Diterbitkan pada 7 Oktober 2025, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bulan September tahun 2025 mencatatkan sejarah baharu apabila Universiti Pengajian Asing Guangdong (GDUFS) dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) telah merasmikan Pusat Pengajian Melayu GDUFS–UM di Guangzhou, China. Kewujudan pusat ini bukan sekadar simbolik malah menjadi tanda kukuhnya hubungan akademik antara kedua-dua negara, iaitu antara negara Malaysia dan China serta menjadi bukti bahawa bahasa Melayu kini melangkah lebih jauh ke persada global.

Bahasa Melayu semakin mendapat tempat di pentas antarabangsa, bukan sahaja sebagai bahasa komunikasi serantau tetapi juga sebagai bahasa ilmu dan diplomasi. Perasmian Pusat Pengajian Melayu GDUFS–UM ini membawa makna yang jauh melangkaui sekadar penubuhan sebuah unit akademik di universiti. Penubuhan ini menandakan bahawa Pengajian Melayu kini diiktiraf sebagai ilmu yang perlu dipelajari, difahami dan dikaji pada peringkat antarabangsa.

Dalam konteks diplomasi, pusat ini menjadi jambatan budaya dan ilmu yang menghubungkan kedua-dua negara yang telah menjalinkan hubungan erat selama hampir lima dekad. Dari perspektif akademik, penubuhan pusat ini bertujuan untuk memperkasakan pengajian bahasa, sastera, budaya dan tamadun Melayu di negara Asia Timur dengan GDUFS sebagai hab. Melalui pusat ini juga, pelbagai bidang dapat diteroka termasuklah bidang linguistik, kesusasteraan, terjemahan dan kajian budaya. Hal ini sekali gus membuka peluang kepada penyelidikan rentas disiplin yang dapat memperkayakan lagi khazanah ilmu dalam konteks globalisasi.

Puan Huang Xiujuan, Ahli Jawatankuasa Tetap Parti dan Pengarah Jabatan Organisasi GDUFS menegaskan bahawa sokongan berterusan daripada pihak universiti terhadap usaha ini menandakan kesinambungan kerjasama strategik yang mampu memartabatkan Pengajian Melayu pada peringkat global.

Dekan Fakulti Pengajian Asia, Beijing Foreign Studies University (BFSU) Profesor Su Yingying menyatakan China merupakan sebuah negara yang amat penting dalam mengembangkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu varian Tanah Melayu serta mendorong pengantarabangsaan bahasa Melayu di persada dunia. Sejak jurusan Bahasa Melayu ditawarkan pada tahun 1962 di Beijing Foreign Studies University (BFSU), pendidikan bahasa dan budaya Melayu di China kian berkembang biarpun menghadapi pelbagai cabaran dalam tempoh lebih 60 tahun. Sehingga kini, sejumlah 17 buah institusi pengajian tinggi (IPT) di China menawarkan program pendidikan bahasa Melayu. Hal ini sekali gus memperlihatkan bahasa Melayu terus mendapat tempat di hati penutur jati bahasa China.

Majlis perasmian pusat dan persidangan ini turut diwarnai dengan elemen budaya Melayu yang mempesonakan buat para tetamu yang hadir. Persembahan silat dan tarian pedang otar-otar telah dipersembahkan oleh Dr. Johan Iskandar Abdul Karim dan Encik Muhammad Zahar Dad Abdul Rahim dari Akademi Seni Tradisional Warisan Melayu, Malaysia. Persembahan ini amat memukau dan menarik perhatian semua peserta yang hadir sama ada dari Malaysia mahupun dari China. Selain itu, tarian Inang turut dipersembahkan oleh mahasiswi GDUFS. Elemen budaya ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman peserta, malah menegaskan bahawa penguasaan bahasa mesti disertakan dengan pemahaman budaya dan nilai estetika yang terkandung di dalamnya.

Ucap tama yang disampaikan oleh  YBhg. Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan tajuk “Pengajian Melayu di Pentas Global: Dulu, Sekarang dan Masa Depan” menjadi pengisian bagi majlis perasmian tersebut diikuti ucap utama kedua yang disampaikan oleh YBhg. Profesor Dr. Tan Xiao, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Asia Tenggara (Institut Pengajian Asia Tenggara), GDUFS dari China dengan tajuk “Tradisi Kajian Melayu di GDUFS”.

Perasmian Pusat Pengajian Melayu GDUFS–UM ini turut diiringi dengan penganjuran Persidangan Pengajian Melayu Malaysia–China (PPMMC) 2025. Acara yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut yang bermula pada 24 hingga 26 September ini menghimpunkan hampir 40 peserta akademik dan sarjana dari Malaysia dan China yang menandakan lembaran baharu dalam perkembangan bahasa Melayu di tanah besar Asia Timur.

Persidangan yang julung-julung kali diadakan ini menyediakan platform penting bagi memperkukuh jaringan akademik dan kerjasama ilmiah antara Malaysia dengan China dan mengangkat tema “Globalisasi Pengajian Melayu: Cabaran dan Masa Depan”.

Persidangan dan perasmian pusat ini menyatukan tenaga akademik dari Malaysia termasuklah dari UM, UKM, Universiti Putra Malaysia (UPM), Munsyi Dewan (Bahasa), Epsom College, serta rakan dari China termasuk dari BFSU, Yunnan University (YNU), Guangxi Minzu University, Jinan University, Communication University of China (CUC), serta tuan rumah, GDUFS.

Kehadiran peserta dari pelbagai universiti yang menawarkan program bahasa Melayu menegaskan bahawa bahasa Melayu kini diterima sebagai bahasa akademik di China dan memberikan peluang kepada pertukaran ilmu yang berterusan. Persidangan ilmiah ini menjadi medan bagi para sarjana membentangkan kertas kerja mereka yang merangkumi bidang linguistik, sastera, budaya, terjemahan dan diplomasi pendidikan. Sesi ini turut membuka ruang dialog akademik yang konstruktif dan membolehkan penerokaan peluang penyelidikan bersama antara peserta Malaysia dan China.

Majlis penutupan pada 26 September 2025 disempurnakan dengan kehadiran YBhg. Tuan Muhammad Sallehuddin Mohd Dilif, Kaunselor (Pendidikan), Kedutaan Malaysia sebagai tanda sokongan bagi institusi pendidikan Malaysia terhadap usaha ini. Ucapan penutup turut disampaikan oleh YBhg. Profesor Dr. Indirawati Zahid dan YBhg. Profesor Dr. Tan Xiao sebagai pengerusi PPMMC 2025.

Penubuhan Pusat Pengajian Melayu GDUFS–UM dan Persidangan PPMMC 2025 ini membawa makna akademik dan diplomasi yang mendalam, menyediakan platform untuk penyelidikan bersama, penghasilan bahan akademik berkualiti, serta pertukaran pelajar dan pensyarah yang dapat memperkukuh kefahaman silang budaya.

Jika dahulu, bahasa Melayu hanya dianggap lingua franca di Nusantara, kini bahasa ini mampu melangkah lebih jauh sebagai bahasa akademik, diplomasi dan budaya. Kewujudan pusat pengajian ini bukan sekadar catatan sejarah, tetapi menjadi simbol kesinambungan Pengajian Melayu yang berdaya saing, relevan dan berimpak global. Melalui usaha ini, bahasa Melayu terus bertapak sebagai bahasa ilmu, medium diplomasi dan warisan budaya yang hidup serta dapat membuka lembaran baharu yang penuh harapan demi masa hadapan.

Penulis ialah Pensyarah Asing Bahasa Melayu di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Pengajian Asia Tenggara (Institut Pengajian Asia Tenggara), Guangdong University of Foreign Studies (GDUFS), Guangzhou, China.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi