Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMasyarakat Melayu tradisional dikenali sebagai bangsa yang tinggi nilai tatasusila dan kaya dengan budi pekerti yang tercermin dalam setiap aspek kehidupan, termasuklah dalam komunikasi seharian. Dalam budaya ini, teguran secara terus terang sering dianggap sebagai kurang sopan dan tidak beradab. Oleh itu, satu bentuk komunikasi halus yang dikenali sebagai bahasa sindiran berkembang sebagai mekanisme sosial yang membolehkan teguran disampaikan secara tidak langsung, tetapi berkesan.
Bahasa sindiran bukan sekadar alat komunikasi, tetapi suatu bentuk seni bahasa yang sarat dengan nilai estetika, kesantunan dan kearifan tempatan. Keindahan bahasa ini terletak pada keupayaannya untuk menyampaikan maksud tersirat dengan cara yang lembut, berlapik dan berhemah. Unsur sindiran banyak digunakan dalam bentuk padanan kolokasi yang bersesuaian, pemilihan kata yang tepat menurut konteks, serta penggunaan bahasa bukan lisan, seperti jelingan, dehem atau isyarat tubuh yang membawa makna tersirat.
Selain itu, faktor usia dan hierarki sosial berperanan penting dalam penyampaian teguran melalui sindiran. Golongan yang lebih tua lazimnya diberi keutamaan untuk membuat teguran, manakala generasi muda diajar untuk lebih menghormati dan menerima teguran secara santun. Hal ini menunjukkan bahawa bahasa sindiran bukan sekadar gaya bertutur, tetapi turut mencerminkan struktur sosial masyarakat dan nilai harmoni yang dipegang kukuh.
Melalui analisis terhadap elemen sindiran dalam bahasa Melayu lama, dapat diperhatikan bahawa warisan linguistik ini tidak sekadar memperindah wacana budaya, malah memperkukuh asas moral dan sosial masyarakat. Dalam konteks moden, kajian terhadap bahasa sindiran ini penting agar kearifan tempatan yang berasaskan budi bahasa dan hormat-menghormati dapat terus dipelihara dan diaplikasikan dalam komunikasi semasa.
Satu daripada keindahan bahasa sindiran ialah penggunaan padanan kolokasi yang kreatif dan tersirat. Kolokasi, seperti “besar kepala”, “naik tocang”, “panas baran” dan “batu api”, bukan sahaja mempunyai nilai semantik, malah sarat dengan konotasi sosial yang mendalam.
Seterusnya, ungkapan, seperti “Naik tocang budak tu bila diberi muka” digunakan untuk menyindir seseorang yang mengambil kesempatan apabila diberi kepercayaan. Walaupun tidak menyatakan secara langsung tentang sikap tidak tahu mengenang budi, kolokasi ini membawa makna tersirat yang difahami oleh masyarakat.
Sindiran juga sering muncul dalam konteks kehidupan seharian, seperti ketika makan bersama-sama, bergotong-royong atau dalam majlis keluarga. Masyarakat Melayu menggunakan bahasa kiasan dan tamsilan untuk membuat teguran tanpa menyinggung hati seseorang. Contoh klasik ialah sindiran terhadap seseorang yang gelojoh ketika makan, seperti “Lauk itu takut terbangkah, sehingga tidak sempat mengunyahnya?”. Walaupun bersifat jenaka, teguran ini sarat dengan makna yang mengajak pendengar untuk bermuhasabah tanpa rasa malu atau terhina.
Pemilihan kata dalam sindiran bukanlah sewenang-wenangnya. Kata yang digunakan biasanya dipilih berdasarkan konteks dan situasi agar mesej sampai dengan berkesannya. Misalnya, jika seseorang tidak membantu kerja kenduri, ada yang berkata, “Burung berkicau dari pagi, kita masih lena di peraduan”. Sindiran ini menggambarkan kelesuan atau kemalasan seseorang tanpa menyatakan nama atau mengecam orang berkenaan secara langsung.
Teguran melalui sindiran juga sering disokong oleh bahasa bukan lisan. Jelingan, dehem atau cubitan ringan sering menjadi pelengkap bagi sindiran yang dilontarkan. Contohnya, jika orang muda menyampuk ketika orang tua sedang berbicara, teguran tidak diberikan secara langsung, sebaliknya, jelingan mata atau bunyi “ehem” menjadi isyarat bahawa perbuatan itu tidak wajar. Isyarat yang bersifat konotatif ini membawa maksud “diam” atau “jangan menyampuk” tanpa perlu berkata apa-apa. Keberkesanan teguran ini terletak pada kefahaman budaya dan norma sosial yang sudah terakam dalam jiwa komuniti.
Hierarki sosial berasaskan usia berperanan penting dalam pemberian teguran. Dalam budaya Melayu lama, yang tua dianggap lebih arif dan berhak menegur yang muda. Sebaliknya, orang muda jarang-jarang menegur orang tua, tetapi jika perlu, teguran dilakukan secara amat berhati-hati dan berselindung. Contoh sindiran orang tua terhadap anak muda yang terlalu berani atau biadab ialah “Air tenang jangan disangka tiada buaya”. Sindiran ini mengingatkan bahawa diam itu bukan bererti lemah, manakala orang tua yang kelihatan tenang mungkin menyimpan kebijaksanaan dan kuasa yang tidak diduga.
Bahasa sindiran dalam masyarakat Melayu lama memperlihatkan suatu bentuk komunikasi yang bukan sahaja indah dan berseni, tetapi sarat dengan nilai murni, seperti penghormatan, kesantunan dan kearifan. Sindiran bukan semata-mata untuk menyindir, tetapi untuk mendidik, menyampaikan teguran dan membentuk peribadi dalam kerangka budaya yang penuh adab. Pada era moden yang makin terhakis nilai budayanya, warisan bahasa sindiran ini wajar diteliti semula sebagai sumber pengajaran dan teladan. Pemuliharaan budaya berbahasa yang indah ini bukan sahaja penting untuk estetika bahasa, tetapi juga untuk memelihara nilai luhur yang membentuk jati diri bangsa.