Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPenerapan penggunaan bahasa Melayu pada era global merupakan suatu usaha yang sangat mencabar, lebih-lebih lagi apabila prestasi penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar tidak menunjukkan prestasi yang sepatutnya belakangan ini. Menurut Datuk Azman Adnan, sebanyak 1,789 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 gagal dalam semua mata pelajaran. Secara tidak langsung, jumlah ini juga mencerminkan jumlah pelajar yang gagal dalam subjek Bahasa Melayu. Keadaan ini menuntut pelaksanaan intervensi yang segera dan berkesan untuk memastikan kemahiran bahasa ini terus ditingkatkan secara berkesan dan berterusan.
Antara aspek terpenting yang diperlukan untuk mempelajari subjek Bahasa Melayu termasuklah pengukuhan pengajaran asas tatabahasa. Asas tatabahasa ini merangkumi asas pembentukan kata, iaitu pemahaman ejaan dan imbuhan, serta pemahaman sintaksis, iaitu struktur ayat yang betul dan berkesan.
Bagi memastikan pengukuhan ini dilaksanakan, proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu di sekolah perlu dilakukan secara berperingkat dan berulang-ulang. Kaedah ini dapat memastikan pelajar mampu memahami konsep bahasa, seterusnya mampu mengaplikasikannya dalam pelbagai konteks komunikasi, sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan.
Selain itu, guru atau tenaga pengajar perlu menggunakan pendekatan pengajaran yang interaktif dan kreatif untuk meningkatkan motivasi dan minat pelajar. Pelajar memerlukan bahan pengajaran yang diberikan secara lengkap, mudah difahami dan mudah diakses pada bila-bila masa.
Pelajar juga mengharapkan PdP yang menarik dan menghiburkan. Pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan sebagai strategi pedagogi untuk menggalakkan pelajar berfikir secara kritis dan mengaplikasikan bahasa dengan lebih aktif, seperti forum, perbahasan, drama bahasa dan penulisan kreatif. Kaedah ini sejajar dengan prinsip pembelajaran abad ke-21 yang menekankan kemahiran komunikasi dan pemikiran kritis agar pelajar mempunyai kefahaman dan pengetahuan yang mendalam tentang bahasa yang dipelajari.
Sebagai alat penilaian kemajuan dan tahap penguasaan pelajar pula, latihan dan ujian amat penting. Cara yang dapat dilaksanakan ialah pemantauan dan penilaian prestasi pelajar secara berkala. Langkah ini merupakan mekanisme penting bagi memastikan keberkesanan pengajaran Bahasa Melayu.
Keberkesanan tersebut dapat diuji dengan cara melaksanakan kuiz, ujian formatif dan tugasan penulisan. Dalam kaedah ini, jawapan pelajar dianalisis dan dibandingkan. Usaha ini dapat membantu guru atau tenaga pengajar mengenal pasti kelemahan pelajar dan melakukan penyesuaian dalam strategi pengajaran agar pembelajaran dapat diintegrasikan.
Di samping itu, pembangunan profesionalisme guru Bahasa Melayu perlu diutamakan. Guru atau tenaga pengajar perlu bersedia dari segi pengetahuan, kemahiran dan sikap dalam pelaksanaan pengajaran. Guru atau tenaga pengajar juga perlu sentiasa mengikuti perkembangan metodologi terkini dan teknik pemulihan bahasa yang berkesan dengan cara mengikuti latihan dan kursus peningkatan kemahiran pengajaran secara berterusan.
Golongan pendidik ini juga perlu mempraktikkan penggunaan bahasa Melayu baku agar pelajar tidak terkeliru dari segi ejaan kerana kata disebut berdasarkan ejaan. Penggunaan bahasa Melayu baku perlu dilaksanakan secara berterusan di sekolah untuk memastikan penggunaan bahasa yang betul, sekali gus mengukuhkan penguasaan bahasa pelajar. Hal ini penting bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan memberikan impak positif terhadap pemahaman pelajar.
Di samping itu, kempen kesedaran tentang bahasa diperlukan untuk memberikan penerangan secara terancang tentang dasar, perkhidmatan, program dan aktiviti kebahasaan untuk menarik perhatian masyarakat. Program kebahasaan ini merupakan platform yang berkesan untuk memupuk minat pelajar, seterusnya membudayakan penggunaan bahasa Melayu.
Tambahan pula, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia banyak menyediakan peluang kepada penulis untuk menghantar karya bagi diterbitkan dalam jurnal dan majalah, sama ada secara bercetak atau digital. Peluang ini membolehkan ilmu bahasa sentiasa berkembang dan membuka ruang perbincangan yang menyeluruh.
Penggunaan teknologi maklumat seharusnya memberikan nilai tambah terhadap pengalaman pembelajaran bahasa. Pelajar dapat menikmati pengalaman pembelajaran secara lebih interaktif, fleksibel dan berkesan menerusi penggunaan teknologi secara bijak. Sebagai contoh, penggunaan aplikasi interaktif, video pembelajaran, program e-pembelajaran dan platform digital bukan sahaja dapat menarik minat pelajar untuk menjadi lebih celik teknologi, malah membantu mengukuhkan pemahaman dan penguasaan bahasa.
Akhir sekali, pelibatan ibu bapa dan komuniti dalam pembelajaran subjek Bahasa Melayu tidak boleh diabaikan. Hal ini dikatakan demikian kerana pelibatan ibu bapa dalam pembelajaran memberikan motivasi kepada pelajar supaya lebih berminat terhadap mata pelajaran yang diambil.
Secara keseluruhannya, intervensi yang menyeluruh dan berterusan yang melibatkan pihak sekolah, guru, ibu bapa, komuniti dan pentadbir mampu meningkatkan prestasi pelajar dalam subjek Bahasa Melayu. Menerusi peningkatan ini, penggunaan bahasa Melayu dapat terus dilestarikan seiring dengan keperluan, kemampuan dan minat penuturnya.