Diterbitkan pada 30 April 2025, 18:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Setiap kata atau frasa yang disambung dalam ayat akan membawa maksud dalam bahasa yang jelas khususnya bahasa Melayu. Bahasa dari hati ditapis oleh akal yang sebelum diucapkan atau ditulis mestilah betul, tepat dan berkesan. Inilah bahasa fikiran yang dapat difahami oleh semua orang apabila bahasa itu ditulis dan diucapkan.

Bahasa Melayu bernilai tinggi terutama dalam pembentukan akal budi seorang yang mengucapkannya. Nilai tinggi ini terdiri daripada nilai agama, adab, adat dan nilai kesusilaan, kesopanan dan kesantunan. Meskipun ayat atau bahasa yang diucapkan biasa namun hal tersebut akhirnya akan membawa makna yang luar biasa.

Begitu juga dalam ayat, bahasa tinggi dan ilmiah  juga membawa maksud yang sarat dengan ilmu pengetahuan. Hal ini memerlukan latihan dalam penulisan dan kemahiran berkomunikasi secara ilmiah. Bahasa Melayu tinggi yang beradab, sopan dan santun tentunya membawa mesej atau maksud yang tersurat dan tersirat. Hal ini biasanya terdapat dalam karya sastera Melayu seperti pantun,syair, gurindam, seloka, peribahasa dan juga sajak.

Tidak semua orang mampu menulis  dan mencipta karya dalam bahasa tinggi yang beradab dan bermakna sehingga membawa pemikiran yang bernas dan bernilai. Hal ini memerlukan latihan dan pendidikan terutama bagi penggunaan bahasa fikiran yang tinggi dan bernas. Adakala bahasa yang dicipta nampak berbahasa tinggi, tetapi tidak mengandungi makna jika hanya menyusun kata-kata yang kosong semata-mata. Masyarakat Melayu juga sudah lama mencipta kata-kata yang penuh makna melalui mutiara kata, peribahasa dan pantun yang mempunyai nilai bahasa dan sasteranya dan sangat bermakna bagi panduan masyarakat dan orang ramai dalam menjalani kehidupan. Hasil karya sastera berbahasa Melayu adalah cerminan masyarakat yang berfikiran tinggi dengan bahasa fikiran. Hal ini bukan sekadar kata-kata tetapi mampu membangunkan akal budi dan warisan budaya bangsa.

Memetik pandangan Pendeta Za’ba dalam Ilmu Mengarang Melayu yang berkaitan bahasa dan fikiran, menurutnya  “Bahasa adalah alat yang mengeluarkan fikiran supaya dapat diketahui orang dengan mendengar atau membacanya. Maka jika bahasa yang digunakan (dipakai) itu betul-betul seperti maksud dalam hati, tentulah orang tersalah faham atau tiada dapat oleh mereka tujuan yang dikehendakkan itu.”

Jelaslah bahawa bahasa dan fikiran tidak dapat dipisahkan kerana kedua-duanya sangat erat dalam erti kata bahasa yang digunakan itu hendaklah dengan tepat menggambarkan fikiran. Hubung jalin antara bahasa dengan fikiran sangat erat dan berkaitan rapat. Bahasa yang baik datangnya daripada fikiran yang matang, berilmu dan memberikan manfaat terhadap kehidupan manusia.

Stephen C. Levinson, pengkaji sains sosial memetik pandangan pakar linguistik dan psikolinguistik dengan tidak menafikan bahawa bahasa dan fikiran mempunyai kaitan dan hubung jalin antara satu sama lain. Walau bagaimanpun, yang menjadi percanggahan antara mereka adalah sejauh manakah hubung jalin tersebut? Adakah semua yang ada dalam fikiran itu digambarkan oleh bahasa atau adakah susunan fikiran ditentukan oleh susunan bahasa atau sebaliknya?

Kata-kata “bahasa tidak dijual beli” jelas membawa maksud bahawa bahasa tersebut tidak ternilai harganya. Bahasa dan bangsa bagi masyarakat dan orang Melayu harganya tidak dapat dinilaikan. Oleh sebab itu, jelaslah kata-kata “Bahasa Jiwa Bangsa” yang selalu dilaungkan dan dijadikan slogan menepati bahawa bahasa Melayu adalah jiwa bagi bangsa Melayu yang sangat mementingkan bahasa dalam setiap urusan kehidupan mereka sejak dahulu hingga sekarang.

Budaya berbahasa dalam kalangan orang Melayu sejak dahulu sangat mementingkan kesopanan sebagai adab yang baik. Akal budi adalah bahasa yang menjadi cerminan peribadi tinggi yang bersumberkan hati, akal dan budi. Kekuatan hati banyak bergantung pada kejujuran dan ikhlas, manakala kekuatan akal bergantung pada pemikiran berilmu dan bernas. Keindahan budi dapat dilihat melalui pertuturan dan kesantunan dalam berbahasa.

Ilmu dan amalan berbahasa yang baik juga dipelajari melalui didikan orang tua yang sentiasa menjaga bahasa mereka dengan beradab. Masyarakat Melayu terdahulu teliti dalam pemilihan kata dan pembinaan ayat berdasarkan situasi mereka berbahasa. Mereka sentiasa berhati-hati apabila berbicara dan menulis agar kata-kata yang dikeluarkan atau digunakan tidak menyakiti hati dan juga menyinggung perasaan orang lain.

