Diterbitkan pada 27 Mei 2025, 22:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bachok – Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah berlangsung hari ini bagi mengukuhkan jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

DBP telah diwakili oleh Ketua Pengarah, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Hazami bin Jahari dan Timbalan Ketua Pengarah Dasar, YBrs. Tuan Haji Md. Johari bin Hasan, manakala UMK diwakili oleh Naib Canselor, Yang Berbahagia (YBhg.) Profesor Ts. Dr. Arham bin Abdullah dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, YBhg. Profesor Dr. Huzili bin Hussin.

Menurut Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari dalam majlis tersebut,

Antara bidang yang boleh diteroka melalui MoU ini termasuklah penyelidikan dan penerbitan ilmiah dalam bahasa kebangsaan, kegiatan penterjemahan dan penerbitan karya agung, pembangunan program pengajian dalam bidang pengajian bahasa, program penyediaan industri pelajar, kegiatan perkongsian dan kepakaran staf, penganjuran program latihan, persidangan dan seminar,  pembangunan koleksi penyelidikan dan pendokumentasian serta program pembelajaran sepanjang hayat.

UMK yang mendukung aspirasi penubuhannya sebagai universiti keusahawanan komited melengkapkan mahasiswanya dengan kemahiran berbahasa dan kemahiran insaniah yang bermatlamat melahirkan modal insan minda kelas pertama yang lengkap dengan ciri-ciri keusahawanan.

MoU ini turut memberikan manfaat dalam usaha pengembangan bahasa dan sastera yang merentas bidang berkaitan dengan keusahawanan dan perniagaan, teknologi kreatif dan warisan, pertanian, pelancongan serta seni bina.

Menurut Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Arham Abdullah,

Majlis ini bukan sekadar simbolik penandatanganan, tetapi lebih besar daripada itu — merupakan manifestasi komitmen UMK untuk mengukuhkan ekosistem pendidikan, penyelidikan, dan pembangunan insan, seiring dengan visi UMK untuk menjadi peneraju dalam bidang keusahawanan berteraskan ilmu, budaya dan nilai kemanusiaan, serta misinya untuk memperkasakan komuniti melalui pendidikan dan kolaborasi yang bermakna.

Dalam majlis tersebut, UMK turut menandatangani MoU dengan Sekolah Tinggi Ilmu Tarbiyah Madani dan Perwira Holdings Sdn. Bhd.

Yang turut hadir dalam majlis ini termasuklah Pengarah DBP Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza binti Ismail dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UMK, YBhg. Profesor Dr. Mohammad bin Ismail.

Perbincangan tentang jalinan kerjasama antara DBP dengan UMK.
Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi