Diterbitkan pada 19 Ogos 2025, 18:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

“Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Itulah slogan yang sering digunakan oleh masyarakat yang cinta akan negara dan akan hadirkan dengan pelbagai usaha demi negara. Pengharapan pembangunan mampan negara ke arah kemajuan bukan sahaja diterjemahkan dari aspek kemegahan teknologi semata-mata malah dalam keupayaan dalam memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai identiti negara bangsa.

Malaysia adalah sebuah negara unik dan istimewa kerana mempunyai kelainan daripada negara-negara lain. Keindahan dalam keunikan ini tercitra menerusi keharmonian serta kemakmuran kehidupan penduduknya. Kewujudan budaya, kaum, bangsa yang pelbagai merupakan variasi yang mencerminkan perpaduan dalam segala aspek. Segala usaha yang tercipta demi memajukan negara tanpa mengira kaum, bangsa, budaya dan sebagainya menunjukkan kewibawaan serta kecintaan rakyat. Namun begitu, apalah guna kemajuan teknologi yang canggih tanpa pengukuhan jati diri terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Menurut Kamus Dewan Perdana, anak watan merujuk kepada anak negeri. Anak negeri pula diertikan sebagai penduduk asli sesuatu tempat, bumiputera dan dapat ditafsirkan sebagai orang yang berasal atau di­lahirkan di sesebuah negeri, atau peribumi di Sabah dan Sarawak mengikut konteks Perlembagaan Persekutuan . Setiap negeri di Malaysia mempunyai warisan dan khazanah turun temurun yang amat signifikan dalam mengekalkan adat, budaya dan tradisi.

Pembangunan negara yang semakin rancak ke arah kemajuan mencerminkan pemikiran dan kebolehan rakyat Malaysia dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang mampan dalam segala aspek. Tidak terkecuali dalam pelaksanaan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah menjelaskan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikaikan fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan.

Pengukuhan bahasa Melayu merupakan tanggungjawab setiap masyarakat di Malaysia. Tanggungjawab ini ialah amanah yang perlu dititikberatkan supaya rakyat Malaysia pada masa akan datang dapat menikmati kemanisan dalam berbahasa. Kini, penggunaan bahasa yang rencam menjadi cabaran utama dalam memartabatkan serta memperkukuh bahasa Melayu.

Tidak dinafikan bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua di Malaysia yang perlu diutamakan. Namun begitu, penggunaan bahasa Melayu tidak harus diketepikan. Hal ini dikatakan demikian kerana, identiti jati diri masyarakat di Malaysia itu terletak pada bahasa Melayu sebagai cerminan kerakyatan seseorang individu. Penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul harus dipraktikkan oleh masyarakat. Seharusnya, kita tidak patut ada perasaan malu kerana tidak fasih berbahasa Inggeris, tetapi kita harus malu kerana tidak mampu menggunakan bahasa Melayu dengan baik.

Menguasai bahasa Inggeris merupakan hal yang baik dan menjadi nilai tambah kepada seseorang, namun pengukuhan terhadap kefasihan bahasa Melayu juga harus ditingkatkan. Hal ini dikatakan demikian kerana, pemantapan dalam bahasa Melayu merupakan usaha yang panjang dan akan menjadi lambang kemajuan negara. Variasi bahasa yang terdapat dalam bahasa Melayu merupakan lambang jati diri rakyat itu sendiri.

Bebalik kepada slogan yang sering digunakan oleh masyarakat yang cinta akan negara di atas, jika bukan pemuda dan pemudi sebagai penyambung warisan, siapa lagi yang akan memelihara kemegahan bahasa Melayu itu di tanah air sendiri? Oleh itu, pemuda dan pemudi menjadi harapan kepada negara demi membangun tanah air tercinta ke arah kemajuan yang holistik selain memperkaya penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian. Keupayaan dalam memacu negara ke arah sebuah negara yang maju haruslah seiring dengan pengukuhan dalam memartabatkan bahasa Melayu di tanah air ini supaya tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi