Diterbitkan pada 23 Mei 2025, 21:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

 

Bandar Seri Begawan – Hasrat untuk mengangkat bahasa Melayu dan bahasa Indonesia sebagai bahasa kedua ASEAN kembali ditegaskan dalam Forum Ketua Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia (MABBIM) Kedua yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam dari 21 hingga 24 Mei 2025.

Forum yang menjadi platform utama pertukaran pandangan dan dasar kebahasaan antara negara anggota itu turut mempelawa Singapura untuk menganggotai MABBIM, sekali gus mengukuhkan kerjasama serantau dalam usaha memartabatkan bahasa serumpun.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hassan.

 

 

 

 

 

 

Menurut Ketua Perwakilan Malaysia yang merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hassan, MABBIM berperanan penting dalam memastikan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia dapat diurus dengan lebih strategik, bukan hanya dalam negara anggota tetapi di seluruh rantau ASEAN.

“Forum ini wadah untuk kita bertukar fikiran dan maklumat. Hasrat untuk melihat bahasa Melayu dan bahasa Indonesia diangkat sebagai bahasa kedua ASEAN merupakan sebahagian daripada kesepakatan terdahulu yang wajar kita terus perjuangkan,” ujar beliau.

Tuan Haji Md. Johari turut mencadangkan agar laluan dan pertukaran bahan bacaan antara negara anggota dengan negara ASEAN diperkasakan. Beliau turut mengundang delegasi MABBIM ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang sedang berlangsung hingga 1 Jun 2025. PBAKL merupakan antara pesta buku yang terbesar di Asia Tenggara dengan penyertaan lebih 1172 gerai dan 258 pempamer yang terdiri daripada penerbit dan penjual buku tempatan dan antarabangsa.

Barisan ketua perwakilan negara anggota dan negara pemerhati MABBIM. Dari kiri: Ketua Perwakilan Malaysia yang merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hassan; Ketua Perwakilan Brunei yang merupakan Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, Awang Suip Haji Abdul Wahab; Ketua Perutusan Indonesia, Hafidz Muksin dan Ketua Pemerhati Singapura, YBrs. Dr. Nuraini Ismail.

Sementara itu, Ketua Perwakilan Brunei yang merupakan Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, Tuan Awang Suip Haji Abdul Wahab, menyatakan harapan beliau agar menerusi forum ini pelan tindakan yang jelas dan mampan dapat dirangka agar manfaatnya dapat dirasai bersama-sama.

“Muzakarah ini diharap membuahkan idea-idea segar dalam semangat ukhuwah dan kecintaan terhadap bahasa Melayu dan bahasa Indonesia.”

Ketua Perutusan Indonesia, Hafidz Muksin, menyifatkan forum ini sebagai wadah strategik untuk memperkukuh hubungan trilateral dalam usaha memartabatkan bahasa serumpun serta menjaga keharmonian kebahasaan di rantau ini.

“Kita juga akan meninjau usulan program baharu seperti Penataran Korpus Leksikografi dan Leksikologi serta pemutakhiran Tatakerja MABBIM.”

Ketua Pemerhati Singapura, YBrs. Dr. Nuraini Ismail, pula menekankan kepentingan kerjasama serantau dalam melestarikan bahasa Melayu sebagai warisan.

“Bahasa Melayu bukan hanya alat komunikasi tetapi juga cerminan nilai dan sejarah. Kita perlu menggalakkan penerbitan bersama-sama, pertukaran budaya dan penggunaan teknologi digital bagi menjangkau generasi muda,” ujar beliau.

Forum ini turut membincangkan aspek pemantapan tadbir urus MABBIM serta cadangan program kebahasaan baharu yang lebih relevan dengan cabaran era digital, selari dengan misi memartabatkan bahasa serumpun pada peringkat serantau dan antarabangsa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi