Diterbitkan pada 29 Mei 2025, 16:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Avram Noam Chomsky dilahirkan pada 7 Disember 1928 di Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat. Chomsky merupakan seorang ahli linguistik, ahli falsafah, ahli sains kognitif, aktivis politik, pengarang dan pensyarah. Beliau mendapat pendidikan tinggi di Universiti Pennsylvania sehingga peringkat doktor falsafah. Beliau juga merupakan Profesor Emeritus di Institut Teknologi Massachusetts.

Chomsky merupakan seorang yang sangat berpengaruh dalam bidang linguistik. Kepintaran, kepantasan, kemampuan dan kebolehan pemikirannya dianggap sebagai suatu legenda. Beliau telah menerbitkan buku Syntactic Structures pada tahun 1957. Penerbitan buku ini menandakan permulaan fasa linguistik baharu dan revolusi ilmiah dalam bidang linguistik. Secara lebih terperinci, Chomsky menitikberatkan deskripsi bahasa, memperincikan klasifikasi bunyi, morfem dan hubungannya dalam kesatuan yang lebih besar, menganalisis bahasa dengan korpus yang terbatas serta mengemukakan tatacara dan penemuan unsur bahasa.

Chomsky menegaskan bahawa tatabahasa merupakan teori ilmiah yang terbentuk dengan berdasarkan pengamatan korpus ungkapan oleh penutur jati. Bukan itu sahaja, beliau juga berpendapat bahawa tingkat kajian linguistik dalam fonetik, fonologi, morfologi dan sintaksis belum mencapai tahap deskripsi linguistik yang tuntas, sebaliknya merupakan tatacara untuk mencapai kajian linguistik yang tuntas sahaja.

Menurut beliau lagi, kajian bahasa bertujuan untuk menyusun tatabahasa yang dapat dijadikan tatabahasa pegangan, iaitu satu sistem kaedah yang menghubungkan antara bunyi dengan makna. Pada tahun 1965, Chomsky menerbitkan buku Aspects of the Theory of Syntax untuk mengembangkan teorinya yang dikenali sebagai Teori Transformasi Generatif. Melalui teori ini, Chomsky berpendapat bahawa tatabahasa terdiri daripada tiga komponen asas, iaitu fonologi, sintaksis dan semantik.

Teori linguistik yang diketengahkan oleh Chomsky bersifat mental, iaitu mencari dan menerangkan kemampuan linguistik nurani penutur jati. Dalam masa yang sama, penganalisisan ayat dilakukan menerusi tatabahasa model generatif dan penanda frasa. Beliau juga menekankan perihal bahasa sebagai kawasan akal budi manusia.

Noam Chomsky mengemukakan Teori Transformasi Generatif yang melihat ayat sebagai suatu unsur yang terdiri daripada dua peringkat. Peringkat pertama ialah struktur dalaman, iaitu struktur yang lazimnya mengandungi bentuk ayat dasar atau ayat inti yang diperlukan untuk membentuk asas makna ayat atau dengan kata lain membentuk semantik ayat. Struktur dalaman pula ialah pewujudan sintaksis abstrak ayat yang menentukan faktor pengawalan interpretasi ayat.

Peringkat kedua ialah struktur luaran yang dikenali sebagai struktur permukaan, iaitu struktur ayat yang lazimnya mengalami perubahan daripada struktur dalamannya dan merupakan bentuk ayat yang akan diucapkan oleh seseorang penutur. Dalam erti kata lain, struktur luaran ialah pewujudan sintaksis peringkat akhir yang menjadi input komponen fonologi, iaitu ayat sebenar yang diucapkan.

Noam Chomsky berpendapat bahawa manusia memperoleh bahasa daripada dua komponen, iaitu komponen perlakuan bahasa dan kemampuan bahasa. Menurut Chomsky, perlakuan bahasa merupakan keupayaan manusia sejak lahir untuk menguasai sejumlah peraturan yang terkandung dalam mindanya.

Kemampuan bahasa pula merupakan pewujudan bahasa tertentu seperti yang dilihat dalam percakapan dan penulisan. Konsep kemampuan bahasa yang dikemukakan oleh Chomsky ini lebih memberikan penekanan kepada penutur sebagai individu. Dalam hal ini, manusia telah didedahkan tentang peraturan pembentukan ayat di dalam otaknya sejak lahir lagi.

Bagi menerbitkan ayat pada peringkat struktur dalaman, Noam Chomsky mengemukakan rumus struktur frasa. Menerusi rumus struktur frasa, ayat yang dihasilkan mempunyai struktur yang berikut:

  1. A = FN + FK
  2. FN = KN + Penentu belakang
  3. FK  = KK + KN
  4. KN = budak, buku
  5. KK = membaca
  6. Penentu belakang = itu

(A = ayat, FN= frasa nama, FK = frasa kerja, KK = kata kerja, KN = kata nama)

 

Seterusnya, Noam Chomsky mengetengahkan rumus transformasi yang berfungsi untuk menukarkan pola atau struktur ayat sehingga peringkat struktur permukaan. Rumus transformasi mengambil ayat yang dihasilkan oleh rumus struktur frasa sebagai input dan kemudian memindahkan, menggugurkan dan menyambungkan unsur tertentu dalam ayat tersebut.

Berbeza daripada rumus struktur frasa yang mempunyai susunan bebas, rumus transformasi disusun berdasarkan susunan tertentu untuk menghasilkan ayat yang gramatis. Rumus transformasi adalah penting untuk memperlihatkan hubungan sintaksis antara dua struktur ayat yang berbeza.

Kesimpulannya, teori yang diketengahkan oleh Noam Chomsky ini banyak membantu pelajar bagi memahami proses transformasi ayat dalam bahasa Melayu, seperti ayat aktif, ayat pasif, ayat songsang dan ayat pasif songsang. Akhirnya, kesalahan pelajar ketika menulis ayat dalam subjek Bahasa Melayu dapat dikurangkan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi