Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPernyataan bahawa kekukuhan bahasa ibunda dapat memudahkan penguasaan bahasa kedua bukanlah suatu yang baharu. Pernyataan ini bermula dari suatu hipotesis dan kemudiannya disokong oleh pelbagai kajian linguistik dan pendidikan di seluruh dunia. Antara yang paling berpengaruh termasuklah Hipotesis Perkembangan Kesalingbergantungan (Developmental Interdependence Hypothesis) yang dikemukakan oleh James Cummins (1979) menerusi kertas kerjanya bertajuk “Linguistics Interdependence and the Educational Development of Bilingual Children”.
Cummins membangkitkan tentang satu persoalan penting, iaitu mengapakah terdapat sebilangan pelajar yang lemah dalam dua bahasa serentak, iaitu bahasa ibunda mereka sendiri dan bahasa kedua yang digunakan di sekolah–biasanya bahasa penjajah serta pada masa yang sama menunjukkan prestasi akademik yang rendah?
Beliau berhujah bahawa fenomena ini perlu diteliti dengan serius melalui lensa bahasa. Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi asas bagi pembentukan kognitif dan pembelajaran. Apabila seorang kanak-kanak menggunakan bahasa ibunda di rumah, kemudian memasuki alam persekolahan dan mempelajari setiap subjek dalam bahasa asing, keadaan ini bukan sahaja menyukarkan penguasaan mata pelajaran, malah melemahkan penguasaan kedua-dua bahasa tersebut.
Fenomena lemah dalam kedua-dua bahasa ini dinamakan sebagai semilingualisme, iaitu keadaan apabila seseorang pelajar gagal menguasai bahasa ibunda dengan baik dan pada masa yang sama tidak cekap dalam bahasa asing. Fenomena semilingualisme bukanlah sesuatu yang baharu, malah dapat dilihat dengan jelas dipraktikkan di beberapa buah negara Afrika seperti Tanzania dan Kenya yang menggunakan bahasa penjajah sebagai bahasa pengantar pendidikan.
Kajian oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nations Educational Scientific and Cultural Organisation (UNESCO), iaitu Global Monitoring Report (2016) mendapati bahawa hampir separuh populasi dunia tidak menerima pendidikan dalam bahasa ibunda mereka. Keadaan ini dikenal pasti sebagai antara faktor utama kegagalan pembangunan manusia, khususnya di benua Afrika.
Sebaliknya, apabila bahasa ibunda digunakan sebagai bahasa pengantar pendidikan, pencapaian akademik pelajar menunjukkan peningkatan yang ketara, contohnya di Filipina. Bahasa ibunda dalam pendidikan awal membantu pelajar membina asas akademik dan linguistik yang lebih kukuh.
Yang menariknya dalam konteks penguasaan bahasa kedua, negara yang mengutamakan bahasa sendiri didapati lebih fasih dalam bahasa kedua berbanding dengan negara kita Malaysia yang mengamalkan program dwibahasa. Statistik kefasihan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di seluruh negara – EF English Proficiency Index (EF EPI) – menunjukkan bahawa Malaysia tidak tersenarai dalam kelompok teratas, sebaliknya negara yang mengutamakan bahasa ibundanya seperti Belanda, Sweden, Norway dan Finland berada pada kedudukan yang jauh lebih baik.
Sweden dan Finland menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing sebagai bahasa pengantar pendidikan, manakala bahasa Inggeris diajar secara terancang. Perkara seumpama inilah yang menjadi kekuatan sebenar model mereka. Mereka tidak meminggirkan bahasa sendiri semata-mata untuk bersaing di pentas antarabangsa, sebaliknya mereka memandaikan bangsa dengan bahasa sendiri, sebelum bahasa Inggeris diperkenalkan sebagai pelengkap.
Keberkesanan pendekatan ini dibahaskan dengan terperinci oleh James Cummins dalam bukunya Language, Power and Pedagogy: Bilingual Children in the Crossfire (2000). Model pendidikan Sweden dan Finland ini wajar dijadikan bukti hidup bahawa pendidikan dalam bahasa ibunda dapat memudahkan penguasaan bahasa kedua, di samping meningkatkan kefahaman pelajar terhadap mata pelajaran lain seperti sains dan matematik.
Golongan yang ingin mengutamakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pendidikan perlulah mengambil pengajaran daripada pelaksanaan sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sekitar tahun 2009. Dasar tersebut dilihat tidak berjaya meningkatkan prestasi Malaysia dalam penilaian antarabangsa seperti Programme for International Student Assessment (PISA). Sebaliknya, selepas PPSMI dimansuhkan, peningkatan dalam keputusan PISA agak memberangsangkan.
Oleh itu, usaha mengangkat bahasa Inggeris sebagai satu-satunya bahasa pengantar pendidikan bukanlah langkah yang bijak kerana langkah tersebut secara langsung meminggirkan keperluan sebahagian besar rakyat Malaysia. Sudah semestinya golongan elit lebih cenderung menyokong penggunaan bahasa Inggeris, namun pembangunan negara tidak boleh bertumpu pada kehendak satu golongan semata-mata. Kita perlu melihat dengan gambaran yang lebih luas.
Tulisan ini tidaklah menafikan kepentingan bahasa Inggeris, tetapi mengajak pembaca agar meneliti model Finland dan Sweden yang mengutamakan bahasa kebangsaan negara mereka terlebih dahulu bagi membentuk sistem kognitif yang mantap, kemudian barulah mereka memperkenalkan pengajaran bahasa Inggeris secara sistematik. Melalui penguasaan bahasa ibunda yang mantap, pelajar lebih mudah untuk menguasai bahasa kedua kerana pembelajaran bahasa kedua ini akan menjadi input yang lebih komprehensif seperti yang ditegaskan oleh Stephen Krashen melalui konsep comprehensible input. Jika bahasa pertama sendiri belum dikuasai dengan baik, apakah asas yang boleh digunakan untuk menguasai bahasa kedua?
Tanpa asas yang kukuh, pelajar berisiko terperangkap dalam lingkaran semilingualisme, bahasa pertama lemah, bahasa kedua yang dikatakan “global” pun tidak dapat dikuasai dengan baik. Oleh itu, penulis amat menggalakkan agar pembelajaran dijalankan dalam bahasa ibunda terlebih dahulu, kemudian barulah diperkenalkan bahasa global secara sistematik.
Muhammad Sadiq Mohd Salihoddin ialah pensyarah Bahasa Melayu di Universiti Minzu Guangxi, China.