Bahasa akal biasanya menyentuh tentang keilmuan, budaya baik, fikiran cantik, daya upaya dan ikhtiar. Manakala bahasa budi menyentuh tentang kebijaksanaan, perangai, akhlak, tingkah laku, sifat baik, pekerti mulia dan gerak geri. Cantuman kedua-dua unsur akal, budi dan sifat ini menjadikan akal budi insani yang cantik.

Bahasa fikiran akan memancarkan kebijaksanaan dalam berkata-kata. Masyarakat Melayu begitu menjaga bahasa dan ayat, meneliti fakta sebelum berkata-kata atau menulis. Mereka mencari pemikiran baharu dan maju bagi diketengahkan sebelum berkata-kata dan juga menulis. Inilah indahnya bahasa fikiran yang sentiasa ditapis sebelum diucapkan atau ditulis.

Oleh sebab itu, ada kata-kata yang mengatakan bahawa berfikirlah dahulu sebelum berkata-kata. Terlajak perahu boleh undur, terlajak kata buruk padahnya. Jika sudah terlajak kata, bukan sahaja akan menjatuhkan imej orang yang berkata, malah akan mengeruhkan lagi keadaan disebabkan kata-kata yang tidak baik.

Prinsip dan falsafah hidup orang Melayu dalam berbahasa sangat jelas, iaitu sentiasa  bersopan santun dan bersusila dengan menjaga kata-kata sebelum mengeluarkan kata-kata ataupun menulis. Bahasa yang diucapkan dan ditulis mestilah jelas dan boleh difahami.  Bahasa yang digunakan penuh beradab dan bertatasusila agar tidak menyinggung perasaan orang lain. Bahasa Melayu kaya dengan kiasan, sindiran dan penuh makna yang tersurat dan tersirat boleh digunakan sebagai bahasa kiasan tinggi.

Maruah dan budi pekerti sentiasa dijaga ketika berpantun, berbicara di khalayak ramai dan juga ketika menyampaikan ceramah. Bahasa yang disampaikan mestilah, jelas, lembut dan berhemah. Hasilnya bahasa fikiran yang disampaikan akan mengandungi pengajaran dan hikmah.

Pendidikan berbahasa yang baik ini mestilah bermula dari rumah oleh ibu bapa sejak kecil lagi dan diperteguh di sekolah oleh guru. Sebab itulah ada peribahasa yang mengatakan, “melentur buluh biarlah dari rebungnya” dengan kiasan yang mendalam dan penuh bahasa sindiran yang mudah difahami. Hal ini bermaksud mendidik anak-anak terutama ketika berbahasa biarlah diajar dan dididik sejak kecil lagi.

Kekuatan bahasa fikiran terletak pada pengaruh pemilihan kata dan frasa, pembinaan ayat, makna yang disampaikan sehingga boleh menyentuh rasa hati dan perasaan seseorang untuk berbuat baik dan melakukan kebaikan. Lantaran itu, adalah lebih baik berfikir dahulu dengan berhati-hati sebelum berkata dan menulis supaya apa-apa yang dikata dan ditulis itu benar-benar memberikan manfaat kepada orang ramai dan masyarakat.

Cerminan akal budi datangnya daripada bahasa dan fikiran yang ditulis dan diucapkan. Oleh itu, berhati-hatilah menggunakan kata-kata agar tidak mengecam, memaki hamun, mencarut, menghina dan juga mengutuk orang lain. Akal budi menjadi falsafah hidup orang Melayu. Dalam kehidupan bangsa Melayu, akal budi dan budaya adalah amat istimewa. Melalui akal budi seseorang itu akan dinilai dari segi bahasa, perangai dan akhlaknya.

Menurut Ismail Hamid dalam Nilai Etika Masyarakat Melayu: Dunia Melayu mengatakan bahawa manusia itu akan berharga dan bernilai hidupnya jika dia suka berbudi bahasa dan berbakti. Jasa bakti dan budi yang ditabur sepanjang hayatnya akan kekal abadi dan dikenang oleh masyarakatnya.  Semuanya bermula dari hati dan niat yang baik sebelum melakukan sesuatu. Lantaran itu, kawallah hati, lidah dan jari tangan sebelum berkata-kata atau menulis dengan kewarasan fikiran yang matang.

Isilah ruang hati dengan fikiran yang baik,  sentiasa  berfikiran positif supaya apa-apa yang ditulis dan diucapkan itu murni dan mulia serta memberikan manfaat kepada orang lain. Penuhkan bahasa fikiran yang baik dalam hati dengan membaca dan berkongsi bahan yang baik dan bermanfaat untuk kehidupan.

Sesungguhnya, bahasa fikiran sangat penting dalam kehidupan. Bahasa yang disampaikan bukan sahaja berilmu pengetahuan, malah betul tatabahasanya dan tepat faktanya. Kita perlu mengamalkan dan menggunakan bahasa fikiran yang baik bukan sahaja dalam komunikasi , malah memberikan manfaat kepada seluruh masyarakat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi