Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDengan berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, bahasa merupakan sistem lambang bunyi suara yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam lingkungan suatu kelompok manusia. Halliday dalam buku The Users and Uses of Language: Linguistics Sciences and Language Teaching mendefinisikan ragam bahasa sebagai suatu unsur bahasa yang penting apabila bahasa digunakan dalam berbagai-bagai situasi.
Ragam bahasa merupakan beberapa bentuk bahasa khusus yang digunakan dalam karangan atau percakapan untuk menguatkan maksud percakapan dan mempertajam pemahaman pendengar dan pembaca. Menurut Nawi Ismail et al. dalam buku Bahasa Melayu Topikal Semester 3 Tingkatan Enam, ragam bahasa jenaka ialah susunan kata yang menggunakan satu kata dengan dua makna untuk berjenaka dan bergurau. Ragam bahasa jenaka ini sering digunakan dalam situasi tidak formal untuk menjadikan pendengar berasa seronok apabila mendengarnya. Oleh hal yang demikian, wajarlah ragam bahasa jenaka ini memainkan pelbagai peranan dalam kehidupan masyarakat.
Pada era digital yang sentiasa berkembang ini, bahasa jenaka menghubungkan masyarakat dalam dunia maya yang makin meluas. Media sosial merupakan platform yang membolehkan pengguna berinteraksi tanpa sempadan dengan menggunakan pelbagai jenis ragam bahasa untuk menyampaikan maklumat, termasuklah bahasa jenaka.
Unsur jenaka mampu memberikan input kepada pelajar dan membantu menimbulkan keseronokan di dalam kelas ketika proses pembelajaran dan pengajaran dijalankan. Hal ini dikatakan demikian kerana pendidikan tidak semestinya disampaikan secara serius semata-mata, tetapi boleh diselitkan unsur jenaka.
Menurut Norul Haida Reduzan dalam tesisnya, iaitu Unsur Jenaka sebagai Perangsang dalam Situasi Pembelajaran Bahasa Melayu dalam Kalangan Pelajar Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris, aktiviti lakonan mini drama dan tontonan tayangan filem jenaka di dalam kelas dapat mengurangkan ketegangan ketika belajar. Jenaka dapat diselitkan oleh guru dalam pembelajaran apabila pelajar dilihat tertekan dengan subjek yang sukar.
Gaya bahasa yang bijak juga memainkan peranan penting apabila ingin menerangkan konsep yang sukar. Guru perlu kreatif untuk mengubah bahan pembelajaran yang kompleks agar dapat memberikan keseronokan kepada pelajar. Natijahnya, keseronokan belajar di dalam kelas dapat dicapai apabila unsur jenaka digunakan ketika pembelajaran dilaksanakan.
Ragam bahasa jenaka turut berperanan penting dalam pelestarian budaya dan identiti. Bahasa jenaka menjadi wadah untuk menyampaikan tradisi, nilai dan cerita yang membentuk jati diri sebuah komuniti sejak dari dahulu lagi. Unsur jenaka dapat dilihat dalam pelbagai perkara, seperti cerita rakyat, hiburan, hikayat dan wayang kulit. Adegan jenaka yang sering muncul dalam penceritaan wayang kulit jelas menunjukkan unsur tempatan, baik dari segi bahasa atau peristiwa yang digambarkan.
Watak yang digunakan dalam penceritaan wayang kulit, seperti watak Pak Dogol dan Wak Long, dalam wayang kulit negeri Kelantan digambarkan sebagai orang yang hodoh, nakal dan bodoh. Selain itu, watak Pak Pandir, Pak Kaduk dan Mat Jenin pula sering digambarkan dengan ciri yang serupa. Namun begitu, kedua-dua cerita dan wayang kulit ini dihasilkan untuk memberikan teladan kepada masyarakat dalam bentuk lawak yang difahami. Oleh hal yang demikian, jenaka bukan sahaja digunakan untuk hiburan, tetapi juga untuk meraikan kepelbagaian budaya.
Di samping itu, bahasa jenaka bukan sahaja untuk hiburan, tetapi juga untuk menyuarakan pandangan tentang realiti sosial dan politik. Jenaka menyediakan ruang untuk kritikan tanpa menghilangkan keseronokan agar masyarakat dapat membincangkan isu serius secara terbuka. Menurut Farihad Shalla Mahmud dalam makalah “Bukan Antikerajaan, Hanya Selit Unsur Humor Topik Politik”, ada pelawak yang menggunakan topik politik untuk dijadikan bahan jenaka. Pelawak itu menyatakan bahawa politik sering dibincangkan secara serius oleh masyarakat, justeru itu dia cuba menyelitkan unsur jenaka ke dalamnya.
Selain itu, bahasa jenaka sering digunakan sebagai alat untuk kritikan tersirat, serta membolehkan pengguna bahasa menyuarakan pendapat dalam cara yang lebih santai dan mudah diterima. Penyampaian mesej melalui bahasa jenaka dapat mewujudkan kesedaran awam tentang isu yang tertentu, merangsang pemikiran kritis dan menggalakkan perubahan positif dalam masyarakat. Oleh itu, jelaslah bahawa bahasa jenaka dapat digunakan sebagai medium untuk menyuarakan pandangan tentang realiti sosial dan politik.
Ragam bahasa jenaka juga dapat digunakan untuk menyampaikan dakwah dengan cara yang lebih menarik. Penggunaan elemen jenaka dalam dakwah dapat memudahkan pemahaman pendengar kerana lebih dekat dan mesra dengan hati pendengar.
Menurut Mohd Zaidi Ramli dalam makalah “Beza Humor dalam Dakwah, Lawak Jenaka”, unsur jenaka wujud sejak zaman awal tamadun Islam. Penelitian ini menunjukkan kehadiran elemen jenaka dalam kesusasteraan Arab wujud dari awal abad pertama hijrah hingga zaman pemerintahan Kerajaan Uthmaniyyah. Kajian ini memberikan gambaran bahawa bahasa jenaka memainkan peranan dalam penyampaian dakwah agama.
Dakwah yang disampaikan dengan menggunakan ragam bahasa jenaka yang sesuai dapat menarik minat pendengar kerana pendengar tidak berasa bosan dengan ceramah yang disampaikan. Oleh itu, ragam bahasa jenaka dianggap menarik untuk digunakan dalam usaha menyebarkan nilai agama terhadap pelbagai lapisan masyarakat.
Kesimpulannya, ragam bahasa jenaka memainkan peranan dalam pelbagai lapisan kehidupan masyarakat. Antaranya termasuklah menghubungkan masyarakat dalam dunia maya, menimbulkan keseronokan dalam pembelajaran, melestarikan budaya dan identiti, menyuarakan pandangan politik dan menyampaikan dakwah dengan menariknya. Oleh itu, penggunaan ragam bahasa jenaka yang mampu menceriakan suasana dan mengurangkan tekanan hidup harus diterapkan dalam sesuatu komunikasi.