Diterbitkan pada 27 September 2025, 12:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Gandah – Bahasa peribumi merupakan warisan yang tidak ternilai, bukan sekadar medium komunikasi, tetapi juga “arkib hidup” yang menyimpan khazanah pengetahuan, kepercayaan dan identiti sesuatu komuniti.

Demikian menurut Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tuan Haji Mohd Salahuddin bin Dato’ Paduka Mohamed dalam Majlis Penutupan Program Pelestarian Bahasa Peribumi: Bahasa Orang Asli Che Wong yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 23 September 2025 hingga 26 September 2025 di Kampung Sungai Enggang, Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

Ujar beliau,

Bagi masyarakat Orang Asli Che Wong di Pahang, bahasa mereka merupakan teras bagi kelangsungan budaya, kearifan tempatan, serta kesinambungan jati diri yang diwarisi dari generasi ke generasi.

 

Tetamu jemputan bergambar bersama-sama fasilitator, para penyelidik, informan dan penduduk Kampung Sungai Enggang, Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

Beliau turut menegaskan bahawa generasi masa ini dilihat kurang pendedahan terhadap bahasa jati yang diwarisi daripada keluarga yang terdahulu. Kebanyakan daripada mereka lebih gemar bertutur dalam bahasa standard atau bahasa asing berbanding dengan bahasa jati keturunan mereka. Kesannya, bahasa jati atau bahasa sukuan tersebut tidak dapat dilestarikan dan diperluas kepada generasi seterusnya dan akhirnya mengalami kepupusan. Perkara seperti inilah yang membimbangkan penutur jati bagi sesuatu bahasa tersebut.

Program seperti ini dapat memberikan peluang kepada generasi muda untuk mengenali bahasa yang menjadi warisan turun-temurun seperti bahasa Orang Asli Che Wong apatah lagi program yang berbentuk bengkel dan kajian lapangan pada ini melibatkan penyertaan pelajar dari Universiti Monash, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Kolej Poli-Tech MARA.

Beliau turut menyatakan harapan agar input yang diperoleh daripada program ini dapat dimanfaatkan untuk rujukan generasi akan datang, di samping memberikan kesedaran dan penghayatan kepada rakyat Malaysia tentang pentingnya usaha pelestarian bahasa ibunda sebagai asas perpaduan kebangsaan, pembentukan jati diri dan  sebagai satu daripada asas pembangunan negara bangsa.

Yang turut hadir dalam Majlis Penutupan Program Pelestarian Bahasa Peribumi: Bahasa Orang Asli Che Wong ini termasuklah Encik Mohd Fadzli bin Tajuid, Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi DBP, Encik Muzamir bin Md Shukri, Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Temerloh, Yang Berusaha Dr. Sa’adiah binti Ma’alip sebagai fasilitator, Encik Geng bin Nyai, Tok Batin Orang Asli Che Wong, Encik Shah Rizal Azwan bin Ghazali, Ketua Bahagian Ensiklopedia DBP dan Encik Muhammad Ku Syahir bin Kusairi selaku wakil PERHILITAN Pahang.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi