Diterbitkan pada 19 Disember 2025, 10:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya − Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menjadi peneraju utama projek Wahana Rintis Semantik Ayat Nasional (WaRiSAN) Melayu menjalinkan kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memperkukuh usaha pemerkasaan kecerdasan buatan (AI) bahasa Melayu.

Majlis Prapelancaran Projek WaRiSAN Melayu yang diadakan di Hotel Le Meridien, Putrajaya pada hari semalam telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), YBhg. Datuk Profesor Azlinda binti Azman.

Dalam majlis yang sama, UKM dan DBP turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari dan Naib Canselor UKM, YBhg. Prof. Dr. Sufian bin Jusoh sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang bahasa dan sastera termasuk teknologi bahasa.

Dalam ucapan alu-aluannya, YBhg. Prof. Dr. Sufian bin Jusoh menyatakan bahawa Projek WaRiSAN Melayu merupakan satu inisiatif strategik yang mencerminkan komitmen UKM sebagai universiti watan bagi menerajui pembangunan ilmu, penyelidikan dan inovasi berteraskan bahasa kebangsaan. Projek ini dirangka bagi membangunkan wahana rintis semantik ayat bahasa Melayu yang berautoriti, sistematik dan berskala nasional, selari dengan keperluan semasa dalam bidang AI, analitik data bahasa dan pemprosesan bahasa semula jadi.

Menurut beliau,

Usaha ini bukan sahaja menyumbang terhadap pengayaan khazanah linguistik bahasa Melayu, malah membuka ruang penerokaan baharu dalam bidang teknologi bahasa, pendidikan digital dan penyelidikan rentas disiplin yang melibatkan lima domain utama penyelidikan, iaitu sains dan teknologi, bahasa, perubatan, pendidikan dan undang-undang.

Tambah beliau lagi, penandatangan MoU ini juga menandakan satu lagi langkah penting bagi memperkukuh kerjasama strategik antara dua institusi yang berkongsi aspirasi yang sama, iaitu memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa penyelidikan dan bahasa masa hadapan.

UKM amat menghargai peranan DBP sebagai institusi bahasa negara yang berwibawa. Kami yakin bahawa kolaborasi ini akan memperkukuh penyelidikan, penerbitan, pengembangan korpus bahasa Melayu serta pemindahan kepakaran antara kedua-dua pihak. UKM sentiasa komited untuk menjadi peneraju dalam penerokaan ilmu yang memberikan impak terhadap masyarakat dan negara.

Saya berharap agar Projek WaRiSAN Melayu ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif kolaboratif melibatkan pelbagai pemegang taruh termasuklah institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan dan sektor industri.

Tegas Naib Canselor UKM lagi, sesungguhnya bahasa Melayu merupakan teras jati diri dan peradaban bangsa. Usaha untuk memelihara, memperkaya dan memodenkan bahasa Melayu melalui pendekatan ilmiah dan teknologi menjadi tanggungjawab bersama yang perlu digalas secara berterusan.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Ahli Dewan Negara, YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin bin Dato’ Paduka Mohamed; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun binti Mustafa; Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, YBrs. Encik Mohd Fadzli bin Tajuid; serta Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, YBrs. Encik Abdul Ghani bin Abu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi