Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTitah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim semasa menyempurnakan perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-15 menjadi isyarat jelas dan tegas agar sistem pendidikan kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa utama tidak digugat dan diremehkan oleh mana-mana pihak.
Sejak Penyata Pendidikan Razak 1956, telah ditetapkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa utama sistem pendidikan negara untuk tujuan perpaduan kebangsaan. Selanjutnya, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama ilmu diberikan penegasan oleh kerajaan.
Ketetapan itu dimaktubkan dalam bentuk undang-undang, iaitu Akta Pendidikan 1961 dan kemudian Akta Pendidikan 1996. Bahasa lain ada ruang yang diberikan oleh undang-undang negara, tetapi tidak boleh mengatasi kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa utama.
Asas lain yang perlu difahami ialah ketetapan dalam Penyata Pendidikan Razak 1956 tentang penyelarasan empat perkara penting bagi pendidikan negara. Ketetapan itu meliputi kurikulum, bahan pengajaran dan pemelajaran, latihan guru dan peperiksaan. Dalam isu yang melibatkan Sijil Peperiksaan Bersekutu (UEC), keempat-empat perkara itu ternyata di luar ketetapan sistem pendidikan kebangsaan, selain tidak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Kurikulumnya secara jelas tidak berteraskan ciri-ciri kenegaraan Malaysia. Malah, bahan pengajaran dan pemelajaran bukan disusun berdasarkan sukatan pelajaran kebangsaan. Latihan gurunya pula tidak dikendalikan oleh badan berwibawa seperti Institut Pendidikan Guru (IPG) dan universiti yang diiktiraf oleh kerajaan. Akhirnya, peperiksaan ini tidak dikendalikan oleh badan berwewenang negara, iaitu Lembaga Peperiksaan dan Majlis Peperiksaan Malaysia.
——————————————————–
Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Ahli Dewan Negara, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM dan Pengerusi Majlis Bahasa Negara