Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerkataan “kegilaan” merupakan kata nama yang lazimnya dikaitkan dengan keadaan penyakit mental individu. Sebagai contoh, “Kegilaan watak itu adalah pusat plot.” “Kegilaan” juga menggambarkan keadaan kebodohan atau kelalaian yang melampau. Sebagai contoh, “Adalah satu kegilaan untuk memandu dalam ribut itu.” Pada masa yang sama, hal ini boleh membayangkan keadaan kemarahan atau keterujaan yang amat sangat. Sebagai contoh, “Kegilaan orang ramai dapat dirasai.” Dalam situasi lain, kegilaan boleh merakamkan keterujaan yang mendalam. Misalnya, “Kegilaan orang ramai di konsert itu”.
Perbandingan utama antara perkataan gila dengan kegilaan boleh dilihat menerusi jadual di bawah:
| Ciri | Gila | Kegilaan |
| Bahagian Ucapan | Kata Adjektif (Sifat) | Kata Nama |
| Fungsi | Menerangkan manusia, benda atau perihal sesuatu | Menyatakan kualiti, keadan atau konsep tentang sesuatu |
| Skop | Merujuk individu atau sesuatu yang spesifik | Merujuk konsep, situasi yang kacau-bilau atau keadaan yang umum |
| Penggunaannya dari sudut bahasa Inggeris (Amerika) | Digunakan untuk mengungkapkan kemarahan | Digunakan untuk mengungkapkan sesuatu yang di luar keupayaan manusia, kebodohan yang melampau dan kekalutan |
| Penggunaannya dari sudut bahasa Inggeris (British) | Bermaksud hilang kewarasan atau bodoh, walaupun adakalanya kata ini digunakan untuk maksud marah. | Merujuk hilang akal, kebodohan, atau kekalutan. |
| Contoh | Dia gila (marah) dengan pasu yang pecah itu. | Peristiwa huru-hara itu adalah kegilaan mutlak. |
Di manakah pula letaknya kedudukan “gila-gila”? Kata “gila-gila” membawa maksud melakukan sesuatu di luar kebiasaan, tetapi masih boleh diterima oleh masyarakat umum. Hal ini berbeza daripada perkataan “gila” yang merujuk penyakit mental atau tidak waras.
Pengertian tentang Perkataan “Gila-gila”
Dari sudut sejarah, perkataan gila telah digunakan oleh pihak kolonial British untuk menjustifikasikan penjajahan mereka di Tanah Melayu. Istilah ini muncul apabila pegawai British seperti Frank Swettenham dan Hugh Clifford mencirikan “amok” sebagai sindrom terikat budaya yang unik kepada orang Melayu. Mereka menyifatkannya sebagai satu bentuk ledakan yang tiba-tiba dan ganas yang berpunca daripada rasa terhina atau maruah tercabar sebagaimana menurut kajian Soon Seng Foong dan Gheeta Chandran yang bertajuk “Madness of the East: Demystifying the Colonialist Perspective on Frank Swettenham and Hugh Clifford’s Amok” yang terbit dalam NEW LITERARIA-An International Journal of Interdisciplinary Studies in Humanities Jilid 1, No. 2, November-December, 2020, halaman 110-118. Tafsiran ini bagaimanapun telah dimanipulaskan oleh British untuk mengukuhkan idea bahawa orang Melayu mempunyai emosi tidak menentu dan memerlukan kawalan British untuk mengekalkan ketenteraman.
Dengan mengaitkan “amok” kepada kehidupan orang Melayu, Swettenham dan pihak kolonial mempromosikan naratif bahawa pemerintahan British dapat mempengaruhi kemajuan dan pembinaan peradaban. Beliau berhujah bahawa pengembangan perkhidmatan kesihatan mental seperti hospital dan rumah sakit gila, akan membantu mencegah “amok” dengan mengesan dan merawat penyakit gila dalam kalangan orang Melayu dengan lebih baik.
Walau bagaimanapun, analisis moden terhadap karya Swettenham mendedahkan bahawa penghujahannya tentang “amok” adalah bersifat generalisasi yang berat sebelah. Analisis tersebut dengan mudah mengabaikan sebarang faktor sosial atau politik yang menyumbang kepada keadaan psikologi bangsa. Natijahnya, wacana penjajah ini telah menyebabkan orang Melayu dipandang negatif sedangkan tujuan sebenar yang dibuat oleh Swettenham hanyalah untuk mewajarkan campur tangan mereka di Tanah Melayu dan menonjolkan keunggulan bangsa Eropah.
Kesimpulannya, perkataan “gila” boleh membawa konotasi psitif dan negatif pada masa yang sama. Pengguna bahasa perlu memahami konteks sesuatu situasi atau keadaan bagi memastikan maksud sebenar perkataan “gila” yang digunakan pada waktu itu sampai kepada khalayak. Kata “kegilaan” menerangkan tentang sifat atau keadaan gila; sesuatu yang melampaui batas; dan kegemaran atau keasyikan yang berlebih-lebih yang juga memerlukan pengguna bahasa menambah pengetahuan bahasanya bagi memahami konteks penggunaan kata tersebut, sementara perkataan “gila-gila” sering digunakan untuk menggambarkan pelakuan yang melampaui kebiasaan, tetapi dalam konteks yang lebih ringan dan tidak bermaksud penyakit mental yang serius. Oleh itu, sebagai pengguna bahasa, kita seharusnya bijak meletakkan situasi penggunaan sesuatu perkataan berdasarkan konteks tertentu bagi mengelakkan sebarang salah faham dalam kalangan khalayak pendengar atau pembaca..