Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMenjelang sambutan Hari Kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos saban tahun, rakyat Malaysia perlu merenung kembali perjuangan tokoh-tokoh negara, bukan sahaja dalam usaha mereka memerdekakan negara daripada penjajah, tetapi juga tokoh bahasa yang bersusah payah berjuang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia.
Setiap bangsa dan negara di dunia yang merdeka pasti mempunyai bahasanya sendiri. Begitu juga dengan Malaysia yang memiliki bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang merupakan salah satu entiti yang mewakili rakyat dan melambangkan identiti nasional serta budaya sesebuah negara, selain daripada bendera Malaysia (Jalur Gemilang) dan lagu kebangsaan (Negaraku) yang perlu dihormati dan diletakkan pada kedudukan yang sewajarnya. Apabila berlakunya insiden seperti Jalur Gemilang dirosakkan, dicetak terbalik dan sebagainya sering diberi perhatian oleh rakyat Malaysia, tetapi apabila bahasa Melayu “dipijak-pijak” jarang-jarang kita bersuara.
Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara sememangnya telah terjamin dalam Perlembagaan Negara. Namun, dari aspek pelaksanaannya masih banyak kelompongan yang perlu diperhalusi bersama-sama secara kolektif. Jauh yang lebih menyedihkan apabila bahasa Melayu dipinggirkan oleh bangsanya sendiri. Kedudukan bahasa Melayu di negara kita bagai melukut di tepi gantang. Walhal, menyayangi dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan bukti patriotisme seorang warganegara kepada negaranya. Sebagai rakyat Malaysia, kita wajib menyedari bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan negara yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Bahkan, fungsi bahasa ini terus diperkukuh melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah berdasarkan reputasinya yang pernah menjadi lingua franca di alam Melayu pada suatu masa dahulu. Namun, kedudukannya bukan sekadar tidak dihormati, malah masih wujud segelintir individu yang menafikan hak bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, ancaman bahasa rojak dan cukup malang lagi apabila ada yang tidak tahu atau tidak fasih berbahasa Melayu menjadi duri dalam daging. Situasi ini memperlihatkan betapa rapuhnya semangat patriotik warganegara kita yang gagal mematuhi Perlembagaan Negara, sedangkan pelajar antarabangsa bahkan pekerja asing pun mampu menguasai bahasa Melayu walaupun hanya berada beberapa bulan di negara kita.
Pada era globalisasi digital, bahasa Melayu semakin terpinggir apabila bahasa Inggeris memonopoli ruang lingkup dunia teknologi dan digunakan sebagai bahasa utama dalam aplikasi teknologi maklumat. Mahu tidak mahu, semua bangsa di dunia perlu mempelajari atau memahami bahasa Inggeris untuk menguasai teknologi maklumat yang begitu cepat berkembang.
Tanpa kompromi, secara sedar atau sebaliknya bahasa Inggeris telah pun menjelajah ke seluruh dunia pada dekad 1990-an lagi. Penjajahan baharu ini sebenarnya telah meminggirkan semua bahasa yang ada di dunia termasuklah bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, janganlah jadikan isu ini sebagai punca untuk kita tidak mengutamakan bahasa Melayu dalam komunikasi, malah tidak salah untuk mempelajari dan menguasai bahasa-bahasa lain. Kemampuan bahasa kebangsaan kita sebagai bahasa ilmu, ekonomi dan bahasa negara tidak perlu dipertikaikan.
“Sayangi Bahasa, Sayangi Negara” yang diangkat sebagai tema sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BKK) pada tahun lepas perlu dijadikan semangat untuk sama-sama memartabatkan bahasa kebangsaan. Perasaan hormat dan cinta akan bahasa Melayu perlu menjadi darah daging dari dalam diri setiap warganegara. Buanglah sifat malu untuk bertutur dalam bahasa Melayu dengan bangga. Marilah sama-sama mengembalikan martabat bahasa Melayu pada kedudukannya sebagai bahasa berwibawa yang pernah menjadi lingua franca.