Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBahasa Melayu merupakan bahasa yang mempunyai martabat yang tinggi di negara ini. Hal ini kerana bahasa ini berfungsi sebagai medium utama untuk memperoleh, menyampaikan, dan mengembangkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang termasuklah sains, teknologi, matematik dan perubatan. Pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu disusun secara sistematik dan berterusan agar bahasa ini berperanan sebagai medium penyampaian ilmu sehingga ke peringkat global. Oleh sebab itu, sebagai anak pertiwi kita perlu memainkan peranan yang penting demi memelihara dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Satu daripada ikhtiar anak pertiwi adalah dengan mempergiat penggunaan bahasa Melayu di institusi pendidikan seawal prasekolah hingga ke menara gading. Institusi pendidikan khususnya universiti, hendaklah menggalakkan penggunaan bahasa Melayu sebagai medium penyampaian ilmu. Hal ini bermaksud kursus dalam bidang seperti perubatan, teknologi, dan matematik juga perlu menggunakan bahasa Melayu semasa sesi pengajaran dan pembelajaran agar selaras dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Melalui kenyataan media Kementerian Pendidikan Tinggi, kerajaan telah melaksanakan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) bagi tempoh 2023 hingga 2030 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Jelaslah bahawa usaha mempergiatkan penggunaan bahasa Melayu di institusi pendidikan merupakan langkah penting demi melahirkan masyarakat yang berkemahiran tinggi dalam bahasa Melayu.
Selain itu, usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai sumber maklumat setaraf dengan bahasa asing turut menjadi ikhtiar anak pertiwi bagi meningkatkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Usaha ini melibatkan penerapan bahasa Melayu dalam komunikasi ilmiah dan profesional seperti laporan penyelidikan dan persidangan di arena antarabangsa. Menurut Zaitun Azma Zainon Hamzah dalam artikelnya yang berjudul “Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN: Antara Realiti dengan Hambatan” menyatakan bahawa akal fikiran rakyat yang bebas daripada belenggu bahasa Inggeris dapat memperkembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa moden bagi kerangka negara yang progresif. Oleh itu, kita tidak seharusnya berasa malu untuk berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan walau di mana-mana kita berada untuk menarik minat masyarakat antarabangsa mempelajari bahasa Melayu.
Pada waktu yang sama, usaha memperbanyak penerbitan ilmiah dalam bahasa Melayu mampu memperkukuh kedudukan bahasa kebangsaan ini sebagai sarana ilmu. Usaha ini melibatkan penterjemahan karya bahasa asing ke dalam bahasa Melayu, khususnya dalam bidang perubatan, teknologi dan sains. Selain itu, penghasilan karya ilmiah dalam bahasa Melayu seperti jurnal dan artikel dalam bidang teknikal dan saintifik perlu dipergiat bagi mengembangkan penggunaan istilah bahasa Melayu dalam bidang yang sering didominasi oleh bahasa asing. Profesor Adjung Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz, Universiti Malaya, iaitu Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakariah Abdul Rashid, menerusi laporan BERNAMA yang bertajuk “Penerbitan Ilmiah Mampu Tingkatan Bahasa Melayu”, menyatakan bahawa bahasa Melayu boleh diangkat sebagai bahasa ilmiah yang setaraf dengan bahasa asing melalui usaha industri penerbitan buku negara. Jelaslah bahawa penerbitan ilmiah berperanan besar dalam memperluas penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Ikhtiar seterusnya adalah dengan membina jaringan kerjasama antara institusi tempatan dengan antarabangsa bagi mempromosikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Sebagai contoh, pertukaran penyelidikan dan penyertaan dalam persidangan antarabangsa yang memberikan ruang kepada penyampaian ilmu dalam bahasa Melayu pada peringkat global. Penganjuran persidangan akademik di Malaysia yang mengutamakan pembentangan dan penerbitan dalam bahasa Melayu dapat membuktikan keupayaan bahasa ini bagi menyampaikan idea yang kompleks secara ilmiah. Asyraf Haji Ab Rahman, Mazlina Ahmad, Mariati Mat Salleh @ Md Nor dan H. Gunawan Adnan dalam artikel bertajuk “Cabaran dan Sumbangan Penterjemahan dalam Memperkasakan Bahasa Melayu pada Peringkat Antarabangsa”, menyatakan bahawa institusi pengajian tinggi (IPT) perlu membangunkan kepakaran dalam pelbagai bidang termasuklah sains dan teknologi melalui wahana bahasa Melayu sebagai rujukan kepada institusi lain. Oleh itu, kerjasama antara institusi dalam dan luar negara merupakan inisiatif penting untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai wadah penyampaian ilmu.
Akhir sekali, penggunaan bahasa Melayu dalam media sosial juga merupakan satu daripada ikhtiar anak pertiwi untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai medium penyampaian ilmu. Bahasa Melayu boleh digunakan untuk menghasilkan penulisan dan video yang menarik dan bermanfaat melalui aplikasi media sosial seperti Facebook, X, TikTok dan Instagram. Buktinya, kandungan video masakan oleh pempengaruh terkenal seperti Khairul Aming telah menembusi pasaran antarabangsa. Hal ini membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu berfungsi sebagai medium komunikasi global yang bermanfaat dan berpengaruh, sekali gus menampilkan bahasa dan budaya Malaysia secara positif kepada masyarakat antarabangsa. Sekiranya kandungan sedemikian dapat menarik minat warga maya, sudah tentu bahasa Melayu akan lebih difahami oleh khalayak antarabangsa dan seterusnya membolehkan bahasa ibunda kita dikenali sebagai bahasa yang sering menyampaikan pengetahuan. Natijahnya, media sosial dapat membantu memperkenalkan lagi bahasa kebangsaan sebagai sarana penyampaian ilmu.
Intihanya, bahasa kebangsaan perlu dipelihara melalui ikhtiar kita sendiri. Sebagai anak pertiwi yang bertanggungjawab, kita hendaklah berusaha memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam semua bidang, khususnya pendidikan dan penyelidikan. Kita perlu menanamkan rasa bangga terhadap bahasa ibunda dan menjadikannya bahasa utama untuk penyebaran ilmu pengetahuan. Genggam bara api biar sampai jadi arang. Begitulah juga usaha kita demi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Walaupun cabarannya besar, kita harus bertekad untuk mempertahankan dan memperkasakannya demi Malaysia yang tercinta ini.