Diterbitkan pada 5 November 2025, 12:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tengku Nasyaruddin Effendy atau lebih dikenali sebagai “Tenas Effendy” dilahirkan pada 9 November 1936 dan meninggal dunia pada 28 Februari 2015. Tenas Effendy merupakan Tokoh Bahasa Melayu, Tokoh Kesusasteraan Melayu, Tokoh Budayawan Melayu dan Tokoh Kearifan Melayu Riau di Alam Melayu.

Selain itu, keunggulan Tenas Effendy terserlah menerusi penulisan artikel dalam persidangan, simposium, diskusi dan seminar di Malaysia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand, Selatan Filipina sehingga ke Madagaskar di Benua Afrika. Hasil keunggulan akal budi, pemikiran dan kearifan Tenas Effendy telah menjunjung tinggi martabat bahasa Melayu, kesusasteraan Melayu, kearifan Melayu dan kebudayaan Melayu di alam Melayu.

Penguasaan Tenas Effendy dalam bahasa Melayu, kesusasteraan Melayu tradisional, puisi Melayu tradisional, kearifan Melayu dan falsafah Melayu tradisional telah bermula sejak kecil. Ayah Tenas Effendy, iaitu Tengku Sayed Umar Muhammad merupakan Setiausaha Sultan Hasyim dari Kesultanan Pelalawan pada tahun 1725 Masihi hingga tahun 1946 Masihi dalam Kerajaan Pelalawan, Riau, Sumatera Selatan, Indonesia telah mencetuskan minat Tenas Effendy untuk menulis kajian tentang bahasa Melayu, kesusasteraan Melayu, kearifan Melayu, kebudayaan Melayu, pantun, pepatah petitih, ungkapan, syair dan gurindam. Tegasnya, Tenas Effendy membesar dalam lingkungan kebudayaan Melayu Riau yang kental dengan adat istiadat Melayu Riau.

Pelibatan Tenas Effendy buat julung kalinya dalam bidang penulisan bahasa Melayu, kesusasteraan Melayu, kearifan Melayu, kearifan tempatan, kebudayaan Melayu dan puisi Melayu tradisional dalam dunia Melayu Riau dan Alam Melayu telah bermula pada tahun 1952 ketika melanjutkan pengajian dalam bidang perguruan di Bengkalis, Sumatera Selatan, Indonesia.

Minatnya terhadap kebudayaan Melayu tidak terlepas dari keluarganya yang mencintai adat istiadat Melayu. Tegasnya, nenek Tenas Effendy merupakan pembaca syair terkenal Riau, selain memiliki kearifan dalam seni tenunan dan seni menekat pakaian tradisional Kerajaan Melayu Pelalawan, Riau.

Akal budi dan pemikiran Tenas Effendy dalam dunia bahasa Melayu dan puisi Melayu tradisional Riau dan alam Melayu telah bermula melalui keakraban Tenas Effendy dengan adat istiadat Melayu tradisional Riau dalam kehidupan sehari-harian. Selain itu, Tenas Effendy telah mencatat, mengumpul, menghimpunkan kajian-kajian dan melakukan penelitian terhadap kajian bahasa Melayu, puisi Melayu tradisional, puisi Melayu tradisional Riau, kearifan Melayu Riau, kearifan tempatan Riau, kebudayaan Melayu tradisional Riau dan kebudayaan Melayu tradisional di Alam Melayu. Secara keseluruhannya, penubuhan Tenas Effendy Foundation merupakan sebuah lembaga dana kepada pengkaji yang berminat melakukan kajian kebudayaan Melayu.

Sepanjang hayatnya, Tenas Effendy telah menulis 70 buah buku dan ratusan artikel yang dibentangkan dalam pelbagai seminar bahasa Melayu, kesusasteraan Melayu, kearifan Melayu dan kebudayaan Melayu di Belanda, Brunei Darussalam, Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand. Hasilnya, keunggulan Tenas Effendy dalam dunia bahasa Melayu, kesusasteraan Melayu, kearifan Melayu dan puisi Melayu tradisional Nusantara telah berjaya dilantik sebagai Penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia.

Akal Budi dan Pemikiran Tenas Effendy dalam Bahasa Melayu, Kearifan Melayu dan Puisi Melayu Tradisional

Pada dasarnya, konsep akal budi dan pemikiran Tenas Effendy dalam bahasa Melayu, kearifan Melayu dan puisi Melayu tradisional telah diperkenalkan dan diungkapkan oleh Tenas Effendy menerusiMutiara Bicara Tenas Effendy” dalam Seminar Dialog Selatan yang berlangsung di Johor Bahru pada 26 Januari 1992. Oleh itu, Tenas Effendy telah memperkenalkan konsep akal budi menerusi peranan dwifungsi konsep “budi” yang berkonsepkan menerima dan membalas budi. Secara keseluruhannya, konsep akal budi dan pemikiran Tenas Effendy dalam bahasa Melayu, kearifan Melayu, puisi Melayu tradisional dan akal budi Melayu memberikan anjakan paradigma dalam nilai budi bahasa sebagai nilai teras bangsa Melayu yang diamalkan sejak dahulu hingga kini.

Keindahan akal budi Melayu Tenas Effendy dalam kata pengantar buku berjudul Sastera dan Manusia Melayu Baru: Kekuatan dan Keindahan Budaya Melayu (1991), karya Profesor Madya Emeritus Dato Hadijah Rahmat sebagai pensyarah Kumpulan Akademik Bahasa dan Kebudayaan Asia, Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura diungkapkan dengan penuh keindahan dan kehalusan dalam pantun Melayu Riau, pantun Melayu tradisional dan pepatah petitih Melayu tradisional di alam Melayu. Selain itu, keindahan akal budi Melayu dalam karya puisi Melayu tradisional Tenas Effendy melambangkan keunggulan, penghayatan, keindahan bahasa Melayu dan akal budi bangsa Melayu.

Kekuatan citra “budi” dalam akal budi Melayu terkandung dalam pantun dan pepatah petitih yang dihasilkan dan dikumpulkan oleh Tenas Effendy melambangkan sendi dan tunjang falsafah bangsa Melayu dan falsafah masyarakat Melayu tradisional. Selain itu, kekuatan citra akal budi merupakan jati diri bangsa Melayu di alam Melayu dan dunia Melayu. Secara keseluruhannya, menurut penegasan Tenas Effendy, konsep akal budi menunjukkan orang Melayu mudah termakan budi untuk diperalatkan oleh penjajah dan kuasa anasir luar seperti dalam petikan yang berikut:

Tegas Tenas Effendy, generasi muda hari ini mesti memahami pengaruh budi dalam masyarakatnya. Generasi muda perlu mencapai kemajuan dan kejayaan, selain jangan mudah menerima budi, tetapi haruslah berusaha untuk menabur budi.

(Hadijah Rahmat, 1998: iii)

Akal budi dan pemikiran Tenas Effendy dalam “Tradisi Pantun Larang” telah mempersembahkan kesantunan bahasa dalam pergaulan seharian. Selain itu, kesantunan bahasa dalam “Tradisi Pantun Larang” merupakan aspek kesantunan berbahasa dalam pergaulan seharian. Secara keseluruhannya, “Tradisi Pantun Larang” memaparkan batas manusia dalam bergurau, berjenaka dan menyindir seperti yang diungkapkan dalam rangkap yang berikut:

                   Banyak tertawa banyak dukanya,

                   Banyak gelak banyak balaknya,

                   Banyak gurau banyak risau,

                   Pantang berseloroh di depan orang,

                  Pantang berguna tak menentu.                                                        

Pada dasarnya, konsep akal budi Melayu dalam “Tradisi Pantun Larang” yang telah dipersembahkan oleh Tenas Effendy menunjukkan bahawa orang Melayu dan bangsa Melayu perlu sentiasa berwaspada walau di mana-mana sahaja mereka berada. Keindahan gaya bahasa, konsep, lambang, simbolik dan maksud tersirat dalam akal budi Melayu dan pemikiran Tenas Effendy telah dipersembahkan menerusi ungkapan, pantun dan pepatah petitih Melayu tradisional Riau dalam sejarah Riau dan kesusasteraan Riau.

Keunggulan akal budi, pemikiran dan kearifan Tenas Effendy merupakan hasil kajian, ciptaan dan makna baharu tentang warisan tamadun Melayu, sejarah Melayu, kesusasteraan Melayu, kearifan Melayu dan kebudayaan Melayu. Selain itu, keunggulan akal budi, pemikiran dan kearifan Tenas Effendy terpancar dalam simbolik “Pantun Tudung Periuk.”

Lebih membanggakan, lagu Melayu tradisional berjudul Tudung Periuk telah dipersembahkan menerusi dendangan duet Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee bersama-sama dengan Biduanita Negara Allahyarhamah Puan Sri Saloma dalam filem Sumpah Orang Minyak (1958). Manakala, evolusi lagu Tudung Periuk terkini didendangkan oleh penyanyi Dayang Nurfaizah yang dilancarkan pada 15 Januari 2021 dalam album berjudul Belagu (2021). Keindahan ungkapan Melayu klasik terserlah dalam rangkap lagu Tudung Periuk seperti yang berikut:

               Tudung periuk pandai menari,

                         Mainan anak putera mahkota;

              Kain yang buruk berikan,

                            Untuk penghapus si air mata.

Secara keseluruhannya, kekuatan konsep akal budi dan pemikiran Melayu tradisional dalam simbolik pantun “Tradisi Pantun Larang” dan lagu Tudung Periuk menggambarkan emosi kesedihan, putus asa dan patah hati orang Melayu yang hanyut dalam lautan derita tiada bertepi dan larut dalam kekecewaan (Tenas Effendy, 1989).

Keunggulan akal budi dan pemikiran Tenas Effendy dalam bahasa Melayu, kearifan Melayu dan puisi Melayu Tradisional di Riau dan alam Melayu terserlah sebagai seorang ilmuwan, bahasawan, sasterawan, budayawan, tokoh kearifan Melayu, dan pemikir Melayu terulung Riau yang mengangkat keunggulan bahasa Melayu, selain memartabatkan kesusasteraan Melayu, akal budi Melayu, kearifan Melayu, puisi Melayu tradisional dan kebudayaan Melayu Riau di alam Melayu. Keunggulan akal budi dan pemikiran beliau dalam bahasa Melayu, kearifan Melayu dan puisi Melayu Tradisional di Alam Melayu terkenal sebagai pewaris kesinambungan lidah Melayu sejati seiring dengan ketokohannya dalam memartabatkan bahasa Melayu, kearifan Melayu dan puisi Melayu Tradisional. Malah, keunggulan ini juga menyerlahkan ketinggian akal budi sebagai cerminan kehidupan bangsa Melayu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi