masyarakat Malaysia merangkumi pelbagai aspek positif yang membentuk jati diri unggul. Antaranya termasuklah berhati-hati ketika bertutur, merendah diri dalam percakapan, bersabar semasa berbicara, bersikap pemurah dalam berbudi bahasa, tekun dan rajin dalam melaksanakan tugas, memupuk perpaduan dalam masyarakat serta menghormati ibu bapa, guru dan golongan yang lebih tua. Semua amalan dan sikap ini lahir daripada didikan awal serta penghayatan nilai budi bahasa yang dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Masyarakat pelbagai kaum di Malaysia juga memahami dan menghayati maksud sebenar budi dan bahasa, iaitu nilai kesopanan dan kesusilaan yang terkandung dalam prinsip kelima Rukun Negara.
Dalam kehidupan, adab, budaya, akhlak dan kesopanan memainkan peranan penting sebagai asas pembentukan masyarakat yang berperasaan mulia dan berakhlak tinggi. Nilai akhlak dan kesopanan berfungsi sebagai panduan terhadap perlakuan dan emosi dalam kehidupan seharian. Ilmu yang tinggi tidak membawa makna sekiranya akhlak dan budi bahasa tidak dipelihara.
Imam al-Ghazali telah mengemukakan satu teori penting tentang pembentukan hati yang mulia. Menurut beliau, hati dapat diasuh, dibentuk dan dididik agar melahirkan budi bahasa yang terpuji melalui beberapa cara. Antaranya termasuklah penguasaan ilmu, latihan dan didikan yang berterusan, penundukan nafsu serta syahwat dan bersikap adil dalam pertuturan serta menjaga tingkah laku.
Nilai budi pekerti dan akhlak yang baik hendaklah bermula dalam institusi kekeluargaan. Individu yang paling mulia kedudukannya ialah individu yang paling baik akhlaknya dan paling baik layanannya terhadap ahli keluarga. Budi bahasa yang diamalkan dalam kehidupan seharian akan memancarkan akhlak yang terpuji dalam diri seseorang. Oleh itu, usaha untuk mempraktikkan amalan budi pekerti, budi bahasa dan akhlak yang baik hendaklah bermula daripada keluarga. Amalan terpuji ini bukan sahaja membentuk suasana harmoni dalam keluarga, malah menjadi teladan yang akan diwarisi oleh anak-anak sebagai generasi pewaris pada masa hadapan.
Melalui pendidikan, bimbingan daripada keluarga dan didikan daripada guru dapat memantapkan dan memelihara akhlak seseorang individu. Akhlak yang terpuji ini akan melahirkan peribadi yang baik, sekali gus membentuk kehidupan yang harmoni dalam kalangan masyarakat pada masa kini dan juga generasi akan datang. Hal ini dapat dilihat melalui amalan akhlak yang mulia serta penggunaan bahasa yang sopan dan beradab.
Selain itu, budi bahasa merupakan perhiasan diri dalam kehidupan seseorang kerana mengandungi aspek pertuturan dan penulisan yang mencerminkan akhlak yang tinggi. Individu yang berbudi bahasa sentiasa menjaga tutur kata, gaya penulisan, percakapan dan tingkah laku supaya menggambarkan nilai kesopanan dan kesusilaan yang menjadi asas dalam kehidupan bermasyarakat. Amalan ini bukan sahaja memperlihatkan keperibadian yang mulia, malah turut mewujudkan suasana yang harmoni dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Sesebuah masyarakat tidak dapat dianggap sebagai masyarakat yang berilmu sekiranya akhlak yang baik, iaitu akhlak orang yang berbudi bahasa lenyap daripada kehidupan mereka. Dalam keadaan tersebut, perangai buruk dan tingkah laku yang tidak berakhlak akan berleluasa dalam kehidupan seharian. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu untuk memperbaik mutu bahasa dan amalan budi bahasa dalam pertuturan dan penulisan.
Akhirnya, nasihat dan teguran yang berhikmah daripada sesiapa sahaja berkaitan dengan bahasa dan budi bahasa berupaya mendidik dan membimbing individu ke arah pembentukan akhlak yang mulia dan peribadi yang berbudi bahasa. Amalan budi bahasa yang baik bukan sahaja mencerminkan keindahan sahsiah seseorang, malah akan terus kekal dalam ingatan dan sentiasa dikenang sepanjang zaman sebagai warisan nilai murni yang membentuk keharmonian masyarakat.