Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bersempena dengan sambutan Program Dekad Bahasa Kebangsaan 2025 peringkat Jabatan, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah menganjurkan program Wacana Bahasa Warisan: Bahasa Jiwa Bangsa di aras 10, Menara PNM pada 8 Oktober 2025 yang lalu.
Program tersebut menampilkan dua panel penceramah, iaitu Encik Yahaya bin Abu Bakar, pesara kerajaan dan penyelidik sejarah serta Encik Teo Wei Sing, Pegawai Khas kepada Kebawah Duli Paduka Mulia (KDPM) Tengku Mahkota Pahang dan Munsyi Dewan (Bahasa dan Sastera).

Melalui perkongsian Encik Yahaya Abu Bakar yang bertajuk “Dictionarium Malaico-Latinum: Membongkar Sejarah Kamus Melayu–Latin Terawal,” hasil penyelidikan tersebut berkaitan dengan kamus Melayu–Latin terawal serta beliau turut berkongsi pengalaman menarik sepanjang menjalankan kajian di negara Latin dan Yunani seterusnya membuktikan bahawa bahasa Melayu juga gah di benua Eropah.

Sementara itu, Encik Teo Wei Sing, Munsyi Dewan (Bahasa dan Sastera) dalam perkongsian bertajuk, “Daripada Anak Cina Kampung Menjadi Munsyi Dewan” menceritakan perjalanan beliau sebagai Munsyi Dewan serta usaha berterusan dalam memperkukuh jati diri kebangsaan serta menyemarakkan semangat cinta akan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan jiwa bangsa.
Tambah beliau,
Bahasa Melayu bukan bahasa kampung kerana terbukti bahasa kita juga mendapat tempat di negara besar seperti China, contohnya Beijing Foreign Studies University (BFSU) yang menawarkan kursus bahasa Melayu yang pertama di negara itu.
Kalau negara besar pun memartabatkan bahasa Melayu, kenapakah kita warganegara Malaysia sendiri rasa malu untuk menggunakan bahasa Melayu?
Yang turut hadir dalam program tersebut termasuklah Ketua Pengarah PNM, Encik Edy Irwan bin Zulkafli; Timbalan Ketua Pengarah PNM, Puan Anisatul-Wahidah binti Abdul Wahid; wakil daripada DBP, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.