Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada suatu ketika dahulu, isu kesihatan mental dianggap sebagai tabu dan hanya dibincangkan dalam ruang lingkup klinikal. Kini, isu ini mempunyai saluran baharu apabila terdapat komuniti digital berbahasa Melayu yang lebih terbuka dan bebas menyuarakan rasa empati. Komuniti ini banyak menggunakan platform media sosial, blog dan kumpulan sokongan dalam talian untuk membicarakan isu psikologi yang kompleks.
Penggunaan bahasa Melayu dalam komuniti digital ini menunjukkan keupayaannya sebagai agen penyembuhan atau pemulihan. Dalam hal ini, bahasa Melayu sudah mempunyai struktur, nada dan sifat untuk beradaptasi, berempati dan memberikan penyelesaian terhadap kesulitan emosi yang dihadapi oleh masyarakat.
Dalam komunikasi digital kesihatan mental berbahasa Melayu, dialek tempatan, slanga tempatan dan peribahasa Melayu digunakan untuk menggambarkan maksud yang berkaitan dengan kesihatan mental. Sebagai contoh, dalam dialek Melayu Johor dan dialek Melayu Selangor, istilah “serabut” bermaksud rasa tertekan, fikiran berserabut, atau fikiran yang banyak masalah. Istilah ini berkaitan dengan tekanan atau keresahan.
Lebih penting lagi, peribahasa dan metafora Melayu lama sering digunakan untuk memberikan nasihat atau merumuskan masalah. Penggunaan peribahasa Melayu lebih berkesan dalam konteks terapi dan perbincangan emosi berbanding dengan terminologi klinikal Barat.
Cara ini membolehkan seseorang itu memahami situasi orang lain melalui kanta budaya sendiri, seterusnya menjadikan proses penerimaan dan penyelesaian masalah lebih peribadi dan berakar umbi. Oleh itu, jelaslah bahawa peribahasa Melayu yang kaya dengan warisan ini berfungsi sebagai pengubat jiwa yang mampu menghubungkan masalah seseorang dengan akar budayanya.
Terdapat beberapa istilah yang menggambarkan masalah mental. Contohnya, istilah “psikosis” dan “neurosis” yang menjadi asas klasifikasi gangguan mental mula digunakan dalam perubatan Barat sejak abad ke-18 dan abad ke-19. Banyak istilah klinikal dicipta, terutamanya yang melibatkan bidang psikiatri dan psikologi di Eropah dan di Amerika Utara. Seiring dengan itu, berlaku peningkatan perbincangan tentang kesihatan mental yang memaksa peluasan kosa kata emosi dalam bahasa Melayu.
Kini, pengguna mencari maklumat menggunakan hujung jari dalam tempoh yang singkat. Pengguna menggunakan pelbagai istilah yang lebih khusus dan berani untuk menggambarkan keadaan atau emosi negatif yang kompleks. Dalam hal ini, terdapat istilah “megalomania” untuk menggambarkan maksud sejenis penyakit mental yang menyebabkan seseorang itu berkhayal dan menganggap dirinya penting, kaya dan berkuasa.
Selain itu, istilah “narsisisme” merujuk perihal atau keadaan terlalu memuja atau mengagumi diri sendiri. Istilah “jelas angkuh” (mansplaining) pula merujuk penerangan oleh lelaki kepada wanita dengan cara yang dianggap merendah-rendahkannya.
Keberkesanan penggunaan istilah bahasa Melayu yang diterjemahkan atau diserap untuk membincangkan kesihatan mental dapat membantu membina literasi mental masyarakat secara langsung. Istilah baharu ini berupaya untuk memberikan gambaran yang jelas terhadap pengalaman emosi yang kompleks berbanding dengan merujuknya sebagai sedih atau tertekan semata-mata. Istilah yang lebih tepat membolehkan seseorang itu membezakan dan mengenal pasti masalahnya dengan lebih berkesan, seterusnya memudahkannya untuk mendapatkan bantuan.
Peranan pihak berautoriti kini penting untuk mengabsahkan dan memiawaikan terjemahan atau adaptasi terhadap istilah ini. Kini, banyak hebahan dalam media sosial yang berkaitan dengan istilah ini untuk memastikan pemahaman yang menyeluruh dan mengurangkan stigma terhadap pengalaman emosi yang kompleks. Namun begitu, usaha ini juga memerlukan kesedaran dan keberanian masyarakat dari segi penggunaan istilah baharu ini secara terbuka. Hal ini menjadi penanda kematangan dalam pengurusan kesihatan mental yang kolektif.
Selain itu, satu daripada ciri yang menyebabkan bahasa komuniti digital ini unik dan berjaya ialah kemampuannya untuk menggunakan nada dan gaya komunikasi yang mudah difahami. Pembaca atau penonton lebih tertarik pada nada dan gaya yang santun, lembut dan akrab kerana mewujudkan rasa empati, rasa memahami dan rasa mengambil berat terhadap perasaan atau situasi orang lain. Cara ini menghidupkan komuniti sokongan tidak rasmi (bukan klinikal) yang tidak menghakimi mana-mana pihak.
Sebagai contoh, penggunaan panggilan hormat dalam situasi tidak rasmi yang melangkaui hubungan darah. Panggilan “Tuan/Puan/Encik/Cik” pula digunakan untuk menghormati kredibiliti atau profesionalisme seseorang dan mengekalkan rasa hormat terhadap ilmu dan kepakaran individu tertentu, seperti ahli psikologi, kaunselor atau doktor.
Penggunaan panggilan hormat dengan penuh rasa hormat dan tanggungjawab ketika memberikan nasihat akan menghasilkan struktur yang menyerupai sistem sokongan keluarga besar. Sokongan ini lebih indah apabila disampaikan dengan nada santun sehingga menjadikan perbincangan kurang berbentuk penghakiman. Hal ini membuktikan bahawa kekuatan bahasa Melayu terletak pada sifatnya yang mementingkan adab dan hubungan interpersonal kerana mesej sensitif disampaikan secara berlapik dan penuh empati. Secara tidak langsung, keadaan ini menjadikan pendengar berasa diterima dan dibimbing.
Secara keseluruhan, perkembangan pesat komuniti kesihatan mental digital berbahasa Melayu membuktikan bahawa struktur dan sifat bahasa Melayu yang sopan dan santun ini bergerak seiring dengan perbincangan isu kesihatan mental dan berbentuk penghakiman, terutamanya yang melibatkan jaringan keselamatan emosi. Keupayaan bahasa ini berjaya mengikis lapisan stigma yang telah lama wujud kerana pengintegrasian dialek, peribahasa dan panggilan hormat membantu masyarakat untuk berhadapan dengan isu kritikal secara terbuka.
Oleh itu, tidak dapat disangkal bahawa bahasa bukan sekadar berperanan sebagai identiti bangsa, malah berperanan secara meluas ketika membincangkan isu kesejahteraan mental. Kuasa bahasa ini seharusnya dikaji dan dibincangkan secara mendalam oleh institusi bahasa dan ahli profesional supaya istilah baharu yang relevan diiktiraf dan kualiti komunikasi dalam kumpulan sokongan ini dipelihara. Hal ini menjadi bukti bahawa bahasa Melayu kekal relevan, dinamik dan berfungsi sebagai jiwa yang menyokong bangsa secara holistik pada era digital yang mencabar ini.