Diterbitkan pada 28 April 2025, 17:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada era digital ini, media sosial, seperti Facebook, Instagram dan TikTok, menjadi wadah utama komunikasi dalam kalangan masyarakat. Sebagaimana yang diketahui, media sosial bukan sahaja digunakan untuk tujuan komunikasi, bahkan sebagai medium perniagaan, pendidikan dan penyebaran maklumat, sekali gus membawa perubahan dalam penggunaan bahasa, termasuklah bahasa Melayu.

Sememangnya, tidak dapat dinafikan bahawa pengguna media sosial sering menggunakan bahasa rojak, iaitu campuran antara bahasa Melayu dengan bahasa lain, terutamanya bahasa Inggeris, dalam komunikasi seharian. Hal ini berlaku kerana pengguna media sosial lebih cenderung untuk menulis sesuatu dengan gaya yang santai dan ekspresif, tanpa terikat dengan hukum tatabahasa yang dianggap jumud. Hal ini dapat dilihat dalam ayat (1) hingga ayat (3).

  1. “Apa khabar, sis?”
  2. “Nanti kita catch up okey? Lama tak jumpa!”
  3. This food memang best giler. Tak rugi try!”

 

Selain itu, slanga Internet juga makin popular dalam kalangan pengguna media sosial, terutamanya generasi muda. Slanga sedemikian kerap digunakan untuk menjadikan komunikasi lebih ringkas dan pantas seiring dengan perubahan pada zaman moden ini. Contoh slanga ialah “jap” yang bermaksud sekejap, “pape” yang bermaksud apa-apa dan “skema” yang bermaksud sangat teratur atau mengikut peraturan secara berlebihan.

Bukan itu sahaja, singkatan dalam bahasa Inggeris juga banyak digunakan oleh pengguna media sosial bagi menggantikan kata bahasa Melayu. Fenomena ini berlaku kerana penggunaan bahasa Melayu yang lengkap dan gramatis dianggap leceh dan menyusahkan. Contoh singkatan ialah “tbh” (to be honest) yang bermaksud sejujurnya, “otw” (on the way) yang bermaksud dalam perjalanan dan “lol” (laugh out loud) yang bermaksud ketawa dengan kuatnya.

Sebenarnya, penggunaan bahasa rojak, slanga Internet dan singkatan dalam bahasa Inggeris yang tidak mematuhi hukum tatabahasa sudah pastinya mengakibatkan kerancuan bahasa. Hal ini dapat dibuktikan apabila pelajar terbawa-bawa oleh gaya penulisan media sosial dalam tugasan akademik. Sekiranya keadaan ini dibiarkan berlarutan, tahap penguasaan kemahiran menulis dan bertutur dalam kalangan pelajar pasti menurun.

Di samping itu, keindahan bahasa Melayu turut terjejas. Hal ini dikatakan demikian kerana kosa kata bahasa Melayu yang indah-indah dipinggirkan begitu sahaja. Misalnya, “sungguh menarik!” lebih kerap digantikan oleh “best giler”, “berkongsi maklumat” digantikan oleh “share info” dan “menyelesaikan masalah” pula digantikan oleh “settle problem”. Lama-kelamaan, generasi muda mungkin tidak lagi mengenali istilah asli bahasa Melayu, sekali gus menyebabkan bahasa Melayu kehilangan keindahan dan keunikannya.

Di samping itu, penggunaan bahasa rojak, slanga Internet dan singkatan dalam bahasa Inggeris secara meluas dalam media sosial menyebabkan masyarakat memandang enteng terhadap bahasa Melayu. Kesannya, penggunaan bahasa Melayu baku tidak diutamakan lagi. Yang penting ialah mesej yang hendak disampaikan dapat difahami.

Sungguhpun penggunaan media sosial satu daripada faktor berlakunya kerancuan bahasa, media sosial tetap menjadi wahana yang berkesan untuk memperkasakan bahasa Melayu. Hal ini bersangkut paut dengan peranan pempengaruh media sosial dan penggiat Youtube dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu. Misalnya, Dr. Malar Santhi dan Mek Yun adalah antara pempengaruh media sosial yang menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam kandungannya. Usaha murni pempengaruh ini sebenarnya mampu menggalakkan masyarakat untuk melakukan perkara yang sama.

Mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa media massa, terutamanya media sosial, mempunyai pengaruh yang amat kuat sehingga mampu membentuk tingkah laku dan pemikiran seseorang.

Dalam konteks ini, media sosial digunakan sebagai platform untuk melancarkan kempen kesedaran dan menghebahkan pelbagai program kebahasaan bagi menjayakan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu di Malaysia. Contohnya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menggunakan Facebook, Instagram dan TikTok untuk memastikan program, seperti Jerayawara Bahasa Jiwa Bangsa, Program Cakna Bahasa dan Karnival Semarak Bahasa, mampu mencapai objektifnya.

Kewujudan media sosial juga meningkatkan capaian terhadap sumber ilmu dalam bahasa Melayu. Sebagai contoh, masyarakat dapat menonton audio siar (podcast) dalam bahasa Melayu yang dimuat naik melalui media sosial, seperti Youtube, Facebook, Instagram dan TikTok.

Pelbagai topik dibincangkan dalam audio siar tersebut, terutamanya yang berkaitan dengan isu politik, kewangan dan pendidikan. Penghasilan kandungan audio siar yang berkualiti dalam bahasa Melayu mampu mengekalkan relevansi bahasa Melayu pada era digital yang makin berkembang dengan pesatnya.

Walau apa-apa pun perubahan yang berlaku, masyarakat Malaysia perlu cakna akan peranan masing-masing untuk memastikan bahasa Melayu berkembang seiring dengan peredaran zaman. Dengan adanya gemblengan tenaga daripada pengguna media sosial, institusi pendidikan, media massa dan kerajaan, bahasa Melayu akan kekal relevan dan digunakan secara meluas tanpa kehilangan identitinya.

Sebagai kesimpulannya, media sosial tidak semestinya menjadi ancaman terhadap bahasa Melayu, sebaliknya dapat dijadikan alat untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu. Walaupun bahasa rojak dan slanga Internet menjadi sebahagian daripada budaya digital, masyarakat Malaysia masih dapat menyeimbangkan keperluan antara komunikasi santai dengan pemeliharaan bahasa yang betul.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi