Diterbitkan pada 4 September 2025, 18:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bahasa ialah busana bangsa, jambatan hati dan nadi peradaban. Melalui bahasa manusia menuturkan perasaan, membina ilmu, menegakkan undang-undang, bahkan menyampaikan dakwah. Dari detik pertama bayi menangis hingga khutbah terakhir seorang nabi, bahasa sentiasa hadir sebagai alat komunikasi manusia.

Namun, di sebalik keindahan dan kepelbagaian bahasa, terdapat rahsia saintifik yang jarang disedari. Bahasa yang berperanan sebagai pakaian fikiran ini lahir daripada jutaan neuron di dalam otak yang bekerja secara halus, membentuk bunyi, makna dan pemahaman. Daripada denyut elektrik kecil itulah lahir suara merdu ibu menidurkan anak, ucapan lantang pemimpin menggerakkan bangsa, dan doa munajat seorang hamba pada sepertiga malam.

Di sinilah letaknya mukjizat penciptaan manusia seperti yang termaktub dalam Surah al-Rahman ayat satu hingga empat yang bermaksud, “(Allah) Yang Maha Pemurah, yang telah mengajarkan al-Quran. Dia menciptakan manusia. Dia mengajarnya pandai berbicara.” Ayat ini bukan sekadar menyingkap hakikat komunikasi, tetapi juga menunjukkan bahawa keupayaan berbahasa merupakan anugerah istimewa yang mengangkat martabat manusia.

Persoalannya, bagaimanakah otak yang bersifat biologi ini mampu melahirkan bahasa yang bersifat abstrak, penuh makna dan bernilai rohani?

Broca dan Wernicke: Dua “Tukang” dalam Otak

Sejak abad ke-19, saintis meneliti otak manusia dan mendapati bahawa terdapat dua bahagian penting yang mengawal bahasa, iaitu

  • Kawasan Broca si tukang jahit ayat

Bahagian ini terletak di lobus frontal otak kiri. Tugasnya ibarat tukang jahit yang menyusun perkataan menjadi baju ayat. Tanpa Broca, kita mungkin tahu perkataan yang ingin disebut, tetapi lidah tidak mampu menjahitnya menjadi ayat lengkap.

Sebagai contoh, seorang pesakit strok di Hospital Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Pakcik Rahman masih mampu memahami kata-kata anaknya, tetapi setiap kali mahu menjawab, hanya perkataan tunggal terkeluar: “Air… makan… rumah…”. Fikirannya jernih, tetapi tukang jahit ayatnya lumpuh.

  • Kawasan Wernicke si tukang baca makna

Bahagian ini pula ibarat pembaca buku yang memahami makna perkataan yang didengar atau dibaca. Jika Wernicke rosak, seseorang boleh bercakap dengan lancar tetapi isinya kosong seumpama buku yang banyak huruf tetapi tiada cerita.

Sebagai contoh, seorang pesakit lain bernama Makcik Zainab berupaya berbual dengan lancar, namun ayatnya berbunyi pelik seperti “Bunga jalan makan kerusi ya ya ya.”  Bahasanya fasih, tetapi makna yang terhasil adalah sebaliknya.

  • Arcuate Fasciculus sebagai kabel Internet otak

Broca dan Wernicke dihubungkan oleh serabut saraf halus bernama arcuate fasciculus. Bayangkan saraf ini berfungsi sebagai kabel Internet. Jika kabel ini terputus, mesej di antara tukang jahit dengan pembaca makna tidak sampai. Seseorang mungkin faham akan maksud tersebut, tetapi gagal menyusun jawapan. Proses pertuturan dan pemahaman turut melibatkan lobus parietal (untuk mengaitkan makna dengan pengalaman), lobus oksipital (apabila membaca tulisan), dan lobus limbik (apabila bahasa disertakan dengan emosi). Dengan kata lain, bahasa ialah hasil kerjasama seluruh otak, bukan sekadar satu bahagian tertentu.

Gangguan Bahasa dan Peranan Terapi

Tidak semua orang bernasib baik memiliki otak yang berfungsi dengan sempurna. Terdapat individu yang mengalami gangguan bahasa akibat lumpuh, kecederaan kepala atau penyakit degeneratif seperti Alzheimer. Pesakit lumpuh misalnya, boleh mengalami kesukaran menyebut perkataan walaupun fikiran mereka jelas. Dalam keadaan ini, terapi pertuturan dan sokongan keluarga sangat penting.

Kajian menunjukkan bahawa otak manusia memiliki keupayaan neuroplastisiti, iaitu kebolehan untuk membentuk sambungan neuron baharu walaupun selepas kecederaan. Dengan latihan, doa dan sokongan, pesakit masih dapat memulihkan sebahagian besar kemampuan berbahasa. Terdapat kes di sebuah pusat rehabilitasi, seorang pesakit strok yang dikenali sebagai Encik Salleh hanya mampu menyebut “air” selepas serangan otak. Melalui terapi pertuturan, beliau berlatih berpantun yang akrab di hatinya.

Impaknya, perlahan-lahan neuron baharu terbina. Broca kembali berhubung, lidahnya kembali petah. Beliau menitiskan air mata kerana pantun yang sering dibaca kini menjadi ubat yang menghidupkan lidahnya. Oleh sebab itu, pesakit lumpuh disarankan agar kerap melafazkan perkataan seperti yang dinyatakan dalam Surah an-Nisa’ ayat 164 sambil memahami maksudnya, iaitu “Dan Allah SWT telah berkata-kata dengan Musa dengan sebenar-benar perkataan”.

Bahasa dan Komunikasi Seharian

Bahasa yang lahir daripada otak bukan sahaja berperanan dalam komunikasi ilmiah, tetapi juga dalam kehidupan harian. Mari kita lihat beberapa contoh:

  • Pelajar dengan Guru

Otak pelajar yang masih berkembang bergantung pada bahasa guru yang jelas, mudah (qaulan hayyinan), penuh hikmah (qaulan kariman) dan memberikan inspirasi. Hal ini bermaksud guru yang menjerit atau menggunakan kata-kata kasar boleh merangsang amigdala pelajar hingga mencetuskan stres serta menghalang pembelajaran.

Bayangkan seorang guru Matematik menegur muridnya seperti, “Bodoh betul kamu ini, kenapa tak faham lagi?” Kata-kata sebegini mencetuskan stres pada amigdala murid hingga akhirnya menutup pintu hati mereka untuk belajar. Sebaliknya, jika guru berkata, “Cuba lagi, kamu pasti boleh!” hormon dopamin akan terhasil yang seterusnya dapat menjadikan semangat murid berkobar-kobar.

  • Anak dengan Ibu bapa

Bahasa anak kepada ibu bapa merupakan ujian iman. Dari perspektif psikologi, bahasa lembut terhadap ibu bapa dapat menenangkan sistem saraf kedua-dua pihak dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.

  • Pemimpin dengan Rakyat

Seorang pemimpin yang menggunakan bahasa lunak, mudah difahami dan bersifat membimbing akan lebih dihormati. Sebaliknya, penggunaan bahasa kasar dan penuh dengan cercaan hanya mengundang jurang dan penolakan. Neurosains menunjukkan bahawa bahasa yang positif mampu merangsang hormon dopamin yang meningkatkan motivasi rakyat.

Kata-kata seperti “kita bersama mencari jalan” lebih membina daripada “kamu semua malas dan gagal.” Neurosains membuktikan bahawa bicara positif merangsang motivasi rakyat, sedangkan kata-kata kasar menimbulkan rasa terasing.

Bahasa, Ketamadunan dan Identiti

Bahasa bukan semata-mata urusan individu, tetapi juga menjadi teras ketamadunan. Sejarah Islam menunjukkan bahawa bahasa Arab menjadi wahana penyebaran ilmu pada Zaman Keemasan Islam. Buku falsafah, matematik, perubatan dan astronomi diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, lalu membentuk asas bagi kebangkitan tamadun Barat.

Pepatah Melayu menyatakan bahawa bahasa merupakan jiwa bangsa. Jika bahasa tersebut hilang, maka itu roh bangsa turut lenyap. Za’ba pernah mengingatkan bahawa bangsa yang mengabaikan bahasanya umpama pohon yang tercabut akar, lalu tumbang meskipun dahannya rimbun.

Kehilangan bahasa bererti kehilangan roh peradaban. Dari segi neurosains, otak manusia sebenarnya diprogram untuk mencintai bahasa ibunda sejak kecil. Bayi Melayu yang lahir akan lebih mudah mengenal intonasi bahasa Melayu melalui dodoian, syair dan gurindam manakala bayi Arab akan lebih responsif terhadap lenggok burdah qasidah dan zanji. Oleh itu, jelaslah bahawa bahasa ibunda merupakan alat komunikasi, sekali gus menjadi pembentuk emosi, pemikiran dan cara pandang dunia.

Bahasa sebagai Jalan Iman

Bahasa yang digerakkan oleh otak sebenarnya adalah amanah Allah SWT.  Setiap tutur bicara yang keluar daripada lidah adalah tanggungjawab. Peribahasa Melayu telah mengingatkan bahawa kerana pulut, santan binasa, kerana mulut badan binasa dan terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Al-Quran memberikan garis panduan khusus tentang cara manusia harus menggunakan tiga laras bahasa iaitu:

  1. Perkataan yang mulia (Qaulan Kariman)

Allah SWT memerintahkan anak-anak supaya bertutur dengan mulia kepada ibu bapa (Surah al-Isra’: 23). Ayat ini mengajar kita bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga cerminan akhlak.

  1. Perkataan yang Lembut (Qaulan Layyinan)

Allah SWT memerintahkan Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. supaya bercakap dengan lemah lembut kepada Firaun (Surah Taha: 44). Ucapan yang lembut mampu menenangkan emosi pihak yang dilawan bicara, bahkan mengurangkan aktiviti amigdala yang berkaitan rapat dengan kemarahan.

  1. Sebutan yang mudah (Qaulan Hayyinan)

Firman Allah SWT mengingatkan supaya menyebut dengan jelas, mudah difahami, tidak membebankan atau mengelirukan. Dari sudut saintifik, otak manusia lebih mudah memproses bahasa yang ringkas dan tersusun.

Panduan ini menunjukkan bahawa bahasa bukan sahaja hasil kerja otak, tetapi juga tuntutan iman. Oleh sebab itu, apabila kita bercakap dengan mulia, lembut dan mudah difahami kita sebenarnya sedang menghidupkan tuntutan iman melalui bahasa yang digerakkan oleh neuron di dalam otak.

Hakikatnya, bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi medan pertanggungjawaban di hadapan Allah SWT. Islam memandang bahasa sebagai amanah yang besar. Lidah yang dikawal oleh otak mampu menjadi jalan hidayah dan boleh juga menjadi punca fitnah. Pertuturan adalah pilihan yang lahir daripada kawalan diri dan akal selari dengan langgam neurosains yang menunjukkan peranan korteks prefrontal, iaitu bahagian otak yang mengawal sifat rasional dan pertimbangan moral sebelum seseorang menuturkan sesuatu bicara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi