Diterbitkan pada 30 April 2025, 11:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Papan tanda merupakan elemen penting dalam landskap sesebuah negara kerana berfungsi sebagai alat penyampaian maklumat kepada masyarakat. Di Malaysia, papan tanda bukan sahaja berperanan dalam memberikan arahan, amaran dan maklumat, malah merupakan medium utama dalam usaha memperkasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kepentingan papan tanda dalam memperkukuh kedudukan bahasa Melayu perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, iaitu sebagai instrumen pembangunan jati diri nasional dan lambang kedaulatan bahasa negara.

Sejak merdeka, bahasa Melayu telah dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda awam mencerminkan komitmen jelas negara terhadap pelaksanaan dasar tersebut. Melalui papan tanda yang ditulis dalam bahasa Melayu, masyarakat daripada pelbagai latar belakang dididik untuk menghargai dan menggunakan bahasa kebangsaan dalam kehidupan seharian. Oleh itu, kewujudan papan tanda dalam bahasa Melayu secara meluas di tempat awam seperti jalan raya, premis perniagaan dan bangunan kerajaan secara tidak langsung memupuk kesedaran tentang kepentingan mempertahankan identiti bangsa melalui penggunaan bahasa Melayu.

Selain memperkasakan bahasa Melayu dari segi visual, papan tanda juga memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap nilai bahasa itu sendiri. Papan tanda yang disediakan dalam bahasa Melayu dengan penggunaan istilah yang betul, gaya bahasa yang tepat dan reka bentuk yang menarik mampu meningkatkan penghormatan masyarakat terhadap bahasa tersebut. Namun begitu, papan tanda yang mengabaikan aspek ketepatan bahasa atau menggunakan terjemahan yang lemah boleh merendahkan martabat bahasa Melayu, di samping menjejaskan imej profesionalisme negara dalam konteks komunikasi awam dan antarabangsa.

Dalam konteks pendidikan bahasa, papan tanda dapat menjadi bahan bantu belajar yang berkesan, terutamanya kepada generasi muda. Melalui pemerhatian terhadap penggunaan bahasa Melayu yang betul pada papan tanda, pelajar dapat menambah perbendaharaan kata, memahami struktur ayat dan mengenal istilah rasmi dengan lebih mudah. Selain itu, inisiatif sekolah untuk mengadakan aktiviti seperti “Jejak Bahasa” yang melibatkan pencarian dan analisis papan tanda di sekitar kawasan sekolah juga dapat meningkatkan kepekaan pelajar terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan turut memainkan peranan yang penting dalam memastikan setiap papan tanda awam mematuhi peraturan penggunaan bahasa kebangsaan. Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1982 telah mewajibkan penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda di premis perniagaan. Pada masa yang sama, penggunaan bahasa lain masih dibenarkan, namun keutamaan tetap diberikan kepada bahasa Melayu. Langkah ini penting bagi memastikan bahawa bahasa Melayu kekal sebagai bahasa utama dalam urusan awam dan dalam gambaran visual negara.

Namun begitu, cabaran tetap wujud dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu melalui papan tanda. Antara cabaran utamanya ialah kecenderungan sesetengah pihak yang lebih mengutamakan bahasa asing seperti bahasa Inggeris pada papan tanda premis perniagaan, terutamanya di kawasan bandar utama. Hal ini bukan sahaja bercanggah dengan dasar bahasa kebangsaan, malah boleh menimbulkan persepsi bahawa bahasa Melayu kurang berdaya saing dalam bidang ekonomi dan pada peringkat global. Oleh itu, tindakan konsisten perlu diambil bagi membetulkan keadaan ini termasuklah dengan memberikan galakan dan insentif kepada pemilik premis yang menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan kreatif pada papan tanda mereka.

Di samping itu, aspek pemeliharaan identiti tempatan dalam reka bentuk papan tanda juga perlu diberikan perhatian. Papan tanda yang menggabungkan unsur seni budaya tempatan bersama-sama dengan penggunaan bahasa Melayu dapat memperkukuh rasa bangga masyarakat terhadap warisan sendiri. Melalui penerapan elemen tradisional seperti motif songket, batik atau seni khat, papan tanda bukan sahaja berfungsi sebagai medium komunikasi, malah menjadi simbol kekayaan budaya dan bahasa bangsa. Oleh itu, kerjasama daripada semua pihak perlu diperkukuh bagi memastikan papan tanda dapat mencerminkan identiti nasional secara holistik.

Kesimpulannya, papan tanda bukan sahaja berfungsi sebagai alat komunikasi visual, malah merupakan medium penting dalam memperkasakan penggunaan bahasa Melayu. Melalui pendekatan yang sistematik, kreatif dan berkesan, papan tanda dapat menjadi lambang kecintaan rakyat terhadap bahasa sendiri. Usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu melalui papan tanda perlu diteruskan dengan komitmen yang berterusan agar bahasa ini terus berakar kukuh dalam jiwa masyarakat dan kekal menjadi tonggak identiti negara Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi