Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjunjung kasih atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, semalam.
Menurut kenyataan media DBP, KDYMM Seri Baginda YDPA, Sultan Ibrahim menitahkan bahawa sebarang cadangan untuk mengiktiraf sistem pendidikan lain hendaklah menerima bahasa Melayu sebagai bahasa utama serta sejarah Malaysia. Titah ini menegaskan komitmen negara dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
DBP menjelaskan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) yang memperuntukkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan, institusi pendidikan kerajaan, bantuan kerajaan, dan institusi pendidikan swasta, tertakluk kepada peruntukan Akta Pendidikan 1996.
DBP menegaskan,
Akta ini menjadi asas kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menekankan pembinaan jati diri dan identiti nasional melalui bahasa kebangsaan serta memperkukuh bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan.
Menurutnya lagi, Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) bertarikh 29 Oktober 2025 telah mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya dalam semua urusan, program, aktiviti dan projek kerajaan supaya bahasa Melayu kekal utama, bermutu dan dihormati dalam pentadbiran awam dah hal ehwal yang berkaitan dengan urusan kerajaan.
Sehubungan dengan itu, DBP akan terus memainkan peranan proaktif melalui pemantauan, penilaian, dan khidmat nasihat bagi memastikan pematuhan penuh terhadap titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, selaras usaha menjamin bahasa Melayu kekal sebagai bahasa kebangsaan yang menyatukan rakyat Malaysia.