Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam arus deras kehidupan moden yang sentiasa mendambakan pencapaian dan prestij, kejayaan sering disempitkan dengan ukuran angka, gred cemerlang, jawatan tinggi atau kekayaan yang melimpah ruah. Namun begitu, apakah makna sebenar kejayaan sekiranya jiwa tidak pernah damai dan manusia kehilangan arah di sebalik sorakan pencapaian? Oleh itu, amat penting untuk merenung hakikat kejayaan dari sudut yang lebih menyeluruh. Kejayaan merupakan sebuah perjalanan dan bukannya destinasi. Proses ini tidak terlepas daripada pengalaman jatuh dan bangkit, kegagalan dan pembelajaran serta kehilangan arah dan penemuan semula jati diri.
Peribahasa Melayu yang kaya dengan kearifan tempatan telah sekian lama menjadi cerminan realiti kehidupan masyarakatnya. Perkara ini bukan sekadar rangkaian kata yang indah tetapi merupakan pantulan nilai, falsafah dan pedoman hidup bangsa. Keindahan peribahasa Melayu berperanan sebagai wahana pemahaman terhadap konsep kejayaan yang berpaksikan warisan budaya dan pandangan hidup bangsa. Oleh itu, penghayatan terhadap makna yang terkandung dalam setiap peribahasa wajar dipupuk dalam kalangan generasi muda agar mereka tidak terperangkap dalam definisi kejayaan yang bersifat material semata-mata, sebaliknya mampu menilai kehidupan secara lebih menyeluruh dan berteraskan nilai budaya.
Selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, pelbagai reaksi terpancar dalam kalangan pelajar. Ada yang bersorak bangga meraikan kejayaan dan tidak kurang juga yang termenung kecewa apabila harapan tidak seiring dengan kenyataan. Namun begitu, keputusan peperiksaan tidak seharusnya dianggap sebagai penentu mutlak nilai atau masa hadapan seseorang. Kegagalan merupakan sebahagian daripada proses kematangan dan pembentukan jati diri seseorang.
Sebagai contoh, Tan Sri Anthony Francis Fernandes, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia tidak melalui sistem pendidikan yang sempurna, namun tetap berjaya membina empayar penerbangan bertaraf antarabangsa. Kisah kejayaannya membuktikan bahawa sistem pendidikan harus lebih anjal dalam mentakrifkan makna kecemerlangan. Oleh itu, wajar untuk kita memperluas kerangka penilaian agar lebih menyeluruh dan merangkumi aspek kemahiran insaniah, inovasi dan keupayaan sebenar dalam menghadapi cabaran dunia nyata.
Dalam lorong perjuangan pendidikan, banyak dalam kalangan pelajar daripada kumpulan B40 menempuh laluan yang jauh lebih mencabar. Mereka tidak memiliki kemudahan asas seperti meja belajar yang selesa, tambang perjalanan yang mencukupi dan kadangkala akses kepada internet juga tiada di rumah. Namun begitu, di sebalik segala kekurangan tersebut, mereka tetap berpegang teguh pada peribahasa “berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian.”
Sokongan melalui Program Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) dan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) membolehkan mereka mengubah naratif kehidupan. Kesungguhan dan ketabahan yang ditunjukkan bukan sahaja menghasilkan keputusan peperiksaan yang membanggakan, malah turut membentuk peribadi yang memahami erti ketabahan dan kesabaran. Pengalaman menempuh cabaran ini secara tidak langsung memupuk daya tahan dan kecekalan yang menjadi teras kejayaan jangka panjang.
Pada masa yang sama, terdapat individu yang berani melangkah keluar daripada sempadan sistem pendidikan arus perdana untuk membina laluan pembelajaran mereka sendiri. Walaupun tidak menjejakkan kaki ke menara gading, namun mereka tetap gigih menimba ilmu melalui platform dalam talian dengan berlandaskan semangat “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.” Mereka menguasai pelbagai kemahiran seperti teknologi digital, reka bentuk grafik dan penulisan kandungan hasil dorongan keinginan yang tinggi. Hal ini membuktikan bahawa proses pembelajaran tidak semestinya terbatas di dalam ruang kelas sahaja, sebaliknya boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa selagi wujud keinginan untuk terus menimba ilmu.
Dalam kerangka pendidikan pada masa ini, pelajar tidak lagi dilatih untuk menguasai satu kemahiran atau mengikuti satu hala tuju sahaja. Pelaksanaan kurikulum baharu telah membuka ruang kepada mereka untuk meneroka pelbagai bidang seperti sains dan teknologi, seni dan keusahawanan digital. Oleh itu, lahirlah generasi yang mampu menyulam kod komputer sambil menghasilkan ilustrasi dan menjalankan perniagaan melalui media sosial.
Semangat yang terkandung dalam peribahasa “sekali merengkuh dayung, dua tiga pulau terlampaui” memperlihatkan kebijaksanaan dalam menggandakan hasil melalui satu usaha yang strategik dan menyeluruh. Prinsip ini selari dengan keperluan dunia kerjaya pada masa ini yang semakin menghargai individu serba boleh, iaitu mereka yang memiliki kepelbagaian kemahiran, kebolehan dan mampu menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi tanpa bergantung semata-mata kepada pencapaian akademik.
Selain itu, pengalaman menghadapi pandemik COVID-19 tidak boleh diketepikan kerana telah mengubah kelaziman dunia pendidikan secara drastik. Guru dan pelajar terpaksa menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran dalam talian. Pada peringkat awal, suasananya tampak kekok dan janggal, namun setelah melalui tempoh yang panjang dengan cabaran pembelajaran digital, akhirnya banyak yang berjaya menguasai penggunaan platform pembelajaran dalam talian dengan lebih yakin dan berkesan. Peribahasa “alah bisa, tegal biasa” menggambarkan proses penyesuaian guru dan pelajar terhadap pembelajaran digital yang pada awalnya mencabar, namun akhirnya menjadi sebahagian rutin harian. Keupayaan menyesuaikan diri merupakan satu bentuk kejayaan dan pencapaian ini boleh dianggap sebagai kejayaan pendidikan yang paling signifikan dalam sejarah moden negara.
Setiap peribahasa yang diwarisi secara turun-temurun bukan sekadar bidalan kosong, sebaliknya mengandungi hikmah yang terus hidup dalam wajah dan pengalaman generasi anak Malaysia pada hari ini. Peribahasa ini mencerminkan nilai yang kekal relevan dalam membentuk kefahaman terhadap makna kejayaan yang sebenar. Kesedaran bahawa kejayaan bukan semata-mata milik individu yang mencapai kemenangan tetapi juga milik mereka yang tidak pernah berhenti mencuba menjadi asas penting dalam menjadikan sistem pendidikan sebagai wahana sebenar untuk mendewasakan bangsa.
Dalam dunia yang semakin kompleks dan sarat dengan pelbagai takrif kejayaan, keberanian untuk merombak kerangka pemikiran tradisional yang menyempitkan potensi insan kepada sekadar angka atau pencapaian sijil menjadi suatu keperluan. Sistem pendidikan tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai gelanggang untuk menilai siapa yang paling pantas mencapai kejayaan, sebaliknya perlu diangkat sebagai wadah untuk membina jati diri, memperkukuh daya tahan dan menyemai kebijaksanaan dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Secara keseluruhannya, golongan pendidik, ibu bapa dan pihak kementerian hendaklah membuka lebih banyak ruang alternatif kepada pelajar yang mungkin tidak menyerlah dari segi pencapaian akademik, namun memiliki semangat dan keupayaan luar biasa dalam bentuk yang berbeza. Sistem pendidikan pada masa ini tidak seharusnya berorientasikan penghasilan pelajar yang seragam, sebaliknya perlu meraikan kepelbagaian bakat dan potensi individu serta membimbing setiap insan ke arah pencapaian diri sebenar mereka.
Harapan besar disandarkan agar setiap anak muda yang pernah melalui pengalaman kegagalan atau tersisih menyedari bahawa perjalanan hidup tidak ditentukan oleh satu keputusan semata-mata. Sebaliknya, nilai diri seseorang jauh melangkaui takrif kejayaan yang sempit dan bersifat sementara. Walaupun bermula dari titik yang paling rendah, namun mereka tetap gigih menyemai benih untuk kejayaan yang lebih tulen dan bererti demi kemaslahatan bangsa.