Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPengetahuan Bahasa sebagaimana menurut tulisan V.K. Bhatia bertajuk Legal Genres yang dimuatkan dalam himpunan makalah berjudul Encyclopedia of Language & Linguistics (Second Edition) terbitan Elsevier, Amsterdam tahun 2006, halaman 1 – 7 boleh ditakrifkan sebagai pemahaman dan kecekapan dalam bahasa yang berbeza, yang memainkan peranan penting dalam tafsiran, perundingan, dan pelaksanaan keadilan undang-undang dalam masyarakat. Konteks ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pertama, pemerolehan bahasa dan kedua, pembelajaran bahasa.
Pemerolehan bahasa ialah proses fasa manusia belajar memahami dan menggunakan bahasa, merangkumi kedua-dua bahasa pertama (ibu) dan kedua (asing), dan melibatkan pemerolehan kosa kata, tatabahasa, dan kemahiran komunikasi. Fasa ini merupakan proses semula jadi yang sering berlaku di bawah sedar untuk mempelajari bahasa sama ada bahasa pertama atau bahasa kedua.
Pemerolehan bahasa pertama merujuk cara seseorang mempelajari bahasa ibunda mereka, biasanya melalui pendedahan terhadap bahasa itu di persekitaran mereka. Manakala pemerolehan bahasa kedua kebiasaannya perlu melalui proses pembelajaran bahasa yang bukan bahasa ibunda seseorang, selalunya melalui pengajaran formal atau perincian yang meliputi pelibatan mental yang mendalam terhadap sesuatu perkara.
Sebagaimana yang dimaklumkan di atas, aspek utama yang terdapat dalam pemerolehan bahasa ialah kosa kata yang merujuk cara atau kaedah mempelajari makna perkataan, frasa, tatabahasa yang merujuk cara memahami dan menggunakan peraturan struktur ayat, serta komunikasi yang merujuk kaedah membangunkan keupayaan bagi menyatakan diri dan memahami orang lain.
Dalam perkembangan semasa yang berkaitan dengan pemerolehan bahasa, terdapat beberapa teori yang sering diguna pakai dalam kalangan penyelidik atau pengamal yang terlibat dengan kajian bahasa, iaitu Teori Behavioris yang mencadangkan bahasa dipelajari melalui peniruan dan peneguhan, Teori Kognitif yang menekankan peranan proses mental dalam pembelajaran bahasa, Teori Interaksionis yang menonjolkan kepentingan interaksi sosial dalam pemerolehan bahasa dan Teori Linguistik yang memberikan tumpuan kepada kapasiti semula jadi untuk bahasa, seperti yang dicadangkan oleh Noam Chomsky.
Berbanding dengan pemerolehan bahasa pertama, pemerolehan bahasa kedua memerlukan pengajaran formal yang terdiri daripada beberapa peringkat, iaitu:
Pemerolehan bahasa pada hakikatnya adalah berbeza dengan pembelajaran bahasa. Walaupun kedua-duanya melibatkan proses belajar bahasa, namun pemerolehan sering dilihat sebagai proses yang lebih semula jadi dan berada dalam keadaan bawah sedar, manakala pembelajaran pula berada dalam keadaan sedar dan sering melibatkan arahan formal. Dari perspektif neurolinguistik sebagaimana menurut tulisan Robertson dan Ford dalam artikel bertajuk Language Acquisition: An Overview yang tersiar di laman web Colorin Colorado pada 1 Oktober 2009, pemerolehan bahasa dan pembelajaran bahasa diproses dalam dua cara yang berbeza di dalam otak kerana pemerolehan bahasa melibatkan kegiatan bersifat intuitif manakala pembelajaran bahasa melibatkan kegiatan yang disengajakan.
Perbezaan kedua-duanya boleh dilihat menerusi ciri-ciri sebagaimana yang dikemukakan oleh Vazquez-Calvo dalam tulisannya bertajuk Languages are both acquired and learned – so conscious and unconscious effort is needed when picking up a new one yang tersiar di laman web The Conversation pada 2 Ogos 2023 seperti dalam jadual berikut;
| Ciri-ciri | Pemerolehan | Pembelajaran |
| Proses | Separa sedar dan intuitif, bergantung pada pendedahan dan interaksi | Sedar dan sengaja, melibatkan pelajaran peraturan tatabahasa, perbendaharaan kata dan aspek-aspek bahasa yang lain |
| Fokus | Komunikasi yang bermakna dan memahami bahasa dalam konteks di mana fokus cenderung kepada pengetahuan tersirat | Pengetahuan tersurat tentang struktur dan peraturan bahasa |
| Sifat | Semulajadi dan mudah kerana ia tidak memerlukan arahan yang jelas dan peraturan tatatabahasa | Formal dan berstruktur, selalunya melibatkan buku teks, lembaran kerja dan bahan pengajaran |
| Penekanan | Ianya tertumpu pada komunikasi lisan di mana penekanan diberikan kepada kemahiran bertutur dan mendengar | Melibatkan komunikasi lisan dan bertulis di mana tumpuan diberikan kepada kemahiran membaca dan menulis |
Adapun pemerolehan bahasa menurut tokoh pemikir terkenal abad ke-14, Abū Zayd ‘Abd Al-Raḥmān ibn Muḥammad ibn Khaldūn Al-Ḥaḍramī atau lebih dikenali sebagai Ibn Khaldun (1332 – 1406) sebagaimana yang dinyatakannya dalam karyanya yang berjudul Muqaddimah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur tahun 2006, halaman 787-788, akan tercapai melalui dua cara;
Dengan demikian, kaedah terbaik untuk memantapkan pemerolehan bahasa menurut Ibn Khaldun adalah menerusi komunikasi lisan dan pembacaan. Menerusi dua kaedah tersebut, idea-idea tentang penggunaan perkataan lebih mudah diserap dan seterusnya memudahkan penguasaan terhadap bahasa berkenaan.
Manakala pembelajaran bahasa menurut Ibn Khaldun adalah merujuk kepada dua perkara iaitu;
Atas sebab itu kata Ibn Khaldun, tidak hairanlah apabila ramai dalam kalangan sarjana bukan Arab lebih cenderung dan mahir dalam bahasa Arab kerana mereka bukan sahaja menunjukkan kegigihan dan semangat yang tinggi dalam membiasakan diri dengan bahasa tersebut melalui pertuturan dan penulisan tetapi juga sanggup mengorbankan masa dan tenaga bagi mendalami bahasa berkenaan dengan cara bergaul dan menetap di sesuatu tempat dalam tempoh yang lama.
Jelas Ibn Khaldun, keahlian merupakan identiti atau pembawaan khusus bagi masyarakat yang menetap, tetapi malangnya masyarakat Arab telah mengabaikannya. Kelompok Arab yang asalnya hidup menetap di sesuatu tempat telah mengubah sikap dan pemikiran mereka kepada hidup berpindah-randah seperti orang-orang Badwi – gaya hidup yang diamalkan ini amat merugikan kerana amalan tersebut secara tidak langsung telah menjauhkan mereka dari bidang pengetahuan.
Faktor utama yang menyebabkan berlakunya perubahan gaya hidup tersebut ialah tindakan penguasa pada zaman itu yang tidak suka orang-orang Arab menyibukkan diri dengan hal-hal selain dalam hal-hal yang memberi faedah kepada soal-soal pemerintahan dan politik. Sebaliknya bergelumang dalam bidang pengetahuan pada masa itu diibaratkan seperti seseorang yang terlibat dalam bidang pertukangan yang dianggap sebagai satu pekerjaan yang tidak berkembang. Akibatnya menurut Ibn Khaldun, orang-orang Arab bukan sahaja tidak menguasai bidang pengetahuan tetapi juga bidang pertukangan.
Justeru kecemerlangan peradaban sesuatu bangsa menurut Ibn Khaldun akan terus berlangsung selagi mana budaya hidup menetap masih diamalkan. Ini adalah kerana budaya hidup menetap mencetuskan perkembangan kota-kota yang menjadi tempat menyuburnya bidang pengetahuan. Tetapi apabila budaya itu lenyap maka kota-kota juga akan mengalami nasib yang sama dan akhirnya peradaban hilang dari peta dunia.
Maka yang mengambil tempat kota-kota yang telah lenyap itu jelas Ibn Khaldun, adalah kota-kota yang masih mengekalkan tradisi keilmuan dan budaya hidup menetap menjadi tunjangnya. Disiplin-disiplin ilmu diisi oleh bangsa lain manakala kekuasaan pemerintahan diambil-alih oleh golongan yang memberi perhatian kepada perkembangan dan kemajuan bidang pengetahuan.
Keaslian sesuatu bahasa juga mungkin tidak akan berkembang di sesebuah kota sekiranya masyarakat kota tidak mengambil berat tentang perincian bahasa tersebut. Sebagai contoh menurut Ibn Khaldun, bahasa Arab yang digunapakai di kota-kota berkemungkinan besar tidak lagi terpelihara keasliannya sekiranya ia hanya dituturkan oleh komuniti bukan bangsa Arab atau bahasa-bahasa lain lebih banyak digunakan dalam komunikasi ketimbang bahasa Arab.
Walaupun fasa ini telah mencapai tahap kebiasaan, tetapi disebabkan kurangnya ketrampilan berbahasa yang disebabkan oleh dua faktor di atas maka keaslian bahasa tersebut akan tersisih ditelan zaman. Keaslian bahasa menurut Ibn Khaldun sebagaimana yang dinyatakannya di halaman 816-821, adalah sangat penting kerana hal tersebut bukan sahaja berkait rapat dengan pertuturan semata-mata, tetapi juga berhubungan dengan pembawaan dan naluri yang didorong oleh daya disebut sebagai perasaan.
Dengan demikian penguasaan berbahasa itu tidak hanya boleh didapati menerusi pengetahuan peraturan atau tatabahasa semata-mata tetapi juga melalui perasaan yang menyerap bahasa ke dalam jiwa sehingga menjadi cermin terhadap pembawaannya. Perasaan ini membentuk pengenalan watak dan penyusunan kalimat yang baik sehingga menimbulkan keindahan yang menghadirkan kewibawaan dari sudut keahlian, keluhuran budi dan cara berfikir yang sihat.
Maka kata Ibn Khaldun di halaman 805-806, penempatan sesuatu bangsa atau suku kaum yang berada jauh dari kawasan atau negeri-negeri lain sangat mempengaruhi keaslian sesuatu bahasa bahkan ketrampilannya. Dengan mengambil contoh bahasa Arab dari sudut kualiti pengunaan bahasanya, dialek yang digunakan oleh orang-orang Quraisy adalah yang paling murni berbanding dengan bahasa Arab yang digunapakai di tempat-tempat yang lain kerana kedudukan penempatannya jauh dengan kawasan atau kerajaan negara lain. Dengan kemurnian bahasa tersebut, tidak hairanlah apabila bangsa Quraisy juga disegani dan dihormati kerana ketrampilannya.
Manakala manfaat yang diperolehi dari pemerolehan dan pembelajaran bahasa dari sudut yang lebih terperinci adalah seperti;
Sebagai penutup, dalam konteks peradaban manusia mutakhir ini, pemerolehan bahasa menjadi kunci kepada proses pembelajaran untuk memahami dan menggunakan bahasa, yang sangat penting untuk perkembangan kognitif, interaksi sosial dan kejayaan keseluruhan dalam dunia global, yang menawarkan faedah dari segi komunikasi yang dipertingkatkan, pemahaman budaya dan peluang ketrampilan yang diperluaskan.