Diterbitkan pada 14 Januari 2026, 09:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tindakan tegas dikenakan terhadap segelintir pemilik premis perniagaan yang masih tegar mengabaikan penggunaan bahasa kebangsaan pada papan premis perniagaan mereka.

Isu yang kembali tular di media sosial baru-baru ini jelas menunjukkan masih terdapat pihak yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan serta mencabar kedaulatan bahasa rasmi negara demi kepentingan perniagaan.

Dalam kenyataan medianya, DBP menegaskan bahawa tindakan mengetepikan penggunaan bahasa kebangsaan merupakan satu pelanggaran yang jelas terhadap Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta tunjang jati diri negara.

DBP turut mengingatkan semua pengusaha perniagaan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan dan papan premis perniagaan bukan suatu pilihan, sebaliknya satu kewajipan yang mesti dipatuhi oleh semua pengusaha perniagaan. Berdasarkan Undang-undang Kecil Iklan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), bahasa kebangsaan hendaklah dipaparkan secara jelas dengan saiz tulisan yang lebih besar dan diletakkan pada kedudukan yang lebih utama berbanding dengan bahasa lain.

DBP menegaskan,

Masih terdapat pemilik premis yang memberikan keutamaan kepada bahasa asing sehingga membelakangkan jati diri kebangsaan. Sikap yang tidak bertanggungjawab seperti ini tidak dapat diterima sama sekali atas alasan kepentingan perniagaan semata-mata.

Kegagalan berulang bagi mematuhi peraturan ini menunjukkan bahawa pendekatan nasihat dan bimbingan yang diberikan selama ini telah dipandang remeh oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sehubungan dengan itu, DBP mendesak semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar mengambil tindakan penguatkuasaan yang paling tegas dan menyeluruh dengan kadar segera tanpa memberikan ruang rundingan atau tempoh nasihat kepada pemilik premis yang terbukti melanggar syarat lesen iklan.

DBP juga memohon kerjasama orang ramai agar terus melaporkan sebarang isu pelanggaran penggunaan bahasa di kawasan awam bagi membolehkan tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa. Dalam kenyataannya lagi, DBP melalui inisiatif DBP Sah Bahasa turut menyatakan kesediaan untuk memastikan penggunaan bahasa pada iklan mematuhi standard bahasa yang betul tanpa menjejaskan kreativiti perniagaan.

DBP menegaskan bahawa tugas memartabatkan bahasa kebangsaan merupakan tanggungjawab semua pihak sebagai tanda hormat terhadap kedaulatan undang-undang dan maruah negara yang merdeka. 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi