Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPengantarabangsaan bahasa Melayu dilaksanakan demi melestarikan keunggulan identiti bahasa kebangsaan dan budaya Malaysia di persada dunia. Belakangan ini, masyarakat diseru oleh kerajaan untuk sama-sama mengangkat nilai Malaysia menerusi silang bahasa dan budaya sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025. Aspek kebahasaan perlu tidak boleh dikesampingkan berikutan nilai unik yang terdapat pada bahasa dalam memainkan peranan dan fungsinya sebagai alat komunikasi. Bahasa Melayu berpotensi menjadi bahasa ASEAN khususnya dari aspek ekonomi, pentadbiran, dan sebagai ejen diplomasi dalam kalangan negara ASEAN. Martabat bahasa Melayu wajar diangkat dalam kerjasama ini dan diimplementasikan dalam konteks silang budaya Melayu dan silang budaya global secara integrasi.
Penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa asing perlu dipergiat dengan pelbagai usaha menerusi pendekatan yang lebih mesra dan berkesan. Pendekatan kontak perbualan merupakan satu daripada pendekatan terbaik bagi menggalakkan penutur asing atau pelajar antarabangsa mempelajari bahasa Melayu. Pelajar Malaysia di kampus boleh memainkan peranan sebagai duta bahasa Melayu dalam usaha melonjakkan semangat pelajar antarabangsa di Malaysia untuk menguasai berbahasa Melayu dalam perbualan harian mereka. Pendekatan mesra melalui kontak perbualan akan membantu mereka menguasai bahasa Melayu terutama ketika mereka bersosial dengan masyarakat setempat.
Dalam konteks di kampus, mahasiswa tempatan dilihat wajar membantu pelajar antarabangsa dari semasa ke semasa secara konsisten. Pemilihan pengunaan frasa dan ayat mudah serta penambahan perbendaharaan kata sedikit demi sedikit sepanjang semester atau pengajian akan membuka ruang dan minat dalam kalangan pelajar antarabangsa untuk menguasai bahasa Melayu. Jika usaha murni ini dilaksanakan secara berterusan dengan intensif dan interaktif, hal ini pasti akan melahirkan penutur asing atau pelajar antarabangsa yang mampu fasih dalam bahasa Melayu. Maka itu, tidak sia-sia mereka berada di Malaysia apabila dapat menguasai bahasa kebangsaan sebagai nilai tambah bagi penguasaaan bahasa ketiga selain daripada bahasa ibunda dan bahasa komunikasi yang lain. Hal ini dianggap sebagai kemahiran yang memberikan impak terhadap silang-budaya harmoni, peluang impak jaringan perniagaan dan sosial yang mampu menarik perhatian bakal majikan mereka kelak.
Pada dimensi yang berbeza, pelajar Malaysia juga dapat mempelajari bahasa asing melalui sarana sesi soal-jawab frasa-ayat secara kendiri tentang bahasa asing yang dikuasai oleh pelajar antarabangsa. Apabila situasi ini berjaya dijadikan sebagai sesi komunikasi santai mengikut kontak perbualan dan kelompok komunikasi persahabatan antarabangsa yang kerap, hal ini akan mewujudkan ruang pertukaran bahasa dengan lebih berkesan. Dalam konteks ini, bahasa asing termasuklah bahasa Inggeris, Cina, Arab, Perancis, Jepun, dan Korea. Hal ini merupakan dimensi lain yang dikatakan dalam wacana perbualan yang pasti berlaku secara semula jadi dan spontan tanpa paksaan. Keadaan ini akan memberikan situasi menang-menang apabila kedua-dua pihak mendapat manfaat.
Fenomena dan usaha seperti ini amat relevan dalam menyumbang terhadap kualiti graduan, khususnya dalam faktor komunikasi berbahasa asing. Tambahan pula, kerajaan sendiri sangat serius dalam usaha meningkatkan jumlah pelajar antarabangsa di Malaysia. Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sendiri menyasarkan sebanyak 250 ribu pelajar antarabangsa dari seluruh dunia melanjutkan pengajian di Malaysia pada tahun 2025.
Hal ini bukanlah sesuatu yang mustahil memandangkan pada tahun lalu, lebih 100 ribu pelajar antarabangsa menuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Malaysia. Angka ini pasti merancakkan lagi bidang komunikasi terutamanya yang memilih bahasa Melayu sebagai bahasa asing. Oleh itu, mahasiswa Malaysia perlu mempergiat dan terus menyahut seruan kebahasaan dalam aspek linguistik bahasa Melayu untuk mahasiswa antarabangsa dengan memainkan peranan sebagai subjek bagi kontak perbualan yang kerap atau konsisten.
Selain itu, tenaga pengajar juga boleh memainkan peranannya dalam kontak perbualan dalam sesi pengajaran secara tidak formal yang dapat membantu pelajar antarabangsa berlatih untuk berkomunikasi. Sebagai contoh, domain kafeteria di dalam kampus, restoran di luar kampus, klinik di dalam dan luar kampus, hospital, pusat beli-belah berdekatan kampus di mana-mana perhentian sehenti seperti KL Sentral, Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA )1, KLIA 2 dan seumpamanya boleh dijadikan lokasi pembelajaran tidak formal bagi mewujudkan kontak perbualan dalam kalangan pelajar tempatan, pelajar antarabangsa dan tenaga pengajar.
Penutur dan pelajar antarabangsa dapat menguasai bahasa kebangsaan melalui sesi pembelajaran bahasa pada tahap asas bermula dengan sebutan, bunyi, terjemahan frasa dan ayat serta pembinaan pola ayat asas perbualan harian dan topik asas. Keperluan kontak perbualan secara konsisten ini perlu diakui oleh setiap penutur asing yang mempelajari mana-mana bahasa asing. Pembelajaran bahasa asing amat memerlukan penutur jati sebagai medium untuk mereka berlatih berkomunikasi, sekali gus mendapat manfaat daripadanya.
Menurut Pendeta Za’ba (1949), kepelbagaian kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa perlu diperjuangkan dari masa ke masa berdasarkan perkembangan linguistik moden dan terkini termasuklah tumpuan terhadap pembelajaran frasa dan ayat. Chomsky (2006) pula berpandangan bahawa minda dan otak manusia mempunyai daya penyerapan perkataan dan ayat secara semula jadi. Perkongsian maklumat menerusi artikel setidak-tidaknya mampu menyuntik motivasi, rangsangan dan kontak perbualan kepada penutur asing dan pelajar antarabangsa di Malaysia.
Secara tuntasnya, keperluan mendapatkan kontak perbualan daripada penutur jati dalam proses pembelajaran bahasa asing merupakan satu perkara yang diketahui umum, tetapi pelaksanaannya memerlukan galakan dari semasa ke semasa. Hal ini dikatakan demikian kerana hari ini masyarakat tempatan khususnya pelajar sering menggunakan bahasa Inggeris ketika bertemu dengan pelajar antarabangsa mahupun warga asing. Percampuran kod antara frasa bahasa Melayu dengan frasa bahasa Inggeris dalam satu-satu ayat yang digunakan dibenarkan secara minimum. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa matlamat utama kita adalah mengutamakan bahasa Melayu terlebih dahulu dalam setiap ayat yang diujarkan. Oleh hal yang demikian, pelajar antarabangsa tidak mengalami situasi yang janggal untuk berkomunikasi dengan pelajar tempatan khususnya dan masyarakat tempatan di Malaysia khususnya.
Penulis merupakan pensyarah kanan di Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.