Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangEmoji atau ikon kecil yang sering kelihatan seperti gurauan ringan, kini menjadi inti penting dalam komunikasi digital pada masa ini. Dalam pesanan ringkas, komen media sosial dan status WhatsApp, emoji berfungsi sebagai pelengkap makna, pengganti ekspresi wajah dan mewakili keseluruhan mesej tanpa menggunakan apa-apa kata. Namun begitu, dalam keghairahan penggunaan emoji sebagai medium komunikasi, terdapat cabaran dan bahaya baharu dari aspek bahasa.
Pada asalnya, bahasa berfungsi sebagai sistem simbolik untuk menyampaikan makna melalui bunyi dan tulisan. Kini, komunikasi harian makin bergantung pada ikon visual. Emoji, seperti 😍 (cinta), 😔 (sedih) dan 👍 (setuju) menjadi sebahagian daripada kamus emosi dalam ruang komunikasi digital.
Dengan berdasarkan kajian, didapati bahawa pengguna sering menggunakan emoji untuk memperjelas nada mesej, meleraikan kekeliruan makna dan menyampaikan emosi yang sukar dinyatakan melalui teks. Sebagai contoh, mesej ringkas, seperti “ok” boleh ditafsirkan secara dingin atau marah, tetapi menjadi mesra serta-merta apabila ditambah dengan emoji 😊.
Namun begitu, kebergantungan terhadap emoji dalam komunikasi membuka ruang ambiguiti yang serius terhadap maknanya. Hal ini dikatakan demikian kerana emoji tidak mempunyai makna tetap, sebaliknya dapat ditafsirkan secara berbeza-beza bergantung pada budaya, konteks, umur dan pengalaman seseorang.
Sebagai contoh, emoji 🙏 digunakan sebagai simbol “terima kasih” di Jepun, tetapi mungkin ditafsirkan sebagai “berdoa” atau memohon “maaf” di tempat lain. Emoji 💀 pula boleh bermaksud “mati ketawa” dalam kalangan remaja, tetapi mungkin difahami secara literal oleh generasi lebih tua sebagai kematian.
Kekaburan ini menyebabkan mesej mudah disalah tafsir, terutamanya dalam komunikasi yang merentas generasi dan budaya, serta dalam konteks profesional. Dalam situasi rasmi, penggunaan emoji yang tidak kena pada tempatnya dapat menimbulkan salah faham, mengurangkan kredibiliti dan menjadikan mesej itu tidak sopan.
Misalnya, mesej bertulis melalui WhatsApp daripada guru atau tenaga pengajar kepada pelajar dibalas dengan tanda 👍 (setuju). Yang lebih parah, ada sesetengah pelajar yang hanya memberikan tanda itu sebagai balasan suka terhadap mesej tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa pelajar tidak cakna terhadap keperluan kesopanan dan kesantunan dalam berbahasa yang merentasi jarak umur, serta status penghantar mesej tersebut.
Bahaya paling ketara ialah kekaburan emosi dan pengurangan kejelasan mesej. Apabila bergantung sepenuhnya pada emoji, seseorang itu mungkin kehilangan keupayaan untuk menyusun ayat yang jelas, berstruktur dan bernuansa. Situasi ini menyebabkan bahasa menjadi terlalu ringkas sehingga menyebabkannya tidak bermakna.
Lebih membimbangkan, generasi muda, termasuklah pelajar sekolah dan kanak-kanak generasi alfa, makin cenderung untuk menyampaikan perasaan dan fikiran dengan emoji sahaja tanpa menguasai ekspresi lisan dan tulisan yang berkesan. Hal ini dapat menjejaskan kemahiran berbahasa, terutamanya dalam penulisan akademik dan komunikasi profesional kelak.
Tambahan pula, penggunaan emoji untuk menyembunyikan emosi sebenar dapat memberikan kesan terhadap hubungan interpersonal. Seseorang itu boleh menggunakan 😁 untuk menyembunyikan kesedihan sebenar, atau 😂 untuk menutup rasa terhina. Lama-kelamaan, ekspresi emosi yang tidak tulen ini dapat menyebabkan kecelaruan emosi dan kekeliruan sosial.
Dalam bidang pendidikan, guru melaporkan bahawa sesetengah pelajar, kini gemar menulis karangan atau jawapan pendek yang diselitkan emoji. Hal ini menunjukkan kesan komunikasi digital terhadap disiplin linguistik. Jika tidak ditangani, hal ini dapat menyebabkan penghakisan struktur bahasa rasmi dan melemahkan daya fikir pelajar dalam pembentukan ayat yang mantap.
Dalam masyarakat pula, penggunaan emoji yang keterlaluan dapat menjejaskan kejelasan komunikasi silang budaya. Dalam urusan antarabangsa, pentafsiran emoji secara literal dapat mencetuskan kekeliruan, malah kadangkala ketegangan. Sebagai contoh, dalam konteks diplomatik atau urusan rasmi kerajaan, penggunaan emoji dianggap tidak profesional dan tidak beretika.
Dalam dunia digital yang serba pantas, emoji memang memudahkan komunikasi tidak rasmi dan menjadikan perbualan lebih ceria dan peribadi. Namun begitu, emoji tidak boleh menggantikan peranan bahasa yang sistematik dan jelas. Oleh itu, kesedaran berkenaan kepentingan untuk menjaga ragam bahasa yang santun dan bersesuaian dengan konteks perlu dipupuk, khususnya dalam kalangan remaja dan pelajar.
Guru atau pakar bahasa pula perlu memberikan penekanan bahawa terdapat tempat dan situasi yang sesuai untuk penggunaan emoji, dan dalam masa yang sama, mengukuhkan penguasaan bahasa rasmi dan ekspresi yang tepat melalui ayat. Dalam hal ini, pengguna bahasa perlu belajar membaca isyarat konteks untuk mengenal pasti kesesuaian tempat dan situasi penggunaan emoji, sama ada ruang profesional, akademik atau peribadi. Tanpa kepekaan ini, pengguna bahasa sedang membina jurang komunikasi yang makin meluas.
Sebagai kesimpulan, bahasa dan emoji boleh saling melengkapi, tetapi perlu digunakan secara bijaksana. Emoji ialah alat bantu, bukannya pengganti bahasa. Dalam dunia moden yang serba visual ini, pengguna bahasa perlu lebih berhati-hati agar tidak mengorbankan ketepatan dan keindahan bahasa semata-mata kerana kemudahan simbolik. Bahasa Melayu yang kaya dengan ungkapan halus dan makna mendalam harus terus dipertahankan dan diperkasakan. Emoji boleh menjadi perisa dalam komunikasi, tetapi bahasa tetap hidangan utama yang perlu disediakan dengan cermat dan dinilai dengan akal